PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 15 January 2014

Risiko cetus persengketaan

Raja Dr. Nazrin Shah beramah mesra dengan penerima anugerah dan tetamu yang hadir pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Ipoh, semalam. - BERNAMA

IPOH 14 Jan. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu isu agama dipisahkan daripada dijadikan umpan dan senjata politik kerana ia boleh memakan diri sendiri serta boleh mencetuskan persengketaan.
Baginda bertitah, tindakan itu boleh mengakibatkan berlakunya porak-peranda yang perlu dibayar dengan kos tinggi dan memakan masa lama sebelum dapat diselesaikan.

Justeru, Raja Dr. Nazrin bertitah, pemimpin politik terutama di peringkat tertinggi perlu mempamerkan contoh yang baik kepada masyarakat dengan tidak mensensasikan isu itu.
"Isu agama perlu ditangani dengan semangat dan roh agama oleh ulama dan golongan yang arif dalam ilmu agama masing-masing bagi mencari penyelesaian.
"Ini demi memastikan keamanan negara serta hubungan keharmonian antara pengikut kekal terjamin dan terpelihara," titah Raja Nazrin.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah di Pusat Konvensyen Aman Jaya, di sini hari ini.
Yang turut berangkat sama ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan, beberapa exco kerajaan negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd. Yusop Husin.

Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada Othman Shafie; Abdul Nasir Tun Abdul Rahman Ya'kub (Anugerah Pendakwah), Ramli Yusof (Anugerah Imam), Mokhri Ahmad (Anugerah Bilal) dan Adam Abdul Malek (Anugerah Siak).
Selain pelancaran buku bertajuk Mendekati Al-Quran dan Mendekati Sunnah, para tetamu juga diperdengarkan dengan bacaan ayat suci al-Quran, qasidah serta ceramah khas Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Dr. Farah Syazwani Tarmizi.

Raja Nazrin seterusnya menegaskan, perbuatan merendahkan agama Islam serta agama lain adalah lebih bersifat perosak kepada hubungan harmoni antara agama dan menjadi pencetus kepada persengketaan.
''Perbuatan itu tidak mencerminkan watak yang diasaskan kepada roh agama,'' tegas baginda.
Raja Nazrin bertitah, sejak kebelakangan ini tercetus senario yang berpotensi menggugat tonggak asas kekuatan dan kestabilan negara, susulan polemik yang sedang berlaku antara penganut Islam dan Kristian.
"Jika senario ini gagal diredakan ia amat membahayakan.
"Tindak tanduk keterlaluan daripada mana-mana pihak adalah perbuatan yang bercanggah dengan prinsip Wasatiyyah yang sedang dianjurkan oleh pimpinan negara," titah baginda.
Raja Nazrin bertitah, mana-mana pihak tidak boleh mensensasikan sentimen agama kerana psikologi dan minda mana-mana penganut ketika mempertahankan pendirian agama masing-masing wajib difahami.
Memandangkan tidak ada pihak yang mahu mengalah dalam isu agama, baginda bertitah, formula penyelesaian yang bijaksana dan lagi berhemah adalah perlu untuk menyakinkan pihak-pihak yang bertelagah.

Titah baginda, komponen adab untuk tidak menghina dan merendahkan agama lain hingga ke peringkat mencetuskan kemarahan, terkandung dalam ajaran semua agama.
"Dalam mempertahankan kesucian agama, umat Islam wajib bersatu dalam semangat ukhuwah Islamiah. Agama Islam terlalu kudus, terlalu suci, ia tidak boleh diheret hingga ke peringkat dikompromikan kerana kepentingan politik," titah baginda.

Titah baginda, jangan kerana kelainan kabilah politik, umat Islam memilih untuk mengambil pendirian berbeza dan tidak mahu bersama mempertahankan kesucian Islam.
"Pendirian sedemikian, akan memberikan mesej yang salah, melemahkan kekuatan ummah, lebih membawa rugi daripada keuntungan.
"Barang dijauhkan umat Islam di negara ini, berakhir seperti 'Pak Kadok, Menang Sorak Kampung Tergadai," titah baginda.

No comments:

Post a Comment