PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Friday 9 January 2015

3,500 Keluarga Mangsa Banjir Terima Bantuan Keperluan Asas



Biro Kebajikan UMNO Malaysia telah menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada 3,500 keluarga yang terlibat dalam bencana banjir di negeri Perak baru-baru ini.
Bantuan keperluas asas itu yang berupa 2,500 dapur, 2,500 unit tilam dan 4,000 bantal telah disampaikan oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Bangunan UMNO Negeri di Ipoh pada Rabu.
Dr Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata, 3,500 keluarga yang menerima bantuan itu adalah berupa penerima yang telah mendaftar dan kini berada di pusat-pusat pemindahan banjir.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Abdul Azeez di atas keprihatinan mereka terhadap mangsa-mangsa banjir di negeri Perak.
Menurut beliau, ini merupakan satu amalan yang dilaksanakan oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia dan juga Barisan Nasional atas arahan Perdana Menteri.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kepada Biro Kebajikan UMNO yang diterajui oleh Datuk Seri Abdul Azeez dan juga pasukan beliau yang bekerja bertungkus lumus bagi memastikan masalah mangsa-mangsa banjir ini dapat diselesaikan selepas banjir berlaku,” katanya.
Menurut Dr Zambry, keperluan asas yang diberikan ini adalah bagi membolehkan keluarga terbabit memulakan kehidupan mereka selepas banjir.
Mengenai kedudukan banjir, katanya, jumlah mereka yang berada dikawasan penempatan semakin berkurangan dan kebanyakkan mereka sudah pulang ke kediaman masing-masing.
Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini sedang memberi penumpuan dan perhatian di kawasan-kawasan yang menghala ke Hilir Perak, khususnya di kawasan Perak Tengah, Kampung Gajah dan Manjung.
Sementara itu, Abdul Azeez memuji langkah yang diambil UMNO Perak kerana telah menyediakan kaedah yang tepat berhubung stastistik keluarga yang berdaftar yang terbabit dalam bencana banjir untuk menerima bantuan daripada Biro Kebajikan UMNO Malaysia.
“Kita akan serahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri iaitu Menteri Besar di setiap negeri dan saya rasa ini kaedah yang tepat dan betul supaya tidak ada masalah yang timbul,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment