PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Monday 13 April 2015

Pembangkang Bercakaran Pilih Ketua Baru



Sebelum dilucutkan keanggotaan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kerana disabitkan kesalahan liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berkata, survival pembangkang bukan bergantung penuh kepada dirinya.

Sebaliknya, bekas ketua pembangkang dan penasihat PKR itu menyatakan masa depan dan hala tuju pembangkang bergantung kepada kerjasama serta persefahaman antara pemimpin DAP, PAS dan PKR.

Kata Anwar, tanpa persefahaman, toleransi dan keterbukaan tiga pemimpin parti itu, pembangkang tidak mungkin bertahan atau mencapai cita-cita ulung mereka merampas kuasa pemerintahan daripada BN.

Kini, sudah dua bulan Anwar merengkok di penjara dan pembangkang masih belum ada ketua. Jawatan itu kosong apabila Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu.

Sepanjang tempoh itu banyak krisis, konflik dan pergeseran berlaku dalam pakatan pembangkang.

Konflik itu berlarutan sebelum Anwar dipenjarakan. Bermula dengan perbalahan antara DAP dan PAS dalam isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelaksanaan undang-undang hudud, kegagalan Langkah Kajang, krisis pelantikan Menteri Besar Selangor dan terbaru polemik calon ketua pembangkang.

Dalam soal ini, Ketua Whip DAP, Anthony Loke pernah berkata, pembangkang hanya akan menyelesaikan pelantikan ketua pembangkang selepas pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini yang akan ditandingi wakil PKR.

Justeru, sebelum tarikh PRK Parlimen Permatang Pauh diumumkan, ada beberapa calon disebut-sebut untuk menjadi ketua pembangkang sama ada daripada PKR, DAP dan PAS.

Persoalannya, siapakah yang layak? Apakah pembangkang mempunyai kriteria tertentu dalam pemilihan calon ketuanya kali ini? Mungkinkah mereka memilih veteran berpengalaman sebagai Ahli Parlimen seperti Lim Kit Siang atau daripada PAS, termasuk Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang?

Mengikut kelayakan dan kewajaran, ketua pembangkang sepatutnya dilantik daripada DAP memandangkan parti itu mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen iaitu 37 berbanding PKR yang kini tinggal 28 daripada 30 yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PAS (21).

Bermakna, PAS boleh melupakan niat hendak melihat pemimpin mereka diangkat menjadi ketua pembangkang kerana parti itu memiliki kerusi paling sedikit dalam sekutu pembangkang.

Sebelum ini, ada ura-ura mengatakan calon paling layak menggantikan Anwar selain isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ialah orang kepercayaannya iaitu Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Turut menjadi perhatian ialah Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Parlimen Bagan).

Walaupun begitu, peluang Wan Azizah hanya terbuka jika dipilih menjadi calon PRK Parlimen Permatang Pauh dan nasib pula menyebelahinya andai pengundi terus memilih beliau pada PRK itu.

Wan Azizah berpengalaman sebagai Ketua Pembangkang pada tahun 2008 ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri tetapi peranannya tidak begitu menonjol serta tidak berkarismatik.

Sokongan pengundi PAS

Jika PKR tetap berkeras mencalonkan Wan Azizah, parti itu perlu mengambil kira sokongan pengundi PAS kerana PAS Permatang Pauh menolak Presiden PKR itu atau mana-mana ahli keluarganya diletakkan sebagai calon PRK itu.

Pemuda PAS Pulau Pinang pula membuat keputusan tidak turun membantu jentera kempen PKR bagi menghadapi PRK Parlimen Permatang Pauh selagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan Majlis Eksekutif Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tidak menarik balik kenyataan berkaitan Hadi serta hudud.

Bermakna, jika PKR mahu memastikan kerusi Parlimen Permatang Pauh kekal di tangan mereka, nama Wan Azizah dan ahli keluarganya perlu digugurkan daripada senarai calon. Mungkinkah ini akan menutup peluang 'keluarga Anwar' untuk menjadi pemimpin pembangkang?

Lagipun, PAS sebelum ini pernah menolak pencalonan Wan Azizah untuk menjadi Menteri Besar Selangor atas alasan kewibawaannya. Maka, PKR tentu tidak mahu Presiden mereka dimalukan sekali lagi oleh PAS dalam isu mengisi jawatan ketua pembangkang pula.

Nama Azmin memang disebut-sebut paling layak menggantikan Anwar. Bahkan penyokong PKR aktif 'menjual' nama beliau menerusi tulisan dalam portal berita dan blog sebagai individu paling sesuai untuk menjadi ketua pembangkang.

Sokongan terhadap Azmin bersandarkan tiga faktor iaitu hubungan rapat Menteri Besar Selangor itu dengan Anwar, pengalaman dalam politik tanah air sejak dalam UMNO bersama Anwar sehingga menjadi orang penting dalam PKR dan ketiga, reputasi beliau yang agak baik dengan pimpinan DAP serta PAS.

Namun, pada peringkat dalaman PKR, Azmin dikatakan kurang mendapat tempat dalam hati ahli akar umbi PKR. Ia dapat dilihat berdasarkan trend sokongan diperoleh beliau ketika pemilihan agung parti itu tahun lalu.

Azmin nyaris gagal mempertahankan Timbalan Presiden PKR. Kemenangan beliau dianggap sebagai bernasib baik oleh ahli PKR selepas pencabar kuatnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada parti.

Orang tengah

Kelebihan Azmin untuk dilantik menjadi ketua pembangkang setakat ini kerana beliau Menteri Besar Selangor yang serba sedikit mendapat pengalaman mentadbir negeri dan pelantikan itu mendapat restu PAS.

Apa yang menimbulkan spekulasi adakah beliau mampu menjadi orang tengah antara DAP dan PAS yang sedang dilanda krisis hebat ketika ini.

Dalam hal ini, pemerhati politik, Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman menyifatkan pembangkang tiada pilihan selain terpaksa memilih Azmin sebagai ketua pembangkang jika mahu menyelamatkannya daripada berpecah.

Beliau yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berpendapat, Ahli Parlimen Gombak itu memiliki pengaruh politik lebih bertenaga berbanding pemimpin pembangkang lain.

"Beliau antara pemimpin senior dalam pembangkang, berpengaruh, mendapat restu PAS dan disenangi DAP. Jika pembangkang mahu terus bersama, mereka perlu pilih Mohamed Azmin," katanya.

Beliau turut berpandangan, ketua pembangkang tidak boleh dilantik dari DAP atau PAS kerana kedua-duanya saling menolak calon dikemukakan nanti berdasarkan krisis ketika ini.

"Kalau pilih daripada DAP, PAS tidak akan bersetuju kerana DAP menjadi pembantah utama dalam pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Jika pilih pemimpin PAS menjadi ketua pembangkang, DAP akan menolak mentah-mentah kerana parti itu sudah memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi," katanya.

Walau apa pun keputusannya, melihat kepada konflik yang melanda pembangkang hari ini serta barisan calon daripada DAP, PKR dan PAS, tidak mustahil polemik ini berlarutan walaupun PRK Parlimen Permatang Pauh berakhir.

Ia ditambah dengan keputusan mengejutkan DAP yang mengumumkan akan berpakat dengan PKR sahaja dalam memilih calon ketua pembangkang, termasuk menentukan hala tuju pakatan pembangkang.

Ia menjadi isyarat jelas kepada PAS bahawa parti dan pemimpin parti itu tidak diperlukan dalam urusan memilih calon ketua pembangkang.

Dalam bahasa mudahnya, DAP mungkin tidak mahu pemimpin PAS dicalonkan untuk menjadi ketua pembangkang.

No comments:

Post a Comment