PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Friday 16 January 2015

Surat Zahid: Kabinet Tak Pernah Tahu - Muhyiddin



 Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan isu surat sokongan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Paul Wei Seng Phua (Paul Phua), individu yang ditahan di Amerika Syarikat tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Malah kata Timbalan Perdana Menteri, beliau sendiri tidak mempunyai maklumat mengenai perbezaan maklumat polis dan Ahmad Zahid berhubung latar belakang Paul Phua dan hubung kaitnya dengan kegiatan kongsi gelap antarabangsa.

“Kita tidak berbincang mengenainya dalam Kabinet,” katanya secara ringkas apabila ditanya pemberita mengenai isu tersebut.

Baru-baru ini, sepucuk surat rasmi yang didakwa ditulis oleh Ahmad Zahid kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat disebarkan melalui laman sosial dan blog.

Dalam surat itu, beliau menjelaskan bahawa Paul Phua bukan anggota kumpulan jenayah berorganisasi 14K atau mempunyai sebarang hubung kait dengan kongsi gelap antarabangsa tersebut.

Ahmad Zahid turut mempertahankan Paul Phua sebagai individu yang banyak membantu kerajaan Malaysia dalam projek membabitkan keselamatan negara selain berharap supaya dia boleh pulang ke tanah air.

14K merupakan sebuah kongsi gelap yang bermarkas di Hong Kong tetapi mempunyai pengaruh di negara-negara Asia.

Paul Phua ditahan di Amerika Syarikat dan berdepan tuduhan terlibat dalam judi haram besar-besaran ketika musim Piala Dunia di Brazil pada tahun lalu.

Dia dan anaknya dilaporkan telah ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat di sebuah hotel pada Julai lalu dan kemudian diletakkan dalam tahanan rumah di Las Vegas.

No comments:

Post a Comment