PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Friday 22 May 2015

1MDB : Tak Adil Salahkan Kerajaan Sebelum Bentang Hasil Audit - PM



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tidak adil untuk ahli politik tertentu mensabitkan kerajaan di 'mahkamah pendapat umum' berhubung kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum fakta sebenar dibentangkan pihak berkuasa, khususnya Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Perdana Menteri berkata, apabila kebimbangan mula dibangkitkan mengenai perkara itu, beliau mengarahkan Ketua Audit Negara dan PAC untuk menyiasat akaun 1MDB kerana mahukan penjelasan terperinci.

"Kami menjangkakan Ketua Audit Negara akan mengeluarkan laporan awal tidak lama lagi. Sementara itu, jangan buat spekulasi dan kesimpulan tanpa maklumat yang akan dibentangkan Ketua Audit Negara.

"Kita semua mahu jawapan terperinci tetapi adalah wajar untuk membiarkan juruaudit melakukan kerja mereka dan memberitahu kita dengan jelas keadaan sebenar. Jika kita membuat andaian awal, kita akan menggugat mereka seperti yang dilakukan banyak pihak.

"Ini bukan prosedur yang betul. Jika kita ikhlas dalam mencari kebenaran di sebalik dakwaan itu, kita perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah (seperti Ketua Audit Negara) dan bukannya daripada pihak ketiga atau portal berita yang mungkin mempunyai agenda tersembunyi," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan kepada 13 persoalan dan isu yang dibangkitkan pihak tertentu, menerusi laman web rasminya, NajibRazak.com hari ini.

Mengenai dakwaan beliau mengabaikan Unit Perancang Ekonomi (EPU), dengan menubuhkan sebuah agensi baharu untuk merancang pembangunan negara, Perdana Menteri berkata:

"Saya menubuhkan PEMANDU sebagai badan untuk menyelia program transformasi yang merangkumi aspek ekonomi bukan saja di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), tetapi aspek bukan ekonomi di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

"Bertentangan dengan sesetengah perkara yang dibangkitkan, saya meletakkan kepentingan yang besar dalam EPU kerana ia penting bagi memastikan kejayaan ETP. Saya juga melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang paling berkelayakan di negara ini untuk mengetuai EPU," katanya.

No comments:

Post a Comment