PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday 2 April 2015

Tun M Kongsi Kisah Bersama Kuan Yew



"Saya tidak boleh kata saya adalah kawan rapat (Lee) Kuan Yew, tapi saya tetap sedih dengan pemergiannya," kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perdana menteri pertama Singapura itu yang meninggal dunia pada Isnin.

Melalui coretan bertajuk 'Kuan Yew and I' dalam blognya, Dr Mahathir menceritakan episod yang menyaksikan langkah mereka tidak sehala.

"Apabila saya menjadi PM (perdana menteri) pada 1981, saya melakukan kunjungan hormat terhadap Kuan Yew. Ia merupakan kunjungan persahabatan dan pada perjumpaan itu, beliau bersetuju dengan cadangan saya agar waktu Malaysia dan Singapura yang sama sejak sekian lama, perlu dipercepatkan setengah jam," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau menjelaskan bahawa adalah lebih mudah melaraskan waktu apabila melakukan perjalanan kerana kedua-dua negara akan terletak dalam zon waktu yang ditetapkan bagi seluruh dunia pada jarak satu jam.

"Tetapi, mungkin juga, dalam kebanyakan isu lain, kami tidak sependapat," kata Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Kuan Yew meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Besar Singapura setelah dimasukkan ke hospital itu kerana mengalami radang paru-paru teruk.

Hubungan Kuan Yew dan Dr Mahathir menjadi hubungan peribadi apabila Dr Mahathir diserang sakit jantung pada 1989 dan memerlukan pembedahan terbuka.

"Beliau (Kuan Yew) begitu prihatin dan menghubungi isteri saya (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali) melalui telefon untuk memintanya menangguhkan pembedahan itu kerana beliau telah mendapatkan pakar bedah terbaik, seorang rakyat Singapura yang tinggal di Australia, untuk melakukan pembedahan itu. Tetapi, pada masa itu, saya telah diberi 'pre-med' dan terlena sebelum menjalani pembedahan pada hari berikutnya.

"Isteri saya mengucapkan terima kasih dan memohon maaf kepada beliau. Dia berjanji akan menghubungi beliau melalui telefon selepas pembedahan. Beliau berbuat demikian pada petang berikutnya.

"Apabila beliau sakit, saya meminta untuk melawatnya. Beliau bersetuju, tetapi pada malam saya sepatutnya melawat beliau, Pesuruhjaya Tinggi Singapura menerima mesej bahawa beliau amat tidak sihat dan tidak dapat berjumpa saya," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir menceritakan satu lagi kisah ketika mereka berdua bertemu iaitu di Jepun.

"Ketika beliau menghadiri persidangan tahunan Nihon Keizai Shimbun mengenai Masa Depan Asia di Tokyo, yang saya tidak pernah ketinggalan untuk menghadirinya, saya pergi menemuinya ketika makan malam untuk bertanya khabar," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata, mereka duduk sambil berbual dan para jurufoto Jepun mengambil gambar mereka, dengan janji tidak akan menyiarkannya dalam akhbar.

"Saya tidak kisah pun jika mereka menyiarkannya. Tetapi, saya rasa orang akan reka bermacam-macam cerita mengenainya," kata beliau.

Dr Mahathir begitu sentimental apabila beliau berkata: "Tidak kiralah betapa mesra atau tidak mesranya antara kami, pemergian seseorang yang anda kenal rapat tentu menyedihkan anda."

Negarawan ini berkata pemergian Kuan Yew menandakan berakhirya tempoh apabila mereka yang memperjuangkan kemerdekaan, kemudian menerajui negara mereka dan tahu tentang nilai kemerdekaan.

Beliau berpendapat, Asean kehilangan kepimpinan utuh berikutan pemergian President Suharto dan Kuan Yew.

Dr Mahathir berkata Kuan Yew terkenal sejak muda lagi dan beliau seorang pelajar di Singapura ketika membaca tentang kisah Kuan Yew mempertahankan kesatuan buruh.

Menurut Dr Mahathir, kali pertama beliau berjumpa dengan Kuan Yew ialah ketika beliau menjadi Anggota Parlimen pada 1964 selepas Singapura menyertai Malaysia pada 1963 dan mereka sering bertikam lidah ketika perbahasan.

"Tetapi, tidak pernah bermusuh, hanya berbeza pendapat tentang apa yang baik untuk sebuah negara yang baru lahir. Beliau menyenaraikan saya sebagai antara Melayu ultra yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan kaum di Singapura.

"Sebenarnya, saya tidak pernah pergi ke Singapura untuk mencetuskan kekacauan. Orang lain, tapi saya tidak mahu sebut namanya," jelas Dr Mahathir.

Beliau berkata, perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menghadiri mesyuarat pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan agak mesra dengan Kuan Yew.  

"Beliau percaya Kuan Yew merupakan benteng untuk menentang Komunisme. Tetapi apabila PAP bertanding dalam pilihan raya Malaysia pada 1964 dengan menggunakan 'Malaysian Malaysia' sebagai slogannya, Tunku berpendapat kehadiran PAP di Malaysia akan mengganggu negara ini," kata Dr Mahathir.

No comments:

Post a Comment