PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Sunday 31 May 2015

Kabinet Bayangan Pembangkang Igauan Mat Jenin



BLOG UMNO BAHAGIAN CHERAS - Perbalahan PKR dan DAP berhubung pembentukan kabinet bayangan membuktikan Pakatan Rakyat (PR) tiada kesepakatan sasama sekutu mereka, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

"Jika sesama sekutu dalam PR pun tidak sehaluan kerana masing-masing mempunyai agenda tersendiri, bagaimana untuk mereka mentadbir negara ini jika berkuasa," katanya.

Ini kata beliau, memberi gambaran awal bahawa rakyat Malaysia akan menjadi mangsa politik pembangkang jika mereka diberi peluang menguasai Putrajaya.

Katanya, semalam PKR umumkan pembentukan kabinet bayangan tetapi tidak diterima oleh DAP yang turut membentuk kabinetnya sendiri.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang kata beliau, telah menolak kabinet bayangan PKR yang diterajui presiden bonekanya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, pemimpin DAP menegaskan mereka akan menguasai Putrajaya dan membentuk kerajaan walaupun tanpa sekutunya, PKR dan PAS.

Berikutan itu, berlaku pergeseran antara DAP dan PKR yang berkeras dengan kabinet bayangan masing-masing.

Syed Ali menyifatkan kebinet bayangan PKR dan DAP sekadar 'kabinet Mat Jenin' untuk menarik perhatian rakyat.

"Dalam kabinet bayangan DAP, tidak ada seorang pun pemimpin PAS yang disenaraikan, jelas sekali lagi PAS dihina oleh DAP," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, PAS tidak berasa malu walaupun dihina oleh DAP kerana parti itu juga hanya mementinmgkan kuasa politik.

"Pemimpin DAP, PKR dan PAS sebenarnya mabuk kuasa," ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat agar tidak membiarkan diri mereka menjadi korban politik pembangkang yang rakus untuk menguasai negara ini.

Menyifatkan sebagai helah dan strategi pembangkang, Syed Ali menjelaskan tidak ada sebarang pembaharuan yang mampu dilakukan PR untuk kepentingan rakyat.

"Pembentukan kabinet bayangan yang dimumkan PKR sekadar gimik politik untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya parti itu masih popular.

Ini katanya, sokongan sebilangan kecil penyokong sedia ada semakin menurun setelah Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabit bersalah meliwat.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras itu lagi, bayangan DAP untuk menguasai Putrajaya pada PRU ke-14 akan sekadar igauan semata-mata.

"Mereka kata akan memerintah negara ini pada PRU ke-14 walaupun tanpa sokongan PKR dan PAS, tetapi DAP lupa rakyat yang akan menentukannya.

Kata Syed Ali, keangkuhan dan kesombongan DAP itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau mengingatkan, tidak ada kewajaran untuk rakyat memilih DAP, parti perkauman untuk mentadbir negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO/BN Wilayah Persekutuan berkata, sokongan pengundi bukan Melayu terhadap kerajaan BN semakin meningkat.

"Melihat kepada senario politik sekarang, nampak kecenderungan pengundi bukan Melayu memihak kepada BN," jelasnya merujuk kepada BN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun ujarnya, UMNO dan BN perlu bekerja keras untuk mengekalkan sokongan tersebut.

"Di Kuala Lumpur, fenomena pengundi Melayu bandar perlu diberikan perhatian kerana pendekatan mereka berbeza dengan negeri-negeri lain," katanya.

Beliau menjelaskan, pengaruh media sosial turut memberi kesan yang besar terhadap sikap pengundi bandar.

Katanya, sogokkan pelbagai maklumat dan penyebaran fitnah serta provokasi pembangkang menjadi ancaman yang perlu dibanteras oleh UMNO dan BN secara lebih aggresif.

"Kita kena bekerja keras bagi memastikan sokongan pengundi terus memihak kepada BN bagi berdepan dengan PRU ke-14," tegasnya.

Beliau turut mengakui ancaman BN di  Kuala Lumpur ialah daripada DAP, parti rasis yang memainkan sentimen perkauman untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu.

Saturday 30 May 2015

Wayang Murahan DAP dan PAS



BLOG DR MiM - Portal media menganggap Mahfuz Omar buat wayang sahaja kerana Muktamar dan pemilihan kepimpinan PAS semakin hampir pada bulan Jun ini. Dan Abdul Hadi dilihat bakal mengekalkan jawatan Presiden PAS.

Apa pun, tindakan Mahfuz agak menghairankan kerana teguran beliau jelas sudah berbulan-bulan terlambat untuk dibuat terhadap Guan Eng.

Mana tidaknya, sejak dari “Langkah Kajang” lagi, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibelasah kiri kanan depan belakang membawa kepada isu Hudud yang sehingga kini Hadi dipinggirkan, namun suara Mahfuz waktu itu tidak kedengaran. seterusnya

Dalam masa yang sama, Lim Kit Siang DAP seperti anaknya Lim Guan Eng DAP, dilihat cuba mencuit kemarahan rakyat terutamanya ahli-ahli PAS apabila mempertikai kenyataan Abdul Hadi.

Sebelum ini, Lim Guan Eng DAP telah membangkitkan kemarahan orang Islam apabila mengatakan bahawa orang bukan Islam di Pulau Pinang boleh menggunakan kalimah Allah.

Padahal, fatwa larangan ini terpakai ke atas orang bukan Islam di Negeri Pulau Pinang. Dan isu provokatif melampau ini pun belum ada kesudahan. Apa sudah jadi?

Kroni tegar Lim Guan Eng DAP iaitu Lim Kit Siang DAP pula dilaporkan 'terkejut' apabila Presiden PAS itu mewajarkan kemarahannya terhadap penolakan hudud oleh parti itu atas nama Islam.

Katanya, ia satu langkah terkebelakang yang sangat merbahaya dan memecahbelahkan serta boleh menghambat proses membina negara Malaysia yang warganegaranya berbilang kaum, agama dan budaya.

Oleh itu, Lim bertanya, adakah kemarahan terhadap presiden PAS itu juga dibenarkan agama kerana katanya, Hadi berlaku tidak jujur, tidak ikhlas dan khianat kepada Pakatan Rakyat (PR).

"Adakah kemarahan terhadap Hadi dibenarkan, bukan sahaja menurut agama Islam tetapi juga agama-agama lain di dunia, kerana tidak berlaku jujur, tidak ikhlas dan khianat apabila terus menerus melanggar Dasar Bersama PR serta prinsip konsensus PR? seterusnya

Sungguh memualkan apabila veteran tua DAP bercakap tentang 'memecahbelahkan serta boleh menghambat proses membina negara Malaysia'. Malulah.

Apakah beliau lupa dengan tragedi berdarah 13 Mei dan sikap rasis melampau parti DAP hingga ramai yang terbunuh?

Dan menerima hudud atas nama Islam adalah 'satu langkah terbelakang yang sangat merbahaya?

Soalannya, apakah veteran tua DAP ini mahu dasar bersama Pakatan haram Pembangkang ini mengatasi undang-undang syariah Islam?

Dan apakah ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS hanya berdiam diri, memperbodohkan diri dan sanggup perjuangan parti PAS dihina lebih hina daripada sampah sarap?

Jika merujuk kepada pergolakan di antara PAS dan DAP yang sudah lama tanpa kesudahan, jawapannya ialah mereka memang sanggup dihina, diperbodoh dan memperbodohkan diri. Inilah parti PAS yang ada sekarang.

Dan jangan pula kita lupa tentang skandal projek super mega kerajaan Pakatan haram pembangkang bernilai billion ringgit wang rakyat yang masih tidak dijawab.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis blog 'bERANIKAN hATI' dan tidak semestinya mewakili pandangan Rakyat News.

Friday 29 May 2015

Isu Rohingya Perlu Penglibatan Badan Antarabangsa, Kata Najib



Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Baru-baru ini, kita telah dikejutkan oleh penemuan kubur-kubur besar di kem pemerdagangan manusia di sempadan Perlis-Thailand di mana amat jelas bahawa mereka telah didera dan dizalimi dengan begitu kejam sekali.

Di samping itu, kita juga turut menerima pelarian kaum Rohingya. Akibat itu, Malaysia, Thailand dan Indonesia telah menerima kesan daripada tragedi kemanusiaan ini. Demi kedaulatan negara, kita tidak boleh membenarkan orang luar masuk ke sempadan kita dengan begitu mudah.

Namun, sebagai manusia, kita mempunyai rasa belas kasihan. Saya akui, setelah melihat keadaan pelarian Rohingya, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang merana akibat kelaparan, kehausan dan keletihan, saya telah membuat keputusan mengarahkan operasi menyelamatkan mereka di perairan kita.

Jika diteliti, kaum Rohingya ini lebih rela mengambil risiko meredah lautan tanpa jaminan hidup daripada terus tinggal di bumi Myanmar.

Justeru, adalah amat penting bagi semua negara, pertamanya, dalam konteks ASEAN untuk mencari satu penyelesaian ASEAN bersama-sama dengan kerajaan Myanmar.

Kedua, negara-negara lain seperti negara ketiga perlu memainkan peranan untuk membantu membanteras permasalahan ini dan di samping itu menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan.

Ketiga, kita harap juga badan-badan seperti OIC dan juga PBB memainkan peranan masing-masing supaya masalah kemanusiaan yang begini serius dapat kita atasi.


Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri Malaysia

Thursday 28 May 2015

Rayuan Anwar Tolak Penghakiman Lepas Dibenarkan




Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penghakiman kes liwat pada 1998 tidak diguna pakai sebagai pembelaan, Senator Datuk S. Nallakaruppan dan dua lagi dalam kes saman fitnah RM100 juta terhadap mereka.
    
Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang mengetuai panel tiga hakim membuat keputusan sebulat suara setelah mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi.  

Pada 26 Disember 2012, Hakim Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan Nallakaruppan, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd serta Ketua Pengarang Kumpulan akhbar itu Datuk Abdul Aziz Ishak untuk mengekalkan hampir semua penyataan dalam pembelaan bagi kes saman tersebut.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Peguam Muhammad Asmirul Asraf Fadli, mewakili Utusan, memberitahu pemberita bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan Seksyen 43 Akta Keterangan yang menghalang sabitan jenayah lampau diguna pakai di dalam kes saman sivil.

Dalam kes liwat I, iaitu dakwaan meliwat pemandu peribadi, Azizan Abu Bakar, penghakiman bertulis yang dibuat oleh bekas Ketua Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad ada menyatakan bahawa 'Anwar mempunyai kecenderungan homoseksual'.

Selain itu, mahkamah yang sama turut menolak rayuan balas yang difailkan Nallakaruppan, Utusan dan Abdul Aziz serta memerintahkan mereka membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Anwar.

Pada 26 Mac 2012, Anwar memfailkan saman terhadap ketiga-tiga defendan berhubung perkataan Nallakaruppan, yang didakwa fitnah dan mencemar nama baiknya, yang disiar di muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac 2012 bertajuk "Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang – Nalla".

Penyataan tuntutan Anwar mendakwa perkataan berunsur fitnah yang terkandung dalam artikel itu adalah palsu, tidak berasas dan disiar dengan niat jahat.

Selain ganti rugi am sebanyak RM100 juta, Anwar menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Kesemua defendan mengemukakan pembelaan justifikasi, perlindungan bersyarat serta komen yang adil, dan mereka bergantung kepada pendapat majoriti dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan bagi kes liwat Anwar pada 1998. - Bernama

Wednesday 27 May 2015

GST : Najib Jawab Kritikan Tun Mahathir



 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab lagi kritikan yang dibuat terhadap beliau dan kerajaan, dengan memberi fokus kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan dakwaan yang disuarakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam catatan terbaru beliau melalui blog NajibRazak.com, Najib berkata: "Ia adalah sambungan kepada FAQ (soalan lazim) sebelum ini."    

Pada 17 Mei, Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan berkenaan serta respons beliau melalui blog itu, antaranya tuduhan berkaitan isu Altantuya dan 1MDB.

Dalam respons beliau mengenai kritikan terhadap GST, Najib berkata: "Saya faham bahawa beberapa kebimbangan disuarakan mengenai GST yang diperkenalkan.    

"Bagaimanapun, sebagai perdana menteri, adalah tanggungjawab saya untuk membuat keputusan yang betul bagi seluruh rakyat Malaysia, walaupun ia mungkin kelihatan sukar ketika ini.

"Kini, hanya seorang dalam setiap 10 orang rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan dan oleh itu, adalah penting bagi kami meluaskan asas percukaian demi kebaikan ekonomi untuk jangka panjang.

"Lagi pun, adalah penting untuk dimaklumkan bahawa 23 peratus daripada hasil kerajaan ketika ini datangnya daripada minyak dan gas.

"Seperti yang dapat kita saksikan daripada kejatuhan teruk harga minyak global baru-baru ini, Malaysia tidak mampu mengekalkan pertumbuhan dan pembangunannya berdasarkan aliran hasil itu semata-mata.

"Inilah sebabnya kami mengumumkan satu pembaharuan terhadap sistem  percukaian, dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.

"Pengenalan GST akan membantu kita dalam membina ekonomi yang lebih kukuh, lebih lestari dan telus: Ia akan mengurangkan defisit kita, membantu kita melabur untuk masa depan kita dan menolong memacu ke hadapan pembangunan negara kita.

Tuesday 26 May 2015

Dakwaan Kutip Dana Secara Haram, Rafizi Salahkan Umno



 Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyalahkan Umno berhubung isu laporan polis ke atas beliau yang dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Minda Sosial dan Prihatin (PSMP) atas dakwaan penipuan kutipan dana.
Rafizi berkata, kutipan tersebut disalurkan ke atas syarikat beliau kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak mudah untuk meluluskan penubuhan sesebuah NGO.
"Undang-undang pertubuhan di Malaysia ini ditentukan oleh Umno, hanya pertubuhan tertentu yang dapat kelulusan.
"Sebab itu, kebanyakan dari pertubuhan ditubuhkan sebagai syarikat, orang-orang seperti beliau (PSMP) tidak faham undang-undang syarikat pun, syarikat tidak semestinya ditubuhkan untuk mengaut keuntungan, asalkan ianya menepati syarat-syarat ia tidak menjadi masalah," katanya kepada Rakyat News di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Rafizi turut mendakwa, Presiden PSMP, Ramesh Rao juga tidak memahami sistem perundangan dengan betul sebelum membuat laporan polis terhadap beliau semalam.
Katanya, aduan kepada pihak polis kononnya beliau mengutip derma secara haram adalah tidak relevan kerana kutipan tersebut langsung tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.
"Sebenarnya beliau tidak faham undang-undang, pengambilan deposit ini hanya terikat kepada undang-undang sekiranya tujuan pengambilan itu adalah untuk pelaburan dan berlagak seperti bank yang menyimpan duit tanpa lesen, itu bertentangan dengan undang-undang.
"Ini adalah cubaan murah untuk mengalihkan perhatian umum daripada isu 1MDB, isu yang dibangkitkan langsung tidak ada relevan ke atas mana-mana undang-undang," ujarnya.
Semalam, PSMP membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya dan menyifatkan Rafizi sebagai penipu yang tidak boleh dipercayai setiap kata-katanya.
Kutipan dana tersebut dibuat melalui National Oversight Whistleblowers (NOW) yang sebenarnya bukan sebuah NGO tetapi merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang mana Rafizi memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif 

Monday 25 May 2015

MH370 : Kapal Laut China Kembali ke Perairan Malaysia



Forum Serantau ASEAN-Eksesais Bantuan Bencana (ARF-DiREx) 2015, eksesais mencari dan menyelamat maritim (SAR), menyaksikan penglibatan kapal 'MV Haixun 31' iaitu kapal China yang menyertai operasi bersama mengesan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Nakhoda kapal, Chen Qinli berkata penglibatan kapal tersebut dalam operasi carian MH370 mengambil masa kira-kira dua bulan dan ia merupakan misi SAR terbesar dan paling lama dijalankan.

"Ia adalah salah satu misi menyelamat yang terbesar dan paling lama kami telah terlibat dan perjalanan dari China ke Lautan Hindi bukan mudah," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

MV Haixun 31, sebuah kapal dengan Bahagian Rondaan Marin Laut China Selatan, Pentadbiran Keselamatan dan Penguatkuasaan Maritim China (MSA), itu berukuran 114 meter panjang, 13.8 meter lebar dan mempunyai kelajuan maksimum 22 knot.

Mengulas mengenai eksesais SAR pada Rabu, beliau melahirkan rasa puas hati dengan persembahan dan tahap profesionalisme semua pegawai.

Sementara itu, Lt. Komander Suhaizan Saadin daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, berkata eksesais tersebut termasuk misi SAR di permukaan, air dan kawasan tumpahan minyak.

Beliau berkata antara agensi terlibat adalah APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Marin serta kapal China, MV Haxiun 31 dan Dong Hai Jiu 101.

Thailand dan India turut menyertai eksesais SAR tersebut.

Suhaizan berkata eksesais ini boleh membantu meningkatkan serta mengukuhkan kecekapan negara-negara asing sekiranya berlaku bencana di rantau ini.

Anjuran bersama Malaysia dan China, ARF-DiREx 2015 bertujuan menguji usaha penyelarasan awam-tentera, mewujudkan sinergi dan penyelarasan usaha ke arah menyokong keberkesanan pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan di rantau ini.

Sunday 24 May 2015

Lepas 1MDB, Tun M 'Serang' GST Pula



Belum tamat isu 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB) yang dibangkitkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, kini beliau mempersoalkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula.

Tun Mahathir menerusi blog beliau hari ini menyarankan kerajaan perlu berjimat dalam perbelanjaan seterusnya mengelak daripada melaksanakan GST.

"Dana tambahan dikutip melalui perbelanjaan rakyat. Mereka terpaksa bayar lebih bagi setiap pembelian, maknanya kuasa beli mereka menurun. Erti kata lain, rakyat semakin miskin hanya semata-mata untuk mengayakan kerajaan.

"Dengan memperkenalkan GST, kerajaan sebenarnya menyuruh rakyat termasuk mereka yang bukan golongan pembayar cukai, menyelamatkan kerajaan," katanya.

Bekas Presiden UMNO ini semakin lantang menyuarakan ketidakpuashatian terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ujar Mahathir, tekanan terhadap sistem kewangan negara akan timbul sekiranya syarikat berkaitan kerajaan seperti 1MDB mengalami kemerosotan dalam perolehannya.

"Dengan melaksanakan GST, kerajaan sebenarnya meminta (dana) daripada rakyat, termasuk mereka yang tidak termasuk dalam kumpulan yang membayar cukai pendapatan untuk membela kerajaan," ujarnya lagi.

Saturday 23 May 2015

Dr Zuhdi : DAP Makin Keterlaluan



Sikap DAP yang keterlaluan campur tangan urusan dalaman Pas serta cuba mencorakkan organisasi kepemimpinan parti itu bakal menjadi punca kepada keretakan dalam pakatan pembangkang.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, tindak-tanduk pemimpin-pemimpin DAP kebelakangan ini jelas menunjukkan adanya perancangan parti itu untuk menguasai Pas melalui pemilihan Muktamar Pas bulan depan.

“Jelas kelihatan DAP sedang berusaha untuk menyingkirkan pimpinan-pimpinan Pas yang berani berkata ‘tidak’ atau ‘no’ kepada DAP. Untuk menyingkirkan jaluran pimpinan-pimpinan Pas yang tegas seperti ini, DAP telah melakukan serangan habis-habisan terhadap Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang sebelum ini tidak tunduk kepada desakan-desakan DAP dalam mesyuarat-mesyuarat pakatan.

“Muktamar Pas yang akan bermula Khamis minggu depan, dilihat sebagai peluang keemasan untuk menaikkan pimpinan-pimpinan Pas yang dapat memenuhi kehendak DAP atau dengan perkataan lain, mereka yang ‘yes man’. Usaha DAP dilihat mulai berputik apabila buat pertama kali sejak era kepemimpinan ulama, Presiden Pas yang kini disandang oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah dicabar,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Menjelang Muktamar Pas di Kuala Selangor, bulan depan, pimpinan DAP dilihat banyak mengkritik Abdul Hadi dan baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng mengkritik Presiden Pas itu apabila mendakwa hanya jasad Abdul Hadi bersama pakatan pembangkang, sebaliknya hati bersama UMNO.

Menurut Mohd. Zuhdi, bagi mana-mana pimpinan Pas yang merelakan campur tangan dan tunduk kepada kehendak DAP, tindakan itu disifatkan sebagai bacul dan khianat.

“Sekiranya hasrat DAP untuk menaikkan pimpinan yang lunak terhadap desakan mereka berjaya dalam muktamar kali ini, Pas akan menjadi sebuah parti yang hilang maruah dan suara tegas Islam semakin luntur di Malaysia,” katanya.

Jelas Mohd. Zuhdi, pencabar bagi jawatan Presiden Pas, Ahmad Awang dilihat lebih lunak kepada desakan-desakan DAP berbanding Abdul Hadi yang cukup dikenali sebagai tokoh yang tegas dan berprinsip sejak zaman mudanya.

Katanya, ketegasan Abdul Hadi juga menjadi penghalang kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendominasi pakatan pembangkang serta menjadikan Pas sebuah parti yang berprinsip dan bermaruah.

“Bagaimanapun, apabila dalam kalangan pimpinan di bawah Presiden mula menyanggah ketegasan Presiden mereka sendiri, khususnya sejak isu ‘Langkah Kajang’, pihak yang tidak senang dengan ketegasan Presiden Pas ini mulai menghidu peluang untuk menyingkir beliau dan pimpinan-pimpinan Pas yang setegas beliau.

“Situasi ini makin terserlah, apabila ada pimpinan-pimpinan tertinggi Pas yang menyanggah Pre­siden mereka sendiri dalam mesyuarat-mesyuarat pakatan, malah pernah satu ketika ‘membakulsampahkan’ keputusan Presiden Pas yang dipersetujui sebulat suara ketika mereka mewakili Pas dalam Mesyuarat Majlis Presiden pakatan pada 17 Ogos tahun lalu,” katanya.

Friday 22 May 2015

1MDB : Tak Adil Salahkan Kerajaan Sebelum Bentang Hasil Audit - PM



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tidak adil untuk ahli politik tertentu mensabitkan kerajaan di 'mahkamah pendapat umum' berhubung kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum fakta sebenar dibentangkan pihak berkuasa, khususnya Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Perdana Menteri berkata, apabila kebimbangan mula dibangkitkan mengenai perkara itu, beliau mengarahkan Ketua Audit Negara dan PAC untuk menyiasat akaun 1MDB kerana mahukan penjelasan terperinci.

"Kami menjangkakan Ketua Audit Negara akan mengeluarkan laporan awal tidak lama lagi. Sementara itu, jangan buat spekulasi dan kesimpulan tanpa maklumat yang akan dibentangkan Ketua Audit Negara.

"Kita semua mahu jawapan terperinci tetapi adalah wajar untuk membiarkan juruaudit melakukan kerja mereka dan memberitahu kita dengan jelas keadaan sebenar. Jika kita membuat andaian awal, kita akan menggugat mereka seperti yang dilakukan banyak pihak.

"Ini bukan prosedur yang betul. Jika kita ikhlas dalam mencari kebenaran di sebalik dakwaan itu, kita perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah (seperti Ketua Audit Negara) dan bukannya daripada pihak ketiga atau portal berita yang mungkin mempunyai agenda tersembunyi," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan kepada 13 persoalan dan isu yang dibangkitkan pihak tertentu, menerusi laman web rasminya, NajibRazak.com hari ini.

Mengenai dakwaan beliau mengabaikan Unit Perancang Ekonomi (EPU), dengan menubuhkan sebuah agensi baharu untuk merancang pembangunan negara, Perdana Menteri berkata:

"Saya menubuhkan PEMANDU sebagai badan untuk menyelia program transformasi yang merangkumi aspek ekonomi bukan saja di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), tetapi aspek bukan ekonomi di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

"Bertentangan dengan sesetengah perkara yang dibangkitkan, saya meletakkan kepentingan yang besar dalam EPU kerana ia penting bagi memastikan kejayaan ETP. Saya juga melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang paling berkelayakan di negara ini untuk mengetuai EPU," katanya.

Thursday 21 May 2015

MT UMNO Nyata Sokongan Terhadap PM, TPM



KUALA LUMPUR: Majlis tertinggi UMNO hari ini menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Meskipun diasak dengan pelbagai permasalahan serta isu-isu panas sejak kebelakangan ini, namun Najib selaku Perdana Menteri masih mendapat sokongan penuh dalam kalangan anggota UMNO.
Najib berkata, barisan kepimpinan UMNO mahu semua pemimpin bersatu bagi menangani cabaran dalam memperkukuhkan lagi parti itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, petang tadi.
Ujarnya segala khabar angin yang tersebar sebelum mesyuarat berlangsung terbukti tidak benar dan pihak yang menyebarkan hal itu semestinya akan kecewa dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini.
Dalam pada itu, ujarnya, beliau telah mengadakan satu pertemuan secara peribadi bersama dengan Muhyiddin bagi membincangkan perihal parti itu.
Beliau turut menghargai segala idea bernas yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Parti itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang berlangsung, hari ini.
Tegasnya, beliau akan memastikan tiada usaha untuk memecah belahkan pimpinan parti itu dilakukan khususnya terhadap beliau dan Muhyiddin.

Wednesday 20 May 2015

Setiap Perdana Menteri Lakukan Yang Terbaik Untuk Negara – Najib



KLANG: Setiap perdana menteri melakukan yang terbaik serta mempunyai jasa dan sumbangan buat negara pada zaman masing-masing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Apa yang penting, (ialah) untuk kita lakukan yang terbaik dalam zaman kita kerana sejarah akan menilai kita, dan saya berazam untuk melakukan terbaik untuk rakyat,” katanya pada majlis ‘Sepetang bersama Perdana Menteri’ anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Selangor di sini, Sabtu.
Najib berkata: “Kita tahu jasa Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri PertamaTunku Abdul Rahman Putra Al-haj) kepada negara. Saya tidak boleh kata (saya) lebih baik daripada (ayahanda) Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein) dan juga pemimpin-pemimpin lain yang menjadi perdana menteri.”
Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menganggap dirinya sebagai perdana menteri yang terbaik berbanding lima perdana menteri sebelum ini.
Najib mengulas kenyataan Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar dalam ucapan aluannya yang menganggap beliau sebagai perdana menteri terbaik berbanding perdana-perdana menteri Malaysia sebelum ini.
Turut hadir Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar serta kira-kira 2,000 orang tetamu. Najib berkata beliau tidak mempunyai niat lain dalam menjalankan tugasnya memimpin negara selain berusaha dengan terbaik untuk bersikap telus kepada rakyat.
Malah, katanya usaha kerajaan melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah membantu dalam perkembangan ekonomi negara.
“Dari segi ETP dan GTP, kita telah capai kadar 6 peratus. Beberapa negara boleh capai kadar itu? Kita boleh bilang dengan jari sebelah tangan dan kita telah atasi banyak negara lain.
“Malah, sejak saya jadi perdana menteri, kadar penambahan GNI (ukuran kekayaan negara) dalam tempoh lima tahun bertambah 49 peratus dan ini bererti kekayaan negara kita telah bertambah,” katanya.
Najib turut mengulangi komitmennya untuk melakukan yang terbaik buat rakyat dan negara, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kritikan daripada pelbagai pihak.
Mengulas mengenai kritikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya, beliau berkata setiap perdana menteri mempunyai cabaran dan ujian tersendiri ketika zaman masing-masing termasuk Dr Mahathir.
“Ketika berdepan ujian UMNO diharamkan pada 1987, Dr Mahathir berkata jika beliau menang satu undi pun, beliau akan tetap jadi perdana menteri…dan walaupun hampir 50 peratus anggota UMNO tolak kepimpinannya, beliau tetap tidak turun.
“Maknanya, saya juga amalkan prinsip yang sama. Kalau hari ini saya dapat sokongan, kenapa saya patut turun? Saya dipilih melalui proses demokrasi dan yang pilih saya ialah anda semua,” katanya.
Mengenai sistem pemilihan baharu UMNO dengen meminda Perlembagaan parti itu pada 2009 dan dilaksanakan pada pemilihan jawatan parti itu pada 2013, Najib berkata ia dilakukan bagi menjamin pemilihan yang lebih telus dan terbuka termasuk dalam pemilihan jawatan tertinggi parti.
“Jika ikut perlembagaan UMNO dahulu, kalau nak cabar presiden parti mesti dapat minimum undi daripada 63 bahagian. Jadi, Dr Mahathir bolehlah kekal selama 22 tahun menjadi presiden parti dan perdana menteri bila guna perlembagaan macam itu.
“Saya bagaimanapun nak UMNO lebih terbuka di mana kita biar, jika ada orang nak bertanding (untuk jawatan presiden parti) tetapi Alhamdulillah, saya menang tanpa bertanding dan saya tidak bergantung kepada kuota atau undi bonus,”katanya.
Sebelum pindaan Perlembagaan UMNO pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 Bahagian UMNO.
Mengulangi falsafah Bugis yang berbunyi “walau bumi berkeping dua, tak kanmungkin ku berbalik haluan’ sebagai pegangannya, Najib menegaskan beliau tetap meneruskan perjuangannya bukan kerana kuasa tetapi kerana iltizamnya untuk melakukan sebaik mungkin,termasuk meneruskan agenda dalam memastikan Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.
“Agenda untuk pastikan UMNO dan BN terus berkuasa di bumi bertuah ini jugawajib kita perjuangkan. Kita akan rapatkan barisan kita dan berusaha lebih gigih lagi untuk pastikan PRU (Pilihan Raya Umum) ke-14, BN akan berjaya seterusnya pastikan bumi Malaysia ini terus dipimpin oleh BN,” katanya bersemangat sambil disambut dengan sorakan padu daripada mereka yang hadir.
-mstar

Tuesday 19 May 2015

Nasib BN malang jika PRU diadakan sekarang


SHAH ALAM – Susulan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan kos sara hidup, BN mungkin berdepan kekalahan jika Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) jika ia diadakan dalam waktu terdekat ini.
Malah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, jika isu ini tidak ditangani dengan baik, rakyat akan ‘lari’ kepada parti politik yang mampu membantu mereka.
“Di negara barat, mereka (rakyat) akan lebih memilih untuk ‘apolitical’ iaitu tidak berminat langsung dengan politik… menolak terus politik jika ada perbalahan parti. Kesan kepada itu pada pilihan raya selalunya jumlah keluar mengundi turun, sebab mereka dah tak percaya pada parti politik.
“Tapi di Malaysia lain sedikit. Lagi mereka (parti politik) berbalah, rakyat makin mula minat politik. Dengan kewujudan media sosial buka ruang untuk rakyat suarakan pandangan tanpa sekatan. Jadi, apabila rakyat rasa terbeban dengan sistem ekonomi sekarang, mereka akan bersuara dan mendekati parti politik yang mana mereka rasa perjuangkan hak mereka,” katanya kepada Sinar Online.
Menurutnya lagi, PR boleh menang pada PRU14 dengan syarat pakatan pembangkang itu kukuh tidak goyang seperti sekarang.
“Kalau ada pilihan raya pada masa sekarang, agak sukar untuk BN. Isu ekonomi ini yang dihadapi oleh semua peringkat rakyat akan menghambat BN. Kalau mood politik pada hari ini kekal hingga PRU14, berat sikit untuk BN menang tapi dengan syarat PR tidak berpecah belah, kukuh.
“jika PR pun berpecah belah, kita kena lihat kemudianlah bagaimana suasana ketika itu nanti, sekarang tak boleh nak jangka lagi macam mana,” katanya.
Mengulas soal pengumuman kerajaan berhubung isu kad tambah nilai baru-baru ini, beliau menyifatkan kerajaan ‘terlupa’ bahawa golongan pelajar paling ramai terkesan dalam isu berkenaan.
“Pada saya pengumuman menteri berkenaan GST dikenakan ke atas kad tambah nilai itu tidak menyelesaikan keadaan. Walaupun alasan menteri sebelum ini sebut ramai warga asing guna prabayar, saya rasa tidak juga begitu. Paling banyak guna adalah golongan bawahan, pelajar.
“Golongan pelajar terutamanya yang sepatutnya dijaga pihak menteri sebab mereka ini pengundi dalam pilihan raya akan datang. Jika mereka tidak percaya pada parti politik tertentu, saya percaya parti politik itu akan terjejas teruk. Sebab isu-isu ini melibatkan kehidupan mereka. pengaruhnya besar. Faktor ekonomi memang boleh memberi kesan kepada politik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan soal sasaran Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 namun sehingga kini, gaji minimum masih belum meningkat.
“GST memang baik tapi tempoh matangnya lambat. Jadi, apabila laksana GST, banyak barang naik… di situ isu penguatkuasaan. Perlu dimantapkan oleh pihak kerajaan. Kalau nak capai tahap matang pula, pendapatan isi rumah perlu dinaikkan.
“Sekarang ini, pendapatan isi rumah tak naik. Bila nak naik? Kalau tak naik, ia akan beri kesan yang tidak baik dari segi ekonomi di mana inflasi akan meningkat, rakyat pun tidak banyak berbelanja sebab terlalu berjimat cemat dalam perbelanjaan mereka. Jadi, pusingan ekonomi itu akan kurang dan beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi. GST ini banyak kesan rantaian.
“Sasaran tahun 2020 Malaysia akan jadi negara berpendapatan tinggi, tapi yang nak naikkan pendapatan itu bila? Itu yang kita tak tahu,” katanya.-sinar harian

Monday 18 May 2015

Bot Karam Di Sungai Tiang, Mangsa Belum Ditemui



BAGAN DATOH: Dua buah bot milik nelayan karam setelah berhadapan dengan angin kencang dan ribut yang kuat berhampiran Sungai Tiang di sini pagi semalam.
Menurut sumber, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Perak, laporan kehilangan di terima melalui laporan daripada Balai Polis Rungkup sekitar jam 2.30 petang semalam.
IMG-20150518-WA0005
Mangsa 49 tahun berbangsa Cina, dilaporkan hilang sekitar jam 11 pagi semalam.
Setakat ini, operasi mengesan dan mencari mangsa yang hilang sedang giat dijalankan oleh pihak penyelamat.
IMG-20150518-WA0006
Operasi menyelamat turut disertai agensi penyelamat seperti pihak Bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bantuan para nelayan.

Sunday 17 May 2015

'Saya Tak Terbabit Kes Altantuya' - Najib



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan adalah tidak adil untuk memaksa beliau membuka semula siasatan berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu, sedangkan mahkamah sudah memutuskan siapa yang bersalah.
Perdana Menteri berkata, kes itu sudah disiasat, dibicara dan diselesaikan di Mahkamah Persekutuan dan sewajarnya keputusan mahkamah itu adalah pengakhirannya.
"Saya tidak terbabit dan tidak tahu apa-apa mengenainya. Mahkamah telah mendapati siapa yang bersalah atas pembunuhan itu. Itu seharusnya menjadi pengakhiran cerita," katanya menerusi laman web rasminya NajibRazak.com sebagai menjawab 13 perkara yang dibangkitkan pihak tertentu.
Najib berkata, walaupun kes itu sudah lama berlalu tetapi ia terus "dikitar semula" oleh pihak pembangkang.
Katanya, memandangkan ia satu kes yang panjang, pihak tertuduh mempunyai cukup masa untuk menyatakan segala-galanya kepada mahkamah.
"Justeru, mengapa kita mendengar pula individu yang keterangan mereka sudah diberikan dan yang didapati bersalah melakukan jenayah itu?
"Apa yang penting, penghakiman itu memberikan keadilan kepada semua, paling penting kepada keluarga mangsa, terhadap tertuduh dan malah kepada saya," katanya.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu faham bahawa dalam politik banyak perkara yang dimainkan dan kes pembunuhan wanita Mongolia itu adalah satu daripadanya.
Katanya, kes itu menjadi panas pada masa itu kerana beliau bakal menjadi perdana menteri dan pihak pembangkang memerlukan sesuatu untuk menghalangnya.
"Kerana kedua-dua pengawal peribadi itu pernah bertugas dengan saya dan Razak Baginda adalah seorang rakan, maka mereka cuba mengaitkannya dengan saya.
"Pakatan dan media mereka secara tidak bertanggungjawab bermain perang saraf dengan cuba mengaitkan saya dan mempengaruhi persepsi.
"Bahkan mereka telah memalsukan gambar saya sedang makan malam dengan mangsa di sebuah restoran.
"Dalam era media sosial, perkara seperti ini mudah tersebar tanpa kawalan, termasuk gambar palsu itu," katanya.

Saturday 16 May 2015

Azizah Mahu Laksana Kabinat Bayangan



Selepas dilantik sebagai Ketua Pembangkang baru, menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah hari ini mengumumkan ingin melaksanakan kabinet bayangan dari kalangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Azizah, kewujudan kabinet bayangan ini sebagai alternatif daripada pihak PR kepada barisan menteri kabinet Barisan Nasional (BN) kini.

"Perbincangan hati ke hati yang kita bakal lakukan adalah dengan mengambil kira dasar bersama PR bertujuan untuk mematahkan dakyah politik perkauman dan agama oleh kerajaan Barisan Nasional," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Azizah hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen untuk kesekian kalinya selepas memenangi jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut awal bulan ini.

Jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh pernah disandang Azizah sebelum ini namun dilepaskannya secara sukarela selepas suaminya ingin memasuki semula arena politik pada 2008.

Anwar walaubagaimanapun kini hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun ekoran didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan enam tahun lalu.

Friday 15 May 2015

Sokong Kit Siang, Khalid Samad Tak Kisah Digelar Barua



Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyatakan dirinya tidak kisah digelar barua sekiranya itu gelaran baginya yang mempertahankan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berhubung isu ceramah hudud di Kelantan.

Khalid yang rapat dengan ramai pemimpin DAP menegaskan, beliau tidak meminta keredhaan kumpulan yang menggelarkannya barua tetapi meminta keredhaan daripada Allah.

“Ya, saya tahu dan faham bahawa saya akan turut ‘dibaruakan’ atas sebab tulisan saya ini. Biarkan. Golongan yang tiada hujjah akan menggunakan pendekatan caci maki.

“Biasalah. Kalau sudah akhlak mereka begitu, memang tidak mampu saya katakan apa-apa. Namun bukan keredhaan mereka yang saya inginkan pun, maka ada saya kisah?" katanya lapor Malaysiakini.

Beliau hari ini mempertahankan ucapan Lim pada 10 Mei lalu di Kota Bahru yang didakwa menghina hudud dan Islam.

Thursday 14 May 2015

Dr M Lakukan ‘Bailout’ Ketika Jadi PM – Salleh



KOTA KINABALU: Tanah yang dibeli oleh Tabung Haji dari 1MDB bukan ‘bailout’ (menyelamat) jika dibandingkan dengan tiga langkah menyelamat utama yang dilakukan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kata Speaker Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.
“Perkataa ‘bailout’ adalah istilah negatif dan telah sengaja digunakan atau disalahgunakan untuk menyindir bahawa ada sesuatu yang tidak kena berlaku,” kata Salleh, yang juga Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri Sabah di dalam blognya.
Salleh membangkitkan isu-isu ‘bailout’ di bawah era Dr Mahathir, memetik kes Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB), yang dikatakan muflis kerana rekod pinjaman BMF yang buruk di Hong Kong, sambil menambah Petronas terpaksa menyuntik wang untuk menyelamatkan bank tersebut.
“‘Bailout’ berlaku apabila wang dipam ke dalam sebuah organisasi yang sakit tanpa sebarang pulangan ke atas wang itu.
“Sama ada anda menerima dividen atau anda tidak mendapatkan wang anda kembali.
“Perwaja adalah ‘bailout’ kerana jika wang tidak dipam ke dalam syarikat itu, ia akan muflis.
“Sekali lagi, tidak ada pulangan wang kerajaan yang dipam ke dalam Perwaja,” katanya.
Salleh berkata kerajaan membeli balik saham MAS daripada Tajudin Ramli dan itu juga merupakan ‘bailout’.
“Jika kerajaan tidak membeli saham tersebut, Tajuddin akan muflis. Kerajaan terpaksa membeli balik saham pada cara di atas harga pasaran,” katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa pembelian Konsortium Perkapalan Berhad oleh Petronas bukan ‘bailout’.
Beliau berkata Mirzan Mahathir mahukannya pada harga RM2 bilion untuk membolehkannya menampung hutang RM1.7 bilion beliau.
“Tetapi Petronas hanya bersetuju untuk membayar RM1 bilion. Jadi Mirzan hilang RM1 bilion dalam perjanjian itu manakala Petronas kemudian menjual syarikat itu untuk keuntungan besar beratus-ratus juta.”
Beliau berkata, keadaan seperti itu yang tidak boleh dianggap sebagai ‘bailout’ tetapi ‘pembelian’, walaupun jika Petronas tidak membeli syarikat itu, Mirzan akan menjadi muflis.
“Oleh itu, apabila Tabung Haji membeli aset dari 1MDB pada harga diskaun sedikit berbanding nilai pasaran, adakah anda memanggilnya ‘bailout’ apabila Tabung Haji tidak mengepam wang ke dalam 1MDB tanpa pulangan sekalipun, seperti yang berlaku dalam semua contoh-contoh lain di atas?” dia bertanya.
-mstar