PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday 30 April 2015

'PM Realisasi Impian Kami' - Generasi Kedua FELDA



Warga Felda menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan penurunan harga rumah generasi kedua dari RM 125,000 kepada RM90,000 seunit secara jual-beli dan melalui skim sewa beli.

Rata-rata generasi kedua peneroka Felda yang ditemui di Parlimen Rompin berkata pengumuman itu adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu mereka sejak sekian lama, dan kini harapan memiliki rumah sendiri dengan harga berpatutan dapat dicapai.

Generasi kedua Felda Keratong 1, Azwan Norul Bahrin, 32, berkata pengumuman itu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka selama ini kerana kebanyakan generasi kedua Felda terpaksa menumpang di rumah orang tua ataupun menyewa kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri.

"Walaupun sudah berkahwin, tetapi kerana tidak mempunyai penyata gaji selain gaji yang rendah, maka kami tidak mampu untuk membeli rumah yang ditawarkan sebelum ini yang bernilai RM120,000," katanya kepada Bernama di sini hari Sabtu.

Menurutnya kebanyakan generasi kedua masih tinggal di Felda dan hanya bekerja di ladang kelapa sawit dengan pendapatan purata kurag RM1,000 sebulan. Bagi Pengerusi Belia Felda Selancar 4, Raja Mustaffa Kamal Raja Abdul Rahman, berkata pengumuman Najib cukup membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap nasib generasi kedua tanah rancangan itu.

"Kami sudah lama menantikan pengumuman ini dan saya mewakili belia di Felda Selancar 4 ingin berterima kasih kepada perdana menteri atas keprihatinan beliau terhadap nasib kami," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata generasi muda Felda turut berharap agar syarat-syarat yang dikenakan terhadap skim sewa beli rumah berkenaan tidak terlalu ketat dan diperincikan dengan baik.

Sementara itu, generasi kedua Felda Keratong 1 Abdul Hadi Rahman, 25, berkata pengumuman itu tepat pada masanya memandangkan beliau sedang merancang membeli rumah menjelang akhir tahun ini.

"Saya berkahwin pada Januari lepas dan memang mempunyai hasrat untuk memiliki rumah sendiri... saya akan bekerja lebih gigih untuk kumpul duit," katanya.

Bagi Zainun Musa, 48, dari Felda Keratong 9, langkah kerajaan menawarkan harga berpatutan untuk generasi kedua Felda sedikit sebanyak menyelesaikan masalah 'kesesakan' dalam rumah.

"Apabila anak-anak sudah membesar, mereka terpaksa menumpang rumah orang tua kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri. Mana yang mampu, mungkin boleh menyewanya.

"Bayangkan jika satu keluarga itu memiliki sembilan anak, bagaimana mereka hendak bersesak-sesak dalam satu rumah, jadi terima kasih kerajaan kerana memahami masalah kami sebagai peneroka," katanya yang mempunyai empat anak berusia 16 hingga 30 tahun dengan tiga daripadanya masih tinggal bersamanya.

Semalam, calon Barisan Nasional Datuk Hasan Arifin meminta perdana menteri supaya mengkaji semula harga kira-kira 18,000 rumah generasi kedua Felda di sini berikutan harga rumah itu, yang bernilai antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit, adalah di luar kemampuan golongan muda Felda.

Petang tadi, Najib dalam kenyataannya, mengumumkan pembinaan sebanyak 1,504 unit perumahan generasi baru FELDA di Parlimen Rompin iaitu 480 unit di Felda Selancar 4/5 , Felda Keratong 4 (264 unit), Felda Selendang 2 (360 unit) dan Felda Keratong 7 (400 unit) pada harga RM90,000 seunit.

Wednesday 29 April 2015

Lebih 300 Penyokong PKR Tekad Sokong BN



Lebih 300 orang anggota dan penyokong PKR di Taman Siakap di sini, hari ini menyatakan sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN) setelah kecewa dengan kegagalan wakil rakyat parti itu membela nasib mereka.

Mereka turut mengumumkan menyertai Malaysian Indian United Party (MIUP), sebuah parti mesra BN dengan menyerahkan borang keanggotaan kepada Presidennya Datuk Seri S. Nalakaruppan.

Bekas anggota jawatankuasa PKR Taman Siakap S. Muniswaran, 33, yang menjadi anggota PKR selama 17 tahun berkata tetapi tiada apa yang boleh dibanggakan terhadap sumbangan parti itu kepada penduduk Taman Siakap terutama masyarakat India.

Katanya pelbagai bantuan yang dipohon tidak pernah diperoleh dan berpendapat tidak perlu berharap kepada PKR lagi.

"Masa minta undi (pilihan raya) mereka datang, lepas tu dah tak nampak muka lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan borang keanggotaan MIUP di sini, malam Sabtu.

S. Saroja, 42, berkata beliau turut kecewa dengan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat yang gagal membantu masyarakat India di negeri ini.

"Mungkin 100 orang sahaja yang dapat manfaat. Masih ramai yang terpinggir. Keadaan makin teruk sejak dua tahun lepas," katanya.

Bagi R. Selvakumar, 48, beliau sudah banyak kali meminta bantuan untuk aktiviti dan kebajikan taman itu daripada pemimpin-pemimpin PKR termasuk wakil rakyat kawasan itu tetapi tiada respons yang diberikan.

"Banyak perkara yang perlu diberikan perhatian seperti masalah kebajikan, ibu tunggal, orang muda tiada pekerjaan, tidak dapat menyambung pelajaran, kalau dapat sambung pelajaran ada masalah kewangan pula," katanya.

Sementara itu, Nalakaruppan berkata PKR menguasai kawasan Parlimen Permatang Pauh termasuk Taman Siakap selama 17 tahun tetapi penduduk di kawasan itu tidak merasakan mereka menerima manfaaat daripada wakil rakyat mereka.

"Kerana itu mereka kini menyatakan sokongan dan mahu mengundi BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini. Apabila mereka mahu menyertai parti kami, saya tiada masalah kerana kami juga menyokong BN," katanya.

Pilihan raya kecil itu pada Khamis ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Tuesday 28 April 2015

Calon BN Gesa PM Kaji Semula Harga Rumah Gen 2 FELDA



Demi menjaga kepentingan generasi kedua Felda, calon BN PRK Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin hari ini memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji semula harga kira-kira 18,000 rumah generasi kedua Felda di sini.
    
Beliau berkata, ia berikutan harga rumah itu, yang bernilai antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit, adalah di luar kemampuan golongan muda Felda.
    
"Saya memahami rintihan serta kegelisahan dalam kalangan generasi kedua Felda untuk memiliki rumah yang pada mereka harganya agak tinggi dan di luar kemampuan.

"Saya percaya masalah harga rumah ini dapat dipertimbangkan pucuk pimpinan dengan harga yang tidak merugikan Felda ataupun ada elemen subsidi," katanya ketika melawat projek perumahan generasi kedua Felda Selendang 2 yang siap dibina di sini, hari ini.

Sebanyak 360 unit rumah teres setingkat dibina oleh Felda bagi generasi keduanya dengan harga RM120,000 hingga RM140,000 sebuah.

Hasan turut meminta kerajaan menimbang kelonggaran untuk memanjangkan tempoh pinjaman pembelian rumah daripada 30 tahun kepada 35 tahun bagi meringankan beban golongan.
    
Selain itu, beliau berharap kerajaan dapat membenarkan ibu bapa atau penjaga mereka yang merupakan peneroka pertama Felda, mencagarkan tanah mereka bagi pembelian rumah untuk anak-anak mereka.
    
Dalam pada itu, Hasan berkata beliau kini memberi tumpuan untuk berjumpa persatuan dan badan bukan kerajaan serta para peniaga kecil sekitar Rompin di peringkat akhir kempennya menjelang hari pengundian Selasa ini.
    
PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Hasan dan calon Pas, Nazri Ahmad berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
    
Sebanyak 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka semalam, di empat pusat pengundian, dan sejumlah 52,744 lagi pengundi akan mengundi pada Selasa ini.

Monday 27 April 2015

Kad Prabayar : Kerajaan Rugi RM800 Juta Jika Hapus GST



Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan bakal kehilangan hasil sebanyak RM800 juta setahun jika cukai barang dan perkhidmatan (GST) kad prabayar dihapuskan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, beliau berkata, kehilangan besar hasil berkenaan disebabkan kebanyakan yang menggunakan perkhidmatan tersebut ialah pekerja asing.

“Sebanyak dua pertiga daripada pengguna talian prabayar adalah warga asing yang kebanyakannya dari Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.

“Jika kamu tanya, saya tidak mahu duit kita dibayar untuk subsidi kepada kad prabayar mereka,” katanya selepas berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin di Felda Keratong Lima di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, dalam isu berkenaan, kerajaan bercadang mengenakan caj tambahan atau mengurangkan nilai panggilan pada kad prabayar.

Walau bagaimanapun kata beliau, keputusan akhir hanya akan dibuat selepas tinjauan pengguna siap dilakukan pihaknya.

“Sebagai contoh bagi RM10 nilai kad prabayar terdapat dua pilihan sama ada dijual pada harga RM10.60 atau harga RM10 tetapi dengan nilai panggilan sebanyak RM9.43,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang tindakan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mahu GST dihapuskan daripada kad prabayar, beliau berkata, jabatan berkenaan mempunyai lebih kuasa dalam isu berkenaan.

“Saya harus akui bahawa berdasarkan fakta, JKDM lebih berkuasa dalam isu ini. Bagaimanapun dalam sudut teknikal, agak mustahil untuk menarik balik kesemua kad prabayar dan mencetak semula dalam tempoh dua hari,” ujarnya.

Sunday 26 April 2015

Najib : Harga Rumah Generasi Baru FELDA Diturunkan



Kerajaan menawarkan harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual-beli kepada generasi baharu FELDA di Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 yang ditawarkan sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagi generasi baharu yang tidak berkeupayaan mendapatkan pembiayaan untuk pembelian rumah berkenaan, kerajaan akan menyediakan skim sewa dan beli di mana mereka dapat menduduki rumah itu selama lima tahun secara sewaan dengan kadar munasabah.

"Tawaran pembelian akan dibuat selepas itu yang tertakluk kepada syarat-syarat dan perjanjian kedua-dua pihak," kata Perdana Menteri dalam kenyataan di laman Facebook PMO Malaysia hari ini.

Najib berkata kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat mengenai pemilikan rumah mampu milik di tanah rancangan FELDA khususnya untuk generasi baharu.

Komitmen kerajaan terhadap perkara itu dizahirkan dengan pembinaan 1,504 unit Perumahan Generasi Baharu FELDA di Parlimen Rompin iaitu di FELDA Selancar 4/5 sebanyak 480 unit, FELDA Keratong 4 (264 unit), FELDA Selendang 2 (360 unit) dan FELDA Keratong 7 (400 unit) pada harga RM125,000 seunit yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa, jelas beliau.

"Menyelami keluh kesah generasi baharu serta permintaan agar harga rumah tersebut dikaji semula, saya telah mengarahkan Pengarah Besar FELDA Datuk Hanapi Suhada untuk menawarkan harga baharu rumah-rumah tersebut pada harga RM90,000 untuk pembelian secara jual-beli," kata Najib.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan terus menjulang agenda pemilikan rumah oleh rakyat khususnya di tanah-tanah rancangan FELDA dan perkara itu akan terus disemarakkan.

"Adalah diharapkan jua, pengumuman ini dapat merealisasikan impian generasi baharu FELDA khususnya di Parlimen Rompin untuk memiliki rumah idaman mereka," kata beliau.

Semalam, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin memohon perdana menteri supaya mengkaji semula harga kira-kira 18,000 rumah generasi kedua Felda di Rompin kerana harga antara RM120,000 hingga RM140,000 seunit itu adalah di luar kemampuan golongan muda Felda.

Saturday 25 April 2015

Pastikan Jentera BN Tidak Berpecah - Hishammuddin



Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein  mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh supaya meneruskan prestasi baik mereka dalam kempen PRK itu yang masuk hari ketujuh hari ini, dan perlu mengelakkan perkara yang boleh membawa kepada perpecahan.

Beliau berkata, jentera BN di Permatang Pauh kini dilihat begitu bersemangat tetapi mereka perlu memastikan jentera tersebut bergerak lancar dalam apa jua keadaan.

"Pastikan barisan kita jangan berpecah, jangan menari rentak mereka yang nak melaga-lagakan kita, memperlekehkan kepimpinan kita, yang menidakkan kejayaan kita selama ini, lebih-lebih lagi di Permatang Pauh," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Daerah Mengundi Kuala Mengkuang di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, jentera BN di Permatang Pauh telah melalui pelbagai pengalaman termasuk tujuh pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak 1999, dan kerana itu jentera BN pada PRK kali ini agak harmoni dan tidak tertekan.

"Mereka tidak pernah putus asa walaupun terpaksa tujuh kali bertanding, semangat tak luntur, kental.

"Dalam politik tiada yang mustahil, minta jentera teruskan semangat yang luar biasa," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak mengetengahkan manifesto seperti mana dilakukan BN, Hishammuddin berkata beliau yakin ia disebabkan PKR tidak mampu untuk menterjemah dan melaksanakan sebarang manifesto yang dibuat.

"Bila ada hitam putih susah nak lari, susah nak putar belit sesuatu isu. Dah tujuh kali bertanding, saya tak nampak perubahan di Permatang Pauh.

"Nak buat manifesto siapa nak percaya. Yang penting lihat sendiri dalam beberapa tahun ini, apa pembangunan dibawa, apa mereka lakukan," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan turut mengingatkan semua yang terlibat dalam PRK Parlimen Permatang Pauh kali ini bahawa dalam berkempen ada had dan batasan untuk melakukan sebarang tindakan.

"Kempen dengan menanam kebencian dan pecah belah serta menuding jari takkan membawa apa-apa erti kepada anak-anak kita.

'Kempenlah secara positif, membina dan secara boleh menyatupadukan," katanya.

Berkenaan isu nasional Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Hishammuddin berkata isu berkenaan dijadikan modal pembangkang dalam PRK Permatang Pauh dan Rompin, dan BN perlu menangani isu berkenaan.

"Tugas kita menjawab isu ini. Bagi orang ramai pula, jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Dalam masa beberapa hari sahaja, kita tak boleh jelaskan semua perkara. Berbanding di Rompin, isu GST lebih dibesar-besarkan di sini," katanya.

PRK Permatang Pauh pada 7 Mei menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa beliau akan menjaga kawasan Parlimen Permatang Pauh jika Dr Wan Azizah memenangi PRK itu, Hishammuddin berkata janji yang dibuat oleh Guan Eng itu menunjukkan seolah-olah beliau tidak percaya terhadap Presiden PKR itu.

"Kalau Ketua Menteri yang mahu menjaga Permatang Pauh, lebih baik biarkan Guan Eng yang bertanding di sini.

'Saya beri jaminan jika Suhaimi menang, beliau mewakili kami (kerajaan Persekutuan) di sini. Dia tak bersendirian. Kita akan bersama-sama beliau pastikan Permatang Pauh...rakyatnya akan terbela," katanya.

Friday 24 April 2015

Buat Hal Lagi, Alvin Hina Azan



Blogger penuh kontroversi, Alvin Tan sekali lagi bertindak biadab terhadap umat Islam dengan merakam 'lagu Azan'.

Video bertajuk 'Muslim Call to Prayer - Azan (R&B cover)' yang dimuatnaik semalam dikecam orang ramai, termasuk orang bukan Islam.

"Si bodoh ni semakin menaikkan darah saya," kata seorang pelayar, Eugene.

"(Tindakan) Ini sangat bodoh. Anda menghina orang Islam. Untuk Apa? Apa tujuan buat semua ini?" kata Matthew.

"Ini sudah keterlaluan. Saya bukan orang Islam tapi kamu tak patut berbuat begini." kata Danny.

Alvin yang memberi tindak balas di dalam komen-komen bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang penyesalan ataupun mengaku kesilapannya.

Beliau juga bertindak menghina Nabi Muhammad S.A.W.

Alvin yang masih dilihat berbangga dengan statusnya sebagai blogger kontroversi dikatakan semakin berani melakukan penghinaan kerana beliau melarikan diri ke luar negara.

Thursday 23 April 2015

JOM SEMUA!!!



Ayuh sahabat semua,

Mari kita luangkan masa bersama Tun Dr Mahathir dan tanda kita berikan sokongan kepada Tun Dr Mahathir

Wednesday 22 April 2015

Mahathir Tak Boleh Paksa Orang Ikut Pandangannya



Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh memaksa orang lain untuk mempercayai pendapatnya tentang sokongan ahli UMNO terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri itu sebagai sekadar pandangan dan analisis beliau sendiri, apabila beliau (Dr Mahathir) mendakwa Najib telah hilang sokongan.

"Itu analisis beliau (Dr Mahathir) sendiri. Saya tidak tahu bagaimana beliau merumuskan penemuan tersebut, namun saya hormati pandangannya... tetapi beliau tidak boleh memaksa orang lain untuk mempercayai penemuannya itu," kata Ahmad Zahid pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pertubuhan Alumni ESQ Kementerian Dalam Negeri (KDN), Isnin.

Kata beliau, Dr Mahathir sewaktu menjadi perdana menteri, turut meminta ahli parti supaya memberi kesetiaan tidak berbelah bagi kepadanya.

"Sewaktu beliau berkuasa, beliau juga menuntut kesetiaan tidak berbelah bagi. Oleh itu, kepimpinan sekarang pun menuntut perkara yang sama daripada ahli," kata Ahmad Zahid.

The Malaysian Insider pada Ahad melaporkan, Dr Mahathir telah berkata sokongan yang diberikan kepada Najib adalah tidak benar, sambil membandingkan antara sokongan yang diterimanya pada 2003 dengan sokongan yang diterima Najib kini.

Katanya pada ketika ini, ramai pemimpin UMNO dan orang ramai telah berjumpa dengannya bagi menyatakan sokongan terhadapnya dalam mengkritik Najib yang juga Presiden UMNO itu.

Bagaimanapun, dakwa Dr Mahathir, mereka tidak menyatakannya secara terbuka kerana bimbang akan ditahan.

Tuesday 21 April 2015

Veteran UMNO Susun Strategi 'Keluargaku Pengundi BN'



Veteran Umno Malaysia mengembleng strategi dengan slogan 'Keluargaku Pengundi BN' bagi membantu kempen calon BN PRK Parlimen Rompin, Pahang dan PRK Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, dengan berpaksikan slogan itu, veteran Umno akan memastikan setiap ahlinya dapat menjamin bahawa isteri/suami, anak atau menantu mengundi calon BN dalam kedua-dua PRK itu.

Katanya, Veteran Umno Malaysia mempunyai lebih 5,500 ahli di Rompin dan lebih 4,000 ahli di Permatang Pauh.    

"Mereka adalah pengundi tegar BN dan veteran akan memastikan setiap anggota akan keluar mengundi calon BN," katanya kepada Bernama hari ini.    

Mustapha berkata, gerak kerja yang disusun oleh organisasi itu bersesuaian dengan peranan veteran yang terdiri daripada anggota dan pengundi yang berumur 60  tahun ke atas.    

Katanya veteran Umno yakin BN akan menang mudah dalam PRK Rompin selain mempunyai harapan merampas kerusi Permatang Pauh jika semua pihak  bekerjasama.

Mustapha yang tidak menolak kemungkinan pembangkang akan menggunakan pelbagai isu seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai modal meraih sokongan, yakin BN juga bersedia untuk memperjelaskan isu berbangkit melalui ceramah dan kempen yang akan dijalankan.

"Pembangkang juga tidak mempunyai jalan mudah kerana mereka berdepan dengan masalah dalaman," katanya.     

PRK Rompin akan diadakan pada 5 Mei selepas penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, 10 April lalu.     

PRK Permatang Pauh pula pada 7 Mei ini dan perlu diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang  kelayakan sebagai wakil rakyat.

Mampukah BN Raih Sokongan Cina?


Rekod dua pilihan raya umum lalu tidak menjanjikan sesuatu yang positif kepada Barisan Nasional (BN) dari sudut sokongan pengundi Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh kali ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 misalnya, hanya kira-kira tiga peratus atau sekitar 500 hingga 600 orang daripada 15,000 pengundi Cina di Parlimen itu yang menyokong calon BN.

Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana graf sokongan masyarakat Cina terhadap BN sudah menurun sejak 2008 dan semakin buruk pada 2013.

Di Parlimen Permatang Pauh keadaannya lebih ketara kerana calon pembangkang ketika itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang merupakan calon Perdana Menteri.

Jadi wajarlah mereka memberi sokongan penuh kepada Anwar apatah lagi pembangkang pada 2013 begitu yakin mampu melangkah ke Putrajaya.

Situasi ini sedikit sebanyak memberi gambaran tentang corak dan kecenderungan masyarakat Cina dalam menyatakan sokongan ketika pilihan raya.

Jika calon yang dipilih itu mampu memberi kelebihan dan keuntungan kepada mereka sama ada dalam bentuk ekonomi atau pembangunan, masyarakat Cina boleh memberi sokongan tanpa mengira latar belakang parti calon.

Perkara ini dibuktikan menerusi kejayaan BN merampas Parlimen Teluk Intan daripada DAP dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu tahun lalu.

Antara faktor yang membolehkan calon BN, Datuk Mah Siew Keong mencipta kejutan dalam PRK itu adalah kerana janji kerajaan untuk memberikan beliau jawatan dalam Kabinet.

Janji ini adalah satu peluang besar kepada masyarakat Cina untuk mendapatkan pemimpin yang berada dalam barisan kepimpinan utama negara.

Dengan peluang itu juga, masyarakat Cina meyakini soal pembangunan, kemajuan dan kepesatan ekonomi di kawasan mereka pastinya lebih terbela di bawah kepimpinan wakil rakyat yang berstatus menteri.

Jaminan serupa juga boleh diberikan BN untuk menarik sokongan pengundi Cina dalam PRK Parlimen Permatang Pauh.

Barangkali agak keterlaluan untuk menjanjikan calon BN jawatan dalam kerajaan sekiranya menang dalam PRK berkenaan.

Tetapi BN mungkin boleh menjanjikan satu pelan atau pakej pembangunan menyeluruh dengan impak ekonomi yang cukup besar di Parlimen ini.

Ketika ini wujud kegusaran dalam kalangan masyarakat Cina khususnya di seberang negeri ini dengan keghairahan Kerajaan DAP Pulau Pinang membangunkan ekonomi di bahagian pulau.

Banyak projek mega hanya tertumpu di sebelah pulau menyebabkan peluang melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi dalam kalangan masyarakat di seberang agak terhad.

Jika BN dapat mencari formula bagi mengatasi kegelisahan masyarakat industri yang majoritinya pengundi Cina itu di Parlimen Permatang Pauh, tidak mustahil parti itu dapat menarik semula sokongan masyarakat Cina.

Monday 20 April 2015

PRK Rompin: PAS Letak Calon Muda Lawan Veteran UMNO



PAS yakin kriteria yang ada pada calonnya, Nazri Ahmad adalah formula terbaik untuk memancing undi golongan muda sekali gus memberi tentangan sengit kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Nazri adalah anak muda yang amat dikenali dikalangan peneroka Felda di sini selain memiliki latar belakang ilmu dan keluarga yang baik.

"Bagi saya kita kemuka calon terbaik... seorang anak peneroka tempatan yang memiliki latar belakang ilmu yang sangat bagus. Selain terkenal dengan sikap lemah-lembut, dia juga memiliki keluarga yang besar di Rompin.

"Seorang yang amat dikenali kerana dia juga merupakan Ketua Pemuda PAS negeri (Pahang) dan Yang Dipertua PAS kawasan. Kriteria ini sudah mencukupi bagi melayakkan beliau dipilih pengundi, " kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman calon PAS di Pusat Perniagaan Bandar Satelit di Muadzam Shah, malam Isnin.

Ketika ditanya adakah pencalonan Nazri satu formula untuk memenangi hati pengundi dan mengurangkan majoriti undi diraih BN, Tuan Ibrahim berkata pencalonan tersebut membuktikan PAS tidak ketandusan calon muda yang boleh diketengahkan.

"Dengan keterampilan itu pengundi boleh lihat PAS mempunyai barisan pelapis yang boleh ditonjolkan. Calon BN orang lama dah berhenti... tiba-tiba hidup baliklah.

"Namun kita tetap kemukakan calon untuk gambarkan kekuatan anak muda, pengundi muda di Rompin akan beri sokongan kepada beliau (Nazri)," katanya.

Nazri yang berasal dari Felda Keratong 5 di sini, memiliki Ijazah Sarjana Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Bapa kepada enam anak itu pernah menjadi guru Al-Quran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah.

Sementara itu, Nazri memberitahu, beliau berjanji untuk mewakili suara anak muda yang rata-rata kehidupan mereka tidak terjamin lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup pada hari ini.

"Walaupun saya pada mulanya amat berat hati untuk pikul beban ini, tapi ia satu peluang untuk memberi sedikit sumbangan kepada masyarakat yang dizalimi pemimpin.

"Allah beri peluang kepada Rompin yang juga satu isyarat kepada BN supaya jangan ambil mudah dan pandang ringan kepada nasib dan penderitaan rakyat," katanya.

Nazri akan menentang calon BN, Datuk Hasan Ariffin yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin.

PRK Rompin ditetapkan pada 5 Mei manakala hari penamaan calon Rabu ini.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4  April lalu.

Sunday 19 April 2015

PKR Batal Semua Program Azmin Di Permatang Pauh



PKR membatalkan semua programnya di Permatang Pauh hari ini yang membabitkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Penyelaras media PKR untuk pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh, Mohd Hafizan Mazuki dalam kenyataan pada Isnin berkata pembatalan program itu termasuk kenduri rakyat dan pelancaran pusat operasi PRK di Guar Perahu atas beberapa sebab.

Walaupun tidak menyatakan sebab pembatalan, sumber parti menyebut ia ada kaitan dengan mesyuarat tergempar di Selangor yang membabitkan para pemimpin PKR dan PAS bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti menjelang PRK Permatang Pauh.

Menurut laporan semalam, Ketua PAS Permatang Pauh Omar Hassan memberikan kata dua supaya PKR supaya menarik balik kenyataannya yang menolak rang undang-undang berkaitan hudud jika mahu mendapat sokongan PAS untuk PRK Permatang Pauh.

Omar berkata PAS Permatang Pauh memberi tempoh kepada PKR sehingga hari penamaan calon pada 25 April dan mendesak PKR memohon maaf secara terbuka.

Sementara itu Timbalan Ketua AMK Khairil Anuar Kamarrudin ketika dihubungi berkata beliau telah menerima arahan daripada pemimpin pusat PKR supaya tidak mengeluar kenyataan pada masa sekarang.

"Sejak minggu lepas kami menerima arahan daripada para pemimpin pusat parti supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kerana terlalu banyak manipulasi terhadap situasi antara parti dan PAS," katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota parlimen selepas petisyen pengampunan diraja terhadap hukuman penjara atas kesalahan meliwat yang difailkan oleh keluarganya ditolak oleh Lembaga Pengampunan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hari mengundi PRK Permatang Pauh ditetapkan pada 7 Mei.

Saturday 18 April 2015

Pertabalan Sultan Nazrin Tonjol Keunikan Istiadat Kesultanan Melayu Perak


Istiadat pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak XXXV pada 6 Mei, bakal menonjolkan keunikan dan kekayaan adat Kesultanan Melayu Perak yang diwarisi sejak tahun 1528, selepas Sultan Mudzaffar Shah I dijemput memerintah Perak.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata meskipun pelbagai aktiviti disusun, pihaknya memberi tumpuan kepada enam acara yang membabitkan adat istiadat pertabalan.

Jawatankuasa yang mengendalikannya turut berpandukan kepada adat istiadat yang berlangsung 30 tahun lepas iaitu semasa pertabalan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 1985.

"Perkara mustahak yang ditumpukan ialah Istiadat Meletak Kerja pada 3 Mei...paluan nobat akan dibunyikan bersama-sama dengan 17 das (tembakan) meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia sebagai tanda bermulanya kerja-kerja untuk acara pertabalan," katanya dalam temu ramah baru-baru ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Nayan dan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim. Istiadat 'Tabal Adat' pada 6 Mei akan menyaksikan dua perkara utama iaitu pengisytiharan pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak disusuli dengan pemasyhuran gelaran DYMM Raja Permaisuri Perak.

Kedua-dua pemasyhuran itu akan dilakukan oleh Mohd Zahidi dengan melaungkan 'Daulat Tuanku' bagi Sultan Nazrin dan 'Daulat' untuk Tuanku Zara sebanyak tiga kali.

Sedikit kelainan dalam istiadat perarakan membawa al-Quran semasa 'Tabal Adat' Sultan Nazrin, ialah al-Quran itu akan dibaca terlebih dahulu, sebelum diarak dan diserahkan kepada baginda.

"Sebelum ini Tuanku ada menitahkan bahawa dalam sesuatu majlis hendaklah diadakan bacaan al-Quran, jadi dalam majlis ini, al-Quran itu akan dibaca.

"Sultan Nazrin akan memegang dan mengucupnya terlebih dahulu sebelum meletakkan kitab suci itu di tempatnya selepas diarak," katanya.

Selesai perarakan itu, akan dituruti oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja  dengan membacakan pengisytiharan pertabalan, dan menyerahkan Pedang Cura Si Manja Kini kepada Sultan Nazrin.

"Di Perak, kami tidak mempunyai mahkota dan kami menggunakan pedang ini sebagai simbolik penyerahan kuasa raja kepada Tuanku dan Tuanku akan mencabut pedang itu serta dicium sebelum Bendahara melaungkan 'Daulat Tuanku'.

"Pada masa yang sama nobat akan dipalu disertai tembakan meriam sebanyak 21 das," katanya.

Sultan Nazrin juga akan memeriksa kawalan kehormatan pada sebelah pagi di Dataran Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan diiringi paluan nobat dan 21 das tembakan meriam.

Acara utama ketiga akan berlangsung pada sebelah pagi 7 Mei, iaitu istiadat mengambil air dari tujuh kuala sungai yang telah dinamakan, untuk 'Adat Bersiram Tabal'.

Mohd Zahidi berkata, acara keempat, istiadat 'Tabal Pusaka', iaitu upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin, akan berlangsung pada sebelah malam.

"Yang kelima ialah istiadat menziarah makam. Ini adalah satu daripada adat yang memerlukan sultan yang dilantik, selepas ditabal adat dan juga ditabal pusaka, akan menziarahi makam Almarhum sultan-sultan terdahulu," katanya.

Istiadat menziarah makam ini akan bermula pada 8 Mei yang menyaksikan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar.

"Oleh kerana pembangunan di negeri Perak, sebahagian daripada makam ini boleh diziarahi dengan menggunakan pengangkutan darat. Oleh itu, jawatankuasa mengekalkan sebahagian daripada istiadat ini untuk menggunakan rakit dikenali sebagai 'Balai Gambang', yang menyaksikan Tuanku menziarah lima makam di sepanjang Sungai Perak semasa pergerakan Balai Gambang dari Pasir Salak ke Teluk Intan," katanya.

Makam berkenaan ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) di Kampung Pasir Pulai, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, Sultan Shahabuddin Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh dan Sultan Iskandar Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti Pasir Panjang Ulu.

Akhir sekali pada 14 Mei, Sultan Nazrin akan melawat serta menjejak kaki di 'Beting Beras Basah' yang terletak di muara Sungai Perak sementara istiadat 'Menutup Kerja' akan berlangsung pada 17 Mei.

Wanita mengandung atau yang uzur (datang haid) dinasihatkan agar tidak hadir pada istiadat Tabal Pusaka ini, yang bermula pada pukul 9 malam dan berakhir pada tengah malam.

Kaum wanita juga tidak digalakkan menyertai rombongan ke Beting Beras Basah ini, menurut Ayop.

"Acara ini hanya dilakukan oleh kaum lelaki. Ini bukan bermaksud ada diskriminasi terhadap golongan wanita, tetapi merupakan adat turun-temurun," katanya.

Terdahulu, Mohd Zahidi berkata, satu jawatankuasa induk pertabalan telah diwujudkan susulan mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 yang bersidang pada 20 Jun 2014 dan dipengerusikan Sultan Nazrin sendiri.

"Tuanku telah menitahkan saya sebagai pengerusi jawatankuasa induk dan (Datuk Seri) Abdul Puhat sebagai pengerusi bersama manakala (Datuk) Ayop menyandang jawatan setiausaha.

"Dalam mesyuarat jawatankuasa induk, kami telah mengadakan enam mesyuarat untuk membincangkan komposisi jawatankuasa dan pelaksanaan tugas secara terperinci.

"Jawatankuasa kecil turut mengadakan mesyuarat bagi menentukan kehalusan dan ketelitian tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk menyelaraskan acara sempena pertabalan Tuanku," kata Mohd Zahidi.

Friday 17 April 2015

PRK Rompin Bakal Disertai Calon Bebas



Merasakan kawasan Parlimen Rompin memerlukan seorang penyelamat kepada agenda politik dua parti besar menjadikan Mohd Shukri Mohd Ramli terpanggil untuk menjadi calon Bebas Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin, Mei depan.

Mohd Shukri berkata, rata-rata pengundi Parlimen Rompin dilihat semakin keliru dengan senario politik yang berlaku di kedua-dua belah pihak sama ada di dalam BN mahupun Pas.

“Kalau pengundi di pihak BN, mereka nyata keliru dengan isu yang berlaku hari ini melibatkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), walaupun mereka penyokong tetapi mereka keliru, sekejap kena sekejap tak kena.

“Langkah tradisi membela rakyat dan rakyat didahulukan, tetapi bila rakyat mula marah isu harga barang naik gara-gara GST sehingga hari ini ia masih berada di takuk yang sama.

“Memeningkan juga pengundi Pas dan PR dengan adanya isu-isu dalaman parti itu sendiri yang berbalah sesama sendiri seperti hudud, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan banyak lagi sehingga merosakkan imej Islamik dan keadilan itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kehadirannya dalam pencalonan PRK Parlimen Rompin, Rabu ini adalah untuk menawarkan mereka pilihan ketiga bagi mengelakkan pengundi-pengundi tidak keluar mengundi.

“Saya bimbang pengundi akan protes dengan kekeliruan sehingga tidak keluar memandangkan mereka tidak ada calon untuk mereka pilih, saya tampil sebagai pilihan ketiga membolehkan pengundi BN atau Pas membuat pilihan dan saya adalah penyelamat mereka.

“Andai kata mereka memilih BN, belum tentu masalah GST akan selesai dan jika mereka memilih Pas sama juga masih tidak boleh berbuat apa, tetapi dengan kehadiran saya sebagai calon Bebas segala isu dan suara rakyat akan dinaikkan ke atas," katanya.

Katanya, PRK ini merupakan yang pertama selepas pelaksanaan GST dan ia merupakan satu proses yang begitu getir.

“Jadi ia akan menjadi satu medan perjuangan saya untuk bangkit membela apa yang dibenci oleh rakyat terutama dalam golongan marhaen,” katanya.