PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 21 April 2015

Mampukah BN Raih Sokongan Cina?


Rekod dua pilihan raya umum lalu tidak menjanjikan sesuatu yang positif kepada Barisan Nasional (BN) dari sudut sokongan pengundi Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh kali ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 misalnya, hanya kira-kira tiga peratus atau sekitar 500 hingga 600 orang daripada 15,000 pengundi Cina di Parlimen itu yang menyokong calon BN.

Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana graf sokongan masyarakat Cina terhadap BN sudah menurun sejak 2008 dan semakin buruk pada 2013.

Di Parlimen Permatang Pauh keadaannya lebih ketara kerana calon pembangkang ketika itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang merupakan calon Perdana Menteri.

Jadi wajarlah mereka memberi sokongan penuh kepada Anwar apatah lagi pembangkang pada 2013 begitu yakin mampu melangkah ke Putrajaya.

Situasi ini sedikit sebanyak memberi gambaran tentang corak dan kecenderungan masyarakat Cina dalam menyatakan sokongan ketika pilihan raya.

Jika calon yang dipilih itu mampu memberi kelebihan dan keuntungan kepada mereka sama ada dalam bentuk ekonomi atau pembangunan, masyarakat Cina boleh memberi sokongan tanpa mengira latar belakang parti calon.

Perkara ini dibuktikan menerusi kejayaan BN merampas Parlimen Teluk Intan daripada DAP dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu tahun lalu.

Antara faktor yang membolehkan calon BN, Datuk Mah Siew Keong mencipta kejutan dalam PRK itu adalah kerana janji kerajaan untuk memberikan beliau jawatan dalam Kabinet.

Janji ini adalah satu peluang besar kepada masyarakat Cina untuk mendapatkan pemimpin yang berada dalam barisan kepimpinan utama negara.

Dengan peluang itu juga, masyarakat Cina meyakini soal pembangunan, kemajuan dan kepesatan ekonomi di kawasan mereka pastinya lebih terbela di bawah kepimpinan wakil rakyat yang berstatus menteri.

Jaminan serupa juga boleh diberikan BN untuk menarik sokongan pengundi Cina dalam PRK Parlimen Permatang Pauh.

Barangkali agak keterlaluan untuk menjanjikan calon BN jawatan dalam kerajaan sekiranya menang dalam PRK berkenaan.

Tetapi BN mungkin boleh menjanjikan satu pelan atau pakej pembangunan menyeluruh dengan impak ekonomi yang cukup besar di Parlimen ini.

Ketika ini wujud kegusaran dalam kalangan masyarakat Cina khususnya di seberang negeri ini dengan keghairahan Kerajaan DAP Pulau Pinang membangunkan ekonomi di bahagian pulau.

Banyak projek mega hanya tertumpu di sebelah pulau menyebabkan peluang melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi dalam kalangan masyarakat di seberang agak terhad.

Jika BN dapat mencari formula bagi mengatasi kegelisahan masyarakat industri yang majoritinya pengundi Cina itu di Parlimen Permatang Pauh, tidak mustahil parti itu dapat menarik semula sokongan masyarakat Cina.

No comments:

Post a Comment