PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Saturday 3 January 2015

TPM Arah Agensi Berkaitan Segara Daftar Kerugian



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan semua agensi berkaitan menyegerakan proses pendaftaran kerugian yang dialami mangsa banjir dan pelbagai kemudahan awam.
Katanya, urusan itu perlu dilakukan sekarang memandangkan keadaan banjir di seluruh negara kini semakin pulih.
Menurut beliau, proses pendaftaran perlu dibuat sekarang untuk mengetahui tahap kerosakan sebenar dan bagi membolehkan kerajaan membuat anggaran kos untuk membaiki kerosakan.
"Semua urusan pasca banjir ini satu proses yang maksimum," katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri di sini pada Khamis. Turut mengiringi beliau, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut Muhyiddin, yang penting ialah penyelarasan di antara pelbagai agensi termasuk antara agensi Persekutuan dan negeri serta peringkat tempatan di samping menubuhkan sebuah jawatankuasa yang semua pihak terlibat.
"Ini penting supaya tidak ada satu pihak berbuat satu perkara, pihak lain buat lain perkara dan yang jadi masalah ialah mangsa banjir kerana tidak ada kesepakatan diwujudkan," ujarnya.
Katanya, walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertanggungjawab dalam menangani isu itu, namun beliau berpendapat di peringkat negeri, Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri sudahpun menubuhkan jawatankuasa dan laporan-laporan ini akan dikumpulkan daripada sumber-sumber pelbagai pihak.
Beliau mengaitkan Jabatan Pendidikan sebagai contoh Jabatan Pendidikan Negeri sepatutnya bertanggungjawab melaporkan beberapa buah sekolah telah digunakan sebagai pusat pemindahan dalam keadaan tenggelam yang perlu diperbaiki segera sebelum awal persekolahan bermula.
Di samping itu, kata Muhyiddin, banyak kerosakan lain seperti infrastruktur di banyak kawasan di seluruh negara yang melibatkan infrastruktur dalam keadaan yang agak teruk yang perlu dibuat penilaian dan apa yang perlu kerajaan laksanakan segera.
Menurutnya, beberapa jalan yang rosak dan jambatan yang perlu diperbaiki segera supaya perhubungan tidak terputus.
"Kalau jambatan hanyut, maka kampung akan terpisah jalan tidak boleh dilalui barangan tidak boleh diangkut jadi banyak kesan kepada ekonomi,'' katanya.
Dalam lawatan ke pusat pemindahan itu, Muhyiddin meluangkan masa sejam bertemu mangsa-mangsa banjir dan melihat penyediaan makanan kepada mangsa banjir.

No comments:

Post a Comment