PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 30 June 2015

Kerjasama Dengan DAP Tidak Akan Bertahan Lama



KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man tetap menegaskan bahawa kerjasama politik di antara PAS dan DAP tidak akan bertahan buat kali yang kedua meskipun hubungan kedua parti itu telah bertahan selama hampir tujuh tahun.
Meskipun begitu, beliau tetap mengharapkan kerjasama politik diantara kedua-dua parti itu akan bertahan lebih lama, jika ada peluang buat kali yang ketiga.
“Dari sudut positifnya, hubungan PAS-DAP pada kali ini berlangsung lebih lama berbanding di zaman Barisan Alternatif selepas berehat selama tujuh tahun (2001-2008).
“Jika ada kali ketiga, diharap kerjasama ini akan lebih panjang berbanding yang sebelumnya,”katanya melalui laman Facebook beliau.
Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila DAP secara berterusan menyerang kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan menfitnah bahawa PAS akan mengadakan kerjasama politik dengan UMNO.
“Lebih baik bagi DAP untuk menumpukan serangan pada UMNO yang berkuasa di kerajaan Persekutuan,”tulisnya.
Tegasnya lagi, PAS tetap akan bersandarkan kepada prinsip dan dasar parti tersebut sebagai dasar perjuangannya.
Beliau turut berkata, PAS akan tetap bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah bermula sejak penubuhannya.
Katanya lagi, parti itu juga akan tetap meneruskan kerjasama politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kerjasama kedua parti politik itu telah bermula sejak awal penubuhannya.
“PAS kekal dengan kerjasama bersama PKR yang tidak pernah putus sejak penubuhannya,”katanya.

Monday 29 June 2015

Hadi Ketinggalan – Suhaizan



PETALING JAYA: Pemimpin progresif PAS yang tewas pada pemilihan awal bulan ini yakin parti politik baharu yang bakal ditubuhkan untuk menggantikan PAS dalam pembentukan Pakatan 2.0 tidak akan ‘tenggelam’.
Setiausaha G18, Suhaizan Kayat menyifatkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agak ketinggalan apabila memberi peringatan bahawa ahli dan pemimpin parti Islam baharu itu akan ‘tenggelam’ apabila ia ditubuhkan.
“Zaman sekarang sudah berubah. Lanskap politik sudah bertukar. Apa yang bakal ditubuhkan G18 ini berbeza dengan sejarah lama.
“G18 bukan dibentuk atas inisiatif satu dua pemimpin serpihan PAS. Ia sebaliknya adalah gerakan rakyat, hasil sokongan rakyat,” katanya kepada mStar Online.
Sebelum ini Hadi memberi amaran bahawa pemimpin dan ahli PAS yang menyertai parti dan pertubuhan lain akan ‘tenggelam’ bersama parti baharu itu.
Kenyataan Hadi disokong Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengatakan bahawa sejarah membuktikan penubuhan parti serpihan PAS tidak mampu bertahan lama.
Mohd Amar menamakan Parti Melayu Semangat 46 dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) sebagai contoh.
Mengulas lanjut, Suhaizan yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat bagaimanapun menolak amaran dan peringatan Hadi.
“G18 berbeza dengan Hamim mahupun parti Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia). Parti-parti itu ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang mahu bergerak sendiri.
“Bezanya G18 bukan ditubuhkan oleh pemimpin, walaupun yang mengetuainya adalah bekas pimpinan PAS tapi hakikatnya ia didorong oleh sokongan rakyat, bukan sahaja ahli PAS,” katanya.
Jelas Suhaizan lagi, G18 kini giat mengadakan pertemuan dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendokong perjuangan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM).
G18 diketuai bekas Timbalan Presiden PAS yang kalah, Mohamad Sabu.-mstar

Sunday 28 June 2015

Mengapa UMNO-PAS Perlu Bekerjasama?



BLOG BELANTAN - British menjajah Semenanjung Tanah Melayu daripada orang Melayu.

Orang Cina dan India datang dengan ramainya, mula-mula untuk mencari kekayaan dan pulang ke negera asal, tetapi akhirnya terus tinggal di Tanah Melayu. Orang Melayu bersatu menentang Malayan Union, ancaman pengganas komunis dan menuntut “kemerdekaan tanah air”.

Orang bukan Melayu menyertai pergerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka nampak kemerdekaan akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka selepas Merdeka.

Pas ditubuh apabila Haji Ahmad Fuad Hassan kalah dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO kepada Tunku Abdul Rahman Putra, mulanya sebagai satu cabang UMNO tetapi kemudiannya bertanding dalam PRU-1955.

Semasa Perlembagaan Persekutuan sedang digubal, Pas menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan “Negeri Melayu” (bersultan) untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Parti Komunis Malaya (majoriti orang Cina) mengangkat senjata untuk menubuh sebuah kerajaan Komunis ala-China.

Parti Buruh (majoriti orang Cina) menuntut supaya “Negeri-Negeri Melayu” dihapuskan untuk mengelak “Malaya” yang merdeka menjadi sebuah “Negara Feudal”.

Orang Cina mahukan dua warganegara (dual-citizenship), Malaya dan China dengan warganegara China sebagai warganegara utama. Ada satu kumpulan orang Cina di Pulau Pinang yang tidak mahu Pulau Pinang merdeka dalam Tanah Melayu. Mereka mahu kekal di bawah jajahan British seperti Hong Kong.

Oleh sebab British menjajah Tanah Melayu daripada orang Melayu, logiknya ia dipulangkan kepada orang Melayu (seperti Brunei). Tetapi, orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dengan orang bukan Melayu. Hasil tolak ansur persetujuan dicapai. Kandungannya tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, kerakyatan diberi kepada orang bukan Melayu.

Beberapa perkara yang dituntut oleh orang Melayu seperti, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, jaminan mengenai “hak keistimewaan orang Melayu” (Perkara 153), Regimen Askar Melayu dan Tanah Simpanan Melayu juga dipersetujui dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam PRU 1955, kawasan majoriti pengundi Melayu diberi kepada calon bukan Melayu daripada parti komponen Perikatan untuk bertanding bagi melebihkan bilangan ahli Parlimen bukan Melayu. Amalan ini berterusan untuk memastikan mereka mencapai kemenangan, sebab jika mereka bertanding dalam kawasan majoriti bukan Melayu (Cina), mereka akan kalah.

Sebaliknya, Perikatan atau Barisan Nasional tidak pernah meletak calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu, sebab pengundi bukan Melayu tidak akan mengundi calon Melayu. Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu merdeka.

Pada malam itu warganegara bertambah sekali ganda, akibat orang bukan Melayu menjadi warganegara mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Akibatnya, jika dalam Pilihan Raya Umum 1955, pengundi Melayu adalah sebanyak 84.2 peratus, dalam Pilihan Raya Umum 1959, hanya dua tahun selepas merdeka, pengundi Melayu jatuh kepada 57.1 peratus.

Pas menentang penubuhan Malaysia, apatah lagi Singapura, kerana khuatir akan menjejas hak orang Melayu dan kududukan agama Islam. Selama lebih kurang tiga dekad selepas penubuhannya, Pas telah memainkan peranan yang berfaedah kepada bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.

Pas tidak terlalu besar untuk menjadi ancaman kepada UMNO di peringkat Persekutuan. Pengaruhnya tertumpu di Pantai Timur. Tidak ada perbezaan kepada orang Melayu dan agama Islam sama ada UMNO atau Pas memerintah Kelantan. Lagi pula, adanya Pas menyebabkan UMNO lebih berhati-hati berkenaan isu Melayu dan Islam.

Selama lebih kurang lima dekad semenjak merdeka, kecuali dalam 1969, tidak ada cabaran serius terhadap hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Sebabnya, sebilangan besar orang Melayu menyokong UMNO, kerajaan Persekutuan teguh di bawah Barisan Nasional dan UMNO dapat mengawal parti-parti sekutunya daripada membuat tuntutan-tuntutan yang melampau.

Negara aman dan makmur. Semua orang menikmati taraf kehidupan (standard of living) yang lebih tinggi.Keadaan berubah dalam masa lebih kurang sepuluh tahun kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah tiga.

Melihat keadaan itu, orang Cina yang memang pandai membuat perkiraan dan pakatan, bersatu di belakang DAP. PKR dan Pas setuju bekerjsama dengan DAP. Akibatnya, pengundi bukan Melayu menjadi suara penentu dalam pilhan raya.

Merasai mereka telah kuat, orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, mula membuat tuntutan-tuntutan yang melampau dan mencabar hal-hal mengenai agama Islam, termasuklah khutbah Jumaat.

Mereka tidak puas hati dengan “keistimewaan” yang dinikmati oleh orang Melayu. Mereka mahu semuanya dibahagikan secara “sama rata”. Mereka tahu jika dibuat demikian, merekalah yang akan membolot segala-galanya kerana mereka mengawal ekonomi, kaya dan lebih maju dalam semua bidang. Sebenarnya mereka mahu hak orang Melayu tanpa mengorbankan hak mereka.

Jika Pakatan Rakyat (termasuk Pas) dapat menubuh kerajaan di peringkat Persekutuan, DAP yang akan menjadi parti dominan. PKR tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dipandang serius oleh DAP.

Pas lagilah tidak akan “didengar” oleh DAP. Kerajaan Pakatan Rakyat semestinya akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Orang Cina bersatu di belakang DAP kerana DAP menjanjikan sesuatu yang lebih dan kerana mereka mahu lebih daripada yang mereka peroleh di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Dari mana bahagian “yang lebih” itu akan datang? Semestinya daripada bahagian orang Melayu.

Mungkin mereka tidak akan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-Raja (di mana diperlukan) untuk meminda Perlembagaan. Sambil itu kita mesti waspada tentang kemungkinan mereka akan melakukan perubahan kepada kawasan Parlimen dengan menambah bilangan kerusi di kawasan Cina yang padat penduduknya.

Namun demikian, perlu diingat bahawa hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam boleh dihakiskan secara pentadbiran sahaja.

Sebagai misalan, peruntukan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan hanya memberi manfaat jika dan apabila kerajaan yang memerintah melakukan sesuatu untuk meletakkan agama Islam di tempat yang sesuai dengan kedudukan itu.

Apa yang kita lihat hari ini, baik universiti-universiti, institusi-institusi dan jabatan-jabatan Islam; institusi-institusi kewangan Islam dan pembangunan perbankan dan kewangan Islam; pengajaran mata pelajaran agama Islam dari tadika hingga ke universiti, masjid-masjid, rancangan-rancangan agama di televisyen dan radio dan serta lain-lain adalah hasil daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah selama ini. Jika tidak dilakukan, tidak akan ada apa-apa, hanya peruntukan dalam Perlembagaan.

Manfaat

Demikian juga dengan peruntukan mengenai hak-hak orang Melayu. Jika kerajaan yang memerintah tidak berbuat apa-apa, tidak ada apa yang akan dinikmati oleh orang Melayu.

Kita menikmati faedahnya hari ini kerana kerajaan telah mengadakan berbagai-bagai rancangan seperti Dasar Ekonomi Baru dan menubuhkan pelbagai badan seperti Permodalan Nasional Berhad, Skim Amanah Saham Nasional, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Mara, Felda, RISDA, Felcra, UDA, Pernas, DARA, Jengka, Ketengah, Kesedar dan lain-lain.

Kerajaan juga telah menetap dan melaksanakan dasar mengenai pemberian biasiswa, pengambilan pegawai-pegawai kerajaan dan lain-lain. Tanpa ini semua, peruntukan-peruntukan itu tidak bermakna.

Semenjak merdeka, melalui dasar dan tindakan kerajaan Perikatan dan, kemudiannya Barisan Nasional, orang Melayu/Islam telah menikmati faedah peruntukan-peruntukan itu. Saya tidak fikir kerajaan Pakatan Rakyat akan atau akan dapat melakukan perkara yang sama.

Ertinya, hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam akan terhakis jika kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO, tumbang.

Demi mengelak perkara itu berlaku, kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan mestilah dipertahankan. Pada pendapat saya cara yang paling mudah ialah: Jika selepas PRU-14, didapati kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan akan tumbang, Pas hendaklah menyertai kerajaan Barisan Nasional, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan untuk menyelamatkannya.

Pas mesti sedar bahawa kerjasama dengan DAP dan PKR akan mengorbankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Pas perlu sedar bahawa, dalam konteks Malaysia, apa yang menguntungkan orang Melayu akan menguntungkan umat Islam dan apa yang merugikan orang Melayu akan merugikan umat Islam. Demikian juga, apa yang menguntungkan umat Islam akan menguntungkan orang Melayu dan apa yang merugikan umat Islam akan merugikan orang Melayu,

Sebenarnya, pada masa ini, antara UMNO dan Pas sudah tidak ada apa-apa perbezaan ideologi lagi untuk menghalang kerjasama itu. Yang menjadi penghalang hanyalah kekhuatiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong masing-masing jika kerjasama itu akan menggugat kepentingan diri mereka.

Selain daripada itu adalah isu-isu yang dipolitikkan kerana mudah, murah dan popular untuk membezakan UMNO dengan Pas dan memancing undi, misalnya assabiah dan hudud.

Pas telah memerintah Kelantan selama lebih kurang 40 tahun. Apa bezanya Kelantan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia? Undang-undang yang dipakai di Mahkkamah Syariah di Kelantan seperti Enakmen Acara Mal, Enakmen Acara Sivil dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dibuat semasa pemerintahan Barisan Nasional dan saya menjadi Penasihat Undang-Undangnya.

Memang ia telah diganti tetapi, dari segi isi kandungannya, itu hanya pengemaskinian yang dilakukan untuk menyelaraskan dengan undang-undang yang dipakai di negeri-negeri lain yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Jika Kelantan “lebih Islam” daripada negeri-negeri lain dan orang Kelantan mahu berada dalam sebuah “negara Islam”, mengapa orang Kelantan yang paling banyak berhijrah ke negeri-negeri lain untuk mencari makan?

UMNO juga perlu menangani masalah persepsi rasuah yang tinggi dalam kalangan pemimpinnya, faktor utama mengapa orang Melayu “bencikan” UMNO, sama ada persepsi itu betul atau tidak.

Maka, pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas yang sama-sama Melayu dan Islam, yang sama-sama untung dan rugi, perlulah menumpukan perhatian kepada ancaman besar yang berada di hadapan mereka, orang Melayu dan umat Islam di Malaysia. Mereka patutlah mengetepikan dahulu perbezaan yang diada-adakan untuk tujuan politik dan menumpukan usaha untuk menyelamatkan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

Dengan cara yang saya cadangkan ini, UMNO dan Pas masing-masing boleh kekal seperti sekarang sebagai parti politik yang berasingan. (Saya tidak nampak kemungkinan Pas menyertai Barisan Nasional dalam masa yang terdekat.) Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, Pas patut keluar dari Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat merugikan orang Melayu dan umat Islam. Di peringkat negeri, Pas boleh bertanding bersendirian. Pas boleh memerintah negeri-negeri yang dimenanginya secara bersendirian.

Tetapi, untuk mengelak sesebuah negeri terjatuh kepada DAP dan PKR, misalnya Perak, Pas patut bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk menubuh kerajaan campuran. Di peringkat Persekutuan, Pas boleh memilih untuk menyertai Kabinet dan duduk bersama wakil-wakil rakyat Barisan Nasional di Parlimen.

Atau, mereka tidak menyertai Kabinet dan duduk berasingan di Parlimen seperti ahli-ahli “bebas” tetapi, dalam isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, mereka akan menyokong kerajaan Barisan Nasional

Thursday 25 June 2015

Bangsaku Kian Me..Layu



BANGSAKU KIAN ME-LAYU

Bangsaku Melayu
Sejarahnya tidak kaku
Budibahasanya nomor satu
Akhlaknya dicemburu
Tolak ansurnya tak pernah jemu

Dia perjuangkan kemerdekaan
Dia menjadi kerajaan kedaulatan
Dia beri imigran kewarganegaraan
Dia menjadi asykar pertahanan
Dia polis menjaga keamanan
Dia pegawai dasar kenegaraan
Dia kerani melaksanakan
Dia juga cikgu mencerdikkan

Tapi dia bergaduh bercakaran
Menikam merobek menelanjangkan
Amanah pusaka warisan diqorunkan
Bangsa sendiri menjadi sasaran

Kawan dijadikan lawan
Lawan dijadikan kawan
Bangsa lain diselimut bantalkan
Kaum lain disahabat-taulankan

Habis dijual agama & Tuhan

Memang Melayu tak hilang didunia
Tetapi Melayu akan hilang tanahairnya
harga diri & maruah bangsa

Hanya kerana gilakan kuasa

Melayu akan melayu
di Tanah Melayu
akhirnya!


Zulkifli Bin Noordin

Malaysiakini Jangan Lagakan UMNO dan Rakyat - Razlan



Mana-mana pihak serta organisasi media diminta tidak membuat cubaan melagakan UMNO dengan rakyat demi kepentingan serta motif politik peribadi semata-mata.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Razlan Muhammad Raffi berkata, cubaan portal berita Malaysiakini yang dikatakan mengelirukan rakyat selama ini disifatkan keterlaluan sehingga menimbulkan kebencian kepada UMNO.

"Malaysiakini sejak dahulu sentiasa berusaha melaga-lagakan rakyat dengan UMNO. Cubaan semalam semasa memaparkan gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang digelapkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dilihat keterlaluan.

"Kami berada di lokasi, tidak ada langsung kejadian seperti yang didakwa Malaysiakini. Ia dakwaan yang tidak masuk akal," katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Pada Rabu, portal Malaysiakini memaparkan laporan potret Dr Mahathir di hadapan Dewan Tun Razak yang gelap dan tidak kelihatan.

Laporan itu menyebut, menurut seorang anggota polis penjaga di kawasan itu, lampu tersebut 'terbakar' dan masih belum diganti dengan mentol baru.

Kata Razlan, cubaan itu disifatkan kemuncak usaha Malaysiakini pada Khamis yang memulakan misi mengelirukan rakyat dengan memutarbelit kenyataan kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa berhubung pembelian hartanah di Melbourne, Australia.

"Mereka cuba dari pagi sehingga malam, cukup-cukuplah Malaysiakini hendak melagakan rakyat dengan UMNO dengan cara begini," ujarnya.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa kerana kenyataan Annuar diputarbelitkan sesetengah media.

Najib menjelaskan keputusan mengenai pembelian hartanah itu dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi. Keputusan hanya dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.

Wednesday 24 June 2015

Tony Pua Diminta Berundur Daripada PAC - Shafee Abdullah



Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang juga menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu berundur daripada memegang jawatan tersebut supaya siasatan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat dijalankan dengan telus dan adil.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata Tony pua merupakan seorang individu yang lantang mengkritik 1MDB sepatutnya lebih sesuai menjadi saksi kepada inkuiri daripada menjadi pihak yang mengadili dan menyiasat kes berkenaan.
"Saya perhatikan, Pua selaku ahli PAC terlalu banyak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan terhadap syarikat berkenaan. Oleh itu, saya mencadangkan beliau menarik diri daripada menganggotai PAC bagi mengembalikan keyakinan awam inkuiri berhubung syarikat itu dijalankan dengan adil dan telus," katanya.
Menurutnya, gesaan tersebut dilakukan bagi menunjukkan keadilan dan hak asasi manusia terhadap PAC yang dilihat tidak adil kepada 1MDB ekoran ia mendapat perhatian umum.
"Ahli PAC termasuk Pua sepatutnya bertindak seperti hakim dalam kes ini, bukannya orang yang membuat tuduhan dan kenyataan awam mengenainya. Jika mahu mengeluarkan kenyataan seumpama itu, lebih baik jadi saksi kes," katanya.

Tuesday 23 June 2015

Isu 1MDB : Polis Thailand Tahan Bekas Pegawai PetroSaudi



Polis Thailand menahan seorang bekas pegawai PetroSaudi International Ltd dan mendakwanya atas tuduhan cuba memeras ugut syarikat berkenaan, lapor media Thailand.

Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpunmuang, berkata polis Bahagian Pencegahan Jenayah menahan warga Switzerland,  Xavier Andre Justo, susulan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Selatan Thailand.

Polis turut menggeledah kediamannya dan merampas sebuah komputer serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah itu.

Menurut polis, Justo adalah seorang eksekutif di PetroSaudi sebelum melarikan diri ke Thailand. Syarikat antarabangsa berpangkalan di Arab Saudi itu, terkenal di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalin dengan syarikat dana pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dua tahun selepas dipecat daripada syarikat, Justo dikatakan cuba memeras ugut PetroSaudi sehingga 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta). Dia mengancam akan mendedahkan maklumat sulit perniagaan yang didakwa dicurinya daripada syarikat itu jika permintaannya tidak dipenuhi.

Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa emel dan dokumen disiarkan oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik, hingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.

Difahamkan, sebahagian daripada emel dan dokumen yang disiarkan dalam blog itu sudah ditokok-tambah, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan tuduhan berkenaan.

Sementara itu, PetroSaudi dalam kenyataan yang dikeluarkan di Riyadh, menyambut baik penahanan Justo dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Thailand. Selain itu, PetroSaudi mempertimbangkan tindakan undang-undang sewajarnya.

"Kami lega Justo akan berdepan tindakan mahkamah. Kami menjadi mangsa jenayah dan lebih mendukacitakan, ia dipolitikkan di Malaysia.

"Kami gembira kerana dapat memperbetulkan keadaan dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas segala kesulitan berikutan tindakan tidak bertanggungjawab bekas kakitangan kami," katanya.

Monday 22 June 2015

Alasan MBPP Tak Masuk Akal - UMNO P.Pinang



Badan Perhubungan UMNO negeri menyelar sikap tidak profesional Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana memberi pelbagai alasan remeh bagi menolak permohonan parti itu mendirikan struktur logo UMNO di pejabat mereka di Jalan Macalister.

Setiausahanya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, MBPP memaklumkan pada saat-saat akhir bahawa permohonan berkenaan perlu dibuat secara dalam talian dan bukannya menghantar borang secara terus ke pejabat mereka di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Katanya, perkara berkenaan hanya dimaklumkan kira-kira pukul 11.30 pagi ini kepada kakitangan JKP Sdn. Bhd. iaitu pemilik bangunan berkenaan sedangkan mereka hadir ke Bahagian Pelesenan MBPP sejak pukul 8 pagi.

"Ini menunjukkan contoh kerenah birokrasi yang wujud dalam MBPP dan saya menggesa Datuk Bandar, Datuk Patahiyah Ismail supaya memandang serius perkara ini dan berlaku adil.

"Bayangkan, sebuah parti politik seperti UMNO dilayan seperti ini, bagaimana pula dengan nasib rakyat yang mahu berurusan dengan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam bersama kira-kira 50 ahli parti itu tiba di tingkat tiga, Komtar untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada MBPP berhubung tindakan penguat kuasa cuba merobohkan struktur logo UMNO pada Jumaat lalu yang mencetuskan kekecohan.

Bagaimanapun, pasukan keselamatan Komtar bertindak menutup laluan utama masuk ke pejabat kerajaan negeri manakala memorandum berkenaan diterima wakil MBPP selain kira-kira 50 anggota polis juga dilihat berkawal di situ.

Sementara itu, beberapa lelaki dilihat membakar bendera DAP di pekarangan Komtar selepas penyerahan memorandum berkenaan.

Sunday 21 June 2015

Hadi Arahkan PAS Selangor Terus Sokong Azmin



 Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengarahkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad untuk meminta seluruh ADUN PAS Negeri Selangor terus bersama Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

“Ia bagi mengekalkan kedudukan kerajaan yang memerintah Selangor pada waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

"Isu itu kecil. Tak payahlah saya ulas," kata Hadi Awang enggan melayan soalan BNBBC.MY

Tambahnya, pendirian PAS terhadap kerjasama dalam PR adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Ucapan Dasarnya di Muktamar PAS baru-baru ini.

Kenyataan turut menyebut, kerjasama PAS dengan komponen PR di Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

Kenyataannya itu agak bercanggah semasa sidang media Muktamar PAS sebelum ini yang menyatakan, PAS tidak mengutamakan soal kedudukan dalam kerajaan tetapi memberi keutamaan tuntutan agama dalam isu hudud.

Sebelum ini kata Hadi, PAS pernah kosong ( tidak memegang jawatan dalam kerajaan negeri ) dan PAS juga pernah bersendiri ( tiada dalam pakatan ), sehubungan itu PAS tidak kisah akan soal kedudukan.

Sejak krisis DAP dan PAS semakin menegang, hanya PAS dilihat masih bertoleransi.

Kenyataan Hadi hari ini juga masih mahu bertoleransi walau DAP sudah menyatakan Pakatan Rakyat sudah berkubur.

Saturday 20 June 2015

Hishammuddin : Kerjasama 4 Negara Perlu Diperluas Kekang Ancaman Lanun



 Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan bahawa kerjasama antara Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia di Selat Melaka perlu diperluas bagi mengekang ancaman lanun di kawasan perairan negara terlibat.

Beliau berkata sebuah negara sahaja tidak akan dapat menjaga keselamatan maritim dengan berkesan, sebaliknya ia memerlukan kerjasama erat antara negara yang terlibat.

"Saya sempat berbincang dengan Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu dan beliau pada dasarnya bersetuju (dengan cadangan perluas kerjasama tersebut), kita akan bincang dengan negara lain selepas ini.

"Kita juga pertimbang negara ASEAN lain jadi pemerhati dalam kerjasama ini, setakat hari ini Vietnam dan Myanmar setuju (jadi pemerhati). Mungkin kita adakan mini sidang kemuncak untuk bincangkan cara atasi jenayah ini," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Terdahulu beliau merasmikan Dialog Belia Antarabangsa Melaka Ke-15 bertemakan Belia dan Konflik Bersenjata : Ekspresi Tanpa Takut, Maju Tanpa Ancaman di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Kira-kira 200 belia dari 80 negara antaranya Amerika Syarikat, Sudan, Bosnia, Jerman dan Malaysia menyertai persidangan selama tiga hari itu bermula hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin menafikan dakwaan media Indonesia bahawa terdapat bot dan pesawat Malaysia memasuki perairan negara itu secara tidak sah di Ambalat yang terletak di pantai timur kepulauan Borneo.

"Saya juga sempat bincang dengan Ryamizard berkenaan ini dan beliau setuju supaya isu sebegini tidak disensasikan baik media dari Malaysia atau Indonesia dan juga di media sosial," katanya.

Beliau berkata hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama membuka jalan untuk mengatasi segala isu yang terjadi dengan cara perbincangan.

Katanya semua pihak seharusnya tidak terpengaruh dengan rentak emosi dalam menangani isu seperti itu.

"Ini cara kita di ASEAN (perbincangan dan tidak menurut rentak emosi) daripada dulu lagi yang cukup berjaya membendung ketegangan antara negara, selain itu saluran diplomasi antara kementerian luar negara terlibat perlu juga diteruskan," katanya.

Friday 19 June 2015

Nazri Aziz Sedia Beri Kerjasama Kepada Pihak Polis



KUALA LUMPUR: Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung kenyataan beliau yang dikatakan menasihati Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ismail, supaya tidak mencampuri urusan politik Negara.
“Saya seorang yang berpegang pada undang-undang dan akan berdepan dengan undang-undang.
“Setakat ini, saya tidak dipanggil…belum dipanggil lagi,”kata beliau kepada The Malaysian Insider, hari ini.
Nazri turut berkata, seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa kerabat diraja mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada politik dan tidak boleh sama sekali didakwa di bawah Akta Hasutan.
“Apabila Tunku Mahkota Johor serang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, tiada apa boleh dilakukan terhadapnya kerana beliau dilindungi Akta Hasutan.
“Tetapi apabila saya pertahankan Najib, saya kena panggil. Sekarang kita tahulah, padangnya tidak sama rata,”kata beliau.
Terbaharu, Ketua Polis Negara, Tan Seri Khalid Abu Bakar berkata, terdapat beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Nazri berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri tersebut dan pihak polis akan menyiasat perkara tersebut dibawah Akta Hasutan 1948.
Terdahulu, Nazri telah membidas kenyataan Tunku Mahkota Johor kerana bertindak mengkritik tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang membatalkan kehadirannya dalam forum ‘Nothing To Hide’ pada 5 Jun lalu.
“Bagaimana boleh diadakan suatu dialog bertajuk ‘Nothing2hide’ dengan mengetengahkan seorang yang ingin menyembunyikan segala-galanya. Tentu sekali dia tidak akan muncul.
“Kepada mereka yang diberikan amanah, jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda,”tulis Tunku Ismail pada posting Facebook Johor Southern Tigers yang bertarikh 5 Jun lalu.
Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, Nazri memberitahu Tunku Ismail supaya ‘menjauhi politik’ jika tidak mahu ‘dibelasah’.
“Saya rasa beliau harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan ‘whack’ (belasah) beliau,” katanya.

Thursday 18 June 2015

Kerajaan Guna Semua Sumber Cari Kapal Tangki Yang Hilang – Najib



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan menggunakan sumber-sumbernya untuk mengesan kapal tangki yang hilang bersama 22 kru di 30 batu nautika timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor pada Khamis.
Najib berkata beliau berasa sedih mendengar berita kehilangan kapal tangki itu dan berdoa semoga semua kru dalam kapal tersebut berada dalam keadaan selamat.
“Saya sedih mendengar berita kehilangan kapal tangki milik Malaysia itu. Saya berdoa semoga 22 kru yang 16 daripadanya ialah warga Malaysia berada dalam keadaan selamat.
“Doa saya adalah bersama keluarga masing-masing. Kerajaan akan menggunakan sumber-sumbernya untuk mengesan kapal tangki itu,” katanya menerusi catatan terbaharu beliau dalam laman Twitter dan Facebook pada Ahad.
MT Orkim Harmony membawa 6,000 tan metrik muatan minyak petrol RON95 sedang dalam pelayaran dari Melaka ke Kuantan apabila dilaporkan hilang Khamis lepas.
Selain 16 kru warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar berada dalam kapal tangki itu.
Operasi mencari untuk menjejaki kapal tangki itu telah dilancarkan denganTentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengerahkan tiga buah kapal bersama 150 anggota sementara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakansebuah helikopter, tiga buah kapal dan sebuah bot.
-mstar

Wednesday 17 June 2015

Najib Perjelas Isu 1MDB Kepada Wakil UMNO



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijadualkan bakal memberikan taklimat berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada wakil-wakil UMNO Bahagian dalam satu sesi tertutup, hari ini.
Memetik laporan daripada Mstar, penerangan tersebut akan diberikan kepada wakil-wakil UMNO Bahagian sebagai salah satu usaha bagi menangani serangan terhadapnya berkenaan isu 1MDB.
Sesi tertutup itu dijangka akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putwa, di sini.
Di dalam program yang sama, Najib turut dijangka akan memberi taklimat dan penerangan mengenai beberapa isu semasa yang lain kepada wakil-wakil UMNO yang hadir.
“Sesi seperti ini akan diadakan lebih kerap di mana beliau secara peribadi dapat menjelaskan kepada akar umbi dan orang ramai mengenai isu-isu kritikal,”kata sumber.
Dalam perkembangan yang lain, Perdana Menteri turut menzahirkan kekagumannya mengenai kebolehan rakyat Malaysia yang berjaya dibuktikan melalui kontrak pengurusan Metro Line bernilai RM900 juta kepada Prasarana Malaysia Bhd oleh kerajaan Arab Saudi.
“Walaupun kita tidak membinanya, kita masih diberi kepercayaan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menguruskan talian keretapi tersebut.
“Keputusan mereka adalah suatu pengakuterimaan kemampuan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam,”katanya ketika berucap di Kampung Bukit Udang, di Pekan, semalam.

Tuesday 16 June 2015

Tun Mahathir Bidas Nazri Aziz



KUALA LUMPUR: Tun Mahathir mengakui beliau hanyalah rakyat biasa, namun idea-idea yang dilontarkan beliau sentiasa mendapat sokongan orang ramai.
Tun Mahathir berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz yang menegaskan beliau tidak layak berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, berikutan beliau hanyalah rakyat biasa.
“Dia (Nazri) berkata begitu kerana mewakili orang yang membayarnya. Saya tiada siapa untuk dibayar.
“Tapi apabila saya lihat blog saya dalam masa sejam, kira-kira satu juta rakyat menyokong saya,”katanya, memetik laporan daripada Mstar.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media satu sidang media yang diadakan sejurus selepas beliau berucap di satu majlis ‘Dangerous Ideas’ di sini, semalam.
Tun Mahathir turut menegaskan, beliau mempunyai banyak sokongan dan rakyat juga sering berkata beliau tidak bersendirian.
“Adakah saya bersendirian? Saya fikir tidak. Saya rakyat biasa tetapi ramai yang menyokong idea saya.
“Apabila saya kata saya sendirian, mereka (rakyat) kata saya tidak bersendirian. Saya tidak fikir saya bayar mereka,”katanya dalam nada yang sinis.
Terdahulu, Nazri dengan tegas menyatakan bahawa Tun Mahathir hanyalah rakyat biasa dan tidak mempunyai hak untuk berdebat dengan Perdana Menteri.
“Saya tidak mahu Perdana Menteri merendahkan dirinya kerana beliau adalah Perdana Menteri, manakala Tun Mahathir hanyalah rakyat biasa,”kata Nazri.
Tun Mahathir turut mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan Nazri yang meminta supaya Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk tidak mencampuri urusan politik Negara atau bakal dikecam.
“Selagi kerajaan mengamalkan kebebasan bersuara, Tengku Mahkota Johor itu juga mempunyai hak untuk bersuara.
“Melainkan ada undang-undang yang melarang baginda untuk bebas bersuara,”katanya.
Nazri turut berkata Tunku Ismail perlu menjauhkan diri daripada dunia politik atau beliau akan ‘dibelasah’.
“Raja-raja dan keluarga diraja ini berada di atas undang-undang. Kalau dia mahu jadi ahli politik, jadi dia perlu beritahu. Kemudian kita boleh jawab balik.
“Kamu memegang jawatan penting di negeri..kalau kerajaan ‘belasah’ kamu balik, jangan marah,”kata Nazri.
Tun Mahathir dengan tegas berkata, Tunku Ismail turut mempunyai hak kebebasan bersuara untuk menyuarakan pendapat Baginda.