PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 21 January 2015

DAP : Adakah Anwar-Najib Bekerjasama Jatuhkan Tun Daim?



Kesungguhan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan maklumat dalam siasatan kes rasuah bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin menimbulkan tanda tanya ahli Parlimen DAP sama ada wujud perjanjian di antara ketua pembangkang itu dengan Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, kesungguhan Anwar itu dilihat akan menggagalkan usaha Pakatan Rakyat (PR) untuk menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.

"Adakah terdapat perjanjian di antara Najib dan Anwar? Anwar membantu Najib menjatuhkan Daim kerana Najib sebenarnya berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Bagi saya, kelihatan keutamaan Anwar kini bukanlah PR. Walaupun beliau memberitahu saya tidak kisah isu tersebut, saya fikir keutamaannya sekarang ialah kebebasan sendiri," katanya menerusi kiriman di blognyaSAKMONGKOL AK47hari ini.

Ariff Sabri berkata, tindak tanduk Anwar itu menimbulkan tanda tanya kerana keutamaan PR kini untuk menyingkirkan Najib dari Putrajaya.

Katanya, media Umno seharusnya diberikan ruang seluas-luasnya untuk bercakaran sesama sendiri tanpa melibatkan pemimpin PR.

"Kita patut membiarkan Daim dan orangnya seperti penulis, blogger dan bekas menteri untuk menjatuhkan Najib.

"Jangan halang Zam menyampaikan cerita sensasi tentang Najib supaya seluruh Malaysia mengetahui siapakah Najib sebenarnya," katanya merujuk kepada bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.

Anwar pada Ahad berkata sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa anti rasuah Malaysia jika siasatan dilakukan terhadap Daim.

Ketua pembangkang itu bagaimanapun mengharapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap profesional ketika menjalankan tugasan itu.

"Jika mereka tanyakan saya, saya akan bekerjasama, tiada masalah. Itu tanggungjawab saya membantu siasatan. Tapi mereka perlu bersikap profesional," katanya selepas dialog bersama belia Selangor, di Petaling Jaya.

Ketua umum PKR itu berkata beliau mempunyai "bukti" penyalahgunaan kuasa Daim namun berkata ia disembunyikan.

Pemimpin pembangkang sebelum ini menggesa SPRM menyiasat Daim, seperti dilakukan bekas ketua pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Anwar membuat 15 laporan tahun lalu, menuduh Daim mengaut berbilion ringgit melalui Bank Afrika dan Eropah Timur menggunakan proksi.

Daim sebelum ini menyuarakan kesediaannya bekerjasama dengan SPRM, namun menolak campur tangan kumpulan pengkritik.

Dalam kenyataannya, Daim berkata, beliau yakin SPRM mampu menggalas tanggungjawab itu.

Beliau sebelum ini dilaporkan mempunyai sebuah bank di Tanzania namun menafikan salah guna kuasa.

No comments:

Post a Comment