PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Sunday 5 January 2014

Pemuda UMNO selar pihak pertikai keputusan mahkamah


IPOH 5 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO menyelar sikap pihak tertentu yang terus mempertikaikan keputusan mahkamah berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun (gambar) berkata, tindakan tersebut secara jelas menunjukkan keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah itu tidak dihormati dan cuba diputarbelitkan bagi tujuan tertentu.

Justeru katanya, tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar perundangan negara termasuk dalam mempersoalkan keputusan mahkamah berhubung isu berkenaan.
''Pemuda UMNO akan terus mempertahankan keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah dan tidak sesekali akan berkompromi dengan pihak yang cuba memutarbelitkan isu ini.
''Kalau mahkamah sudah putuskan tidak boleh guna kalimah Allah dalam mana-mana penerbitan, maka ini perlu dihormati. Jika ada yang langgar keputusan ini, bermakna mereka tidak menghormati keputusan mahkamah dan undang-undang dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan dan Mengenang Jasa anjuran Pemuda UMNO Perak di Bangunan UMNO Perak di sini semalam.
Beliau mengulas tindakan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang berkeras supaya gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah Allah dan bahasa Melayu dalam perhimpunan mingguan mereka.
Khairul Azwan berkata, semua pihak termasuk ahli politik perlu sama-sama mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan dan tidak sewenang-wenangnya bersetuju jika ditukar.
Malah katanya, tidak boleh wujud elemen double standard kerana ingin menjaga kepentingan sesetengah pihak hingga melupakan undang-undang yang sepatutnya dipertahankan.

''Ini adalah asas dalam prinsip kenegaraan iaitu menghormati undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Ini yang perlu didukung sebagai rakyat, apatah lagi pemimpin politik.
''Jika nak pertahankan apa juga anutan agama tidak menjadi masalah. Tidak pernah lagi kerajaan menghalang anutan mana-mana agama lain untuk mempraktikkan," katanya.

No comments:

Post a Comment