PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 29 January 2014

Anwar bertanding di Kajang


PETALING JAYA 28 Jan. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dinamakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai calon, seandainya pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang dikosongkan semalam oleh wakil rakyat PKR sendiri, Lee Chin Cheh.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, pemilihan Anwar dibuat selepas dipersetujui Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pagi ini.
"Berikutan kekosongan kerusi DUN Kajang ekoran peletakan jawatan penyandangnya yang juga dari PKR, mesyuarat pimpinan pakatan rakyat memutuskan untuk meletakkan Datuk Seri Anwar sebagai calon yang akan mewakili pakatan rakyat," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR di sini.
Yang turut hadir Anwar, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh Chin Cheh dengan meletakkan jawatan semalam selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.
Mengulas penamaannya sebagai usaha PKR menggantikan Abdul Khalid daripada jawatan menteri besar, Anwar menyifatkan dakwaan itu hanya spekulasi semata-mata.

Ini kerana, katanya, keputusan meletakkan beliau untuk bertanding bagi kerusi DUN Kajang dipersetujui Pas dan PKR dalam memastikan kesinambungan dan lonjakan berterusan pembangunan negeri Selangor.
"Itu hanya spekulasi...setakat ini saya mahu Tan Sri Abdul Khalid meneruskan kerja-kerjanya seperti biasa," katanya.

Penasihat PKR itu juga menafikan pemilihannya sebagai langkah terdesak menghentikan kemelut politik serta perbalahan berhubung kedudukan Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Anwar berkata, persetujuan itu juga tidak bermaksud menjadikan pengundi di Kajang sebagai mangsa kepada penyelesaian segera kemelut politik parti itu.
"Isu pengundi diperdaya tidak timbul, ini lebih kepada usaha parti untuk melonjakkan pembangunan negeri," katanya.

Menurutnya, PKR menghargai jasa dan sumbangan yang telah diberikan Chin Cheh sepanjang bergelar wakil rakyat.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, Pas akan memberi sepenuh sokongan kepada calon yang diketengahkan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pakatan rakyat.
Sementara itu, Azmin Ali yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon menteri besar yang baharu ketika ditemui selepas itu hanya memberi reaksi ringkas berhubung pemilihan Anwar sebagai calon.
"Keputusan dah dibuat...saya hanya akan buat kenyataan selepas mesyuarat dengan pimpinan PKR negeri ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment