PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Saturday 4 January 2014

UMNO Selangor larang perhimpunan di gereja




SHAH ALAM 4 Jan. - UMNO Selangor melarang mana-mana anggotanya serta meminta badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam di negeri itu supaya tidak meneruskan rancangan mengadakan himpunan bagi membantah penggunaan kalimah Allah di hadapan gereja, esok.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, langkah itu bagi mengelak salah tafsir dalam kalangan rakyat berhubung isu berkenaan, selain memastikan keharmonian kebebasan beragama di Selangor terus terpelihara.
"Dalam kita memperjuangkan isu kalimah Allah, kita minta jangan adakan himpunan ataupun bantahan di depan gereja sebab ia boleh menggugat keharmonian kebebasan beragama di Selangor," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO, di sini hari ini.
Sebelum ini, beberapa cawangan UMNO dan NGO Islam di negeri itu merancang untuk mengadakan perhimpunan di hadapan gereja-gereja di negeri itu esok sebagai membantah kenyataan Pengarang Mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew berhubung penggunaan kalimah 'Allah.'
Pada 27 Disember lepas, Lawrence menerusi 'The Malaysian Insider' berkata, gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Malaysia walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment