PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Friday 2 January 2015

Mangsa Banjir Di Perak Menurun



Jumlah mangsa banjir di Perak mencatatkan penurunan pada Rabu apabila seramai 7,191 orang daripada 1,1968 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir sekitar negeri ini, berbanding 7,664 orang daripada 2,047 keluarga tengahari semalam.
Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, Khairul Ridzuan Mat Said berkata, sehingga jam 2 petang Rabu, hanya 53 pusat pemindahan masih dibuka berbanding 57 pada hari Selasa.
Bagaimanapun, menurut beliau, satu pusat pemindahan baharu telah dibuka di daerah Manjung iaitu di Pusat Pemindahan Sungai Kayan yang menempatkan 40 orang daripada enam keluarga.
Katanya lagi, pihak MKN juga menjangkakan tiga lagi kawasan di daerah Teluk Intan bakal dinaiki air ekoran paras air yang tidak stabil iaitu di Pasir Bedamar, Kampung Batak Rabit dan juga Kampung Terengganu.
“Dijangkakan kawasan-kawasan yang akan terlibat adalah seperti yang tersebut tetapi pihak kita telah pun mengambil langkah siap sedia melalui jadual yang bersistematik,” katanya di satu sidang media pada Rabu.
Khairul memberitahu, daerah Perak Tengah masih lagi menempatkan mangsa yang paling ramai di negeri ini iaitu seramai 4,902 orang daripada 1,337 keluarga di 20 pusat pemindahan.
“Sehingga jam 2 petang tadi daerah Hulu Perak mempunyai 14 pusat pemindahan yang menempatkan 225 keluarga dan di daerah Kuala Kangsar pula terdapat 16 pusat pemindahan menempatkan 204 keluarga.
“Di daerah Kerian pula kita mempunyai 2 pusat pemindahan yang menempatkan 321 orang daripada 321 keluarga,” tambah beliau.
Beliau turut meminta rakyat negeri Perak untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai banjir melalui portal banjir MKN yang rasmi.
“Pihak MKN memohon kepada semua rakyat Perak untuk sentiasa melihat portal banjir MKN untuk mengetahui apa yang berlaku di negeri perak ini.
“Ini adalah untuk mengelak daripada sumber-sumber dan maklumat yang tidak sahih, kita sentiasa mengemas kini maklumat kita,” katanya

No comments:

Post a Comment