PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Saturday 25 April 2015

Pastikan Jentera BN Tidak Berpecah - Hishammuddin



Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein  mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh supaya meneruskan prestasi baik mereka dalam kempen PRK itu yang masuk hari ketujuh hari ini, dan perlu mengelakkan perkara yang boleh membawa kepada perpecahan.

Beliau berkata, jentera BN di Permatang Pauh kini dilihat begitu bersemangat tetapi mereka perlu memastikan jentera tersebut bergerak lancar dalam apa jua keadaan.

"Pastikan barisan kita jangan berpecah, jangan menari rentak mereka yang nak melaga-lagakan kita, memperlekehkan kepimpinan kita, yang menidakkan kejayaan kita selama ini, lebih-lebih lagi di Permatang Pauh," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Daerah Mengundi Kuala Mengkuang di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, jentera BN di Permatang Pauh telah melalui pelbagai pengalaman termasuk tujuh pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak 1999, dan kerana itu jentera BN pada PRK kali ini agak harmoni dan tidak tertekan.

"Mereka tidak pernah putus asa walaupun terpaksa tujuh kali bertanding, semangat tak luntur, kental.

"Dalam politik tiada yang mustahil, minta jentera teruskan semangat yang luar biasa," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak mengetengahkan manifesto seperti mana dilakukan BN, Hishammuddin berkata beliau yakin ia disebabkan PKR tidak mampu untuk menterjemah dan melaksanakan sebarang manifesto yang dibuat.

"Bila ada hitam putih susah nak lari, susah nak putar belit sesuatu isu. Dah tujuh kali bertanding, saya tak nampak perubahan di Permatang Pauh.

"Nak buat manifesto siapa nak percaya. Yang penting lihat sendiri dalam beberapa tahun ini, apa pembangunan dibawa, apa mereka lakukan," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan turut mengingatkan semua yang terlibat dalam PRK Parlimen Permatang Pauh kali ini bahawa dalam berkempen ada had dan batasan untuk melakukan sebarang tindakan.

"Kempen dengan menanam kebencian dan pecah belah serta menuding jari takkan membawa apa-apa erti kepada anak-anak kita.

'Kempenlah secara positif, membina dan secara boleh menyatupadukan," katanya.

Berkenaan isu nasional Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Hishammuddin berkata isu berkenaan dijadikan modal pembangkang dalam PRK Permatang Pauh dan Rompin, dan BN perlu menangani isu berkenaan.

"Tugas kita menjawab isu ini. Bagi orang ramai pula, jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Dalam masa beberapa hari sahaja, kita tak boleh jelaskan semua perkara. Berbanding di Rompin, isu GST lebih dibesar-besarkan di sini," katanya.

PRK Permatang Pauh pada 7 Mei menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa beliau akan menjaga kawasan Parlimen Permatang Pauh jika Dr Wan Azizah memenangi PRK itu, Hishammuddin berkata janji yang dibuat oleh Guan Eng itu menunjukkan seolah-olah beliau tidak percaya terhadap Presiden PKR itu.

"Kalau Ketua Menteri yang mahu menjaga Permatang Pauh, lebih baik biarkan Guan Eng yang bertanding di sini.

'Saya beri jaminan jika Suhaimi menang, beliau mewakili kami (kerajaan Persekutuan) di sini. Dia tak bersendirian. Kita akan bersama-sama beliau pastikan Permatang Pauh...rakyatnya akan terbela," katanya.

No comments:

Post a Comment