PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Saturday 3 January 2015

Penyebar Fitnah Kejadian Banjir Kini Diburu



Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memburu penyebar khabar angin berkaitan kejadian banjir yang melanda negara sejak pertengahan bulan lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengesan pihak yang terlibat agar mereka dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata tindakan individu terbabit sebagai tidak bertanggungjawab dan menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk di kawasan terbabit dengan bencana banjir.

"Saya harap sangat orang ramai tidak mudah percaya dengan khabar angin. Kita harap mereka dapatkan maklumat yang sah daripada pihak berwajib. Kita tidak mahu ada lagi pihak mengambil kesempatan menyebarkan berita palsu hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Peramu Jaya, dekat Pekan, hari ini. Turut mengiringi beliau Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani dan Ketua Polis daerah Supt Yahaya Othman.

Sementara itu, Khalid menasihati orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar berpindah segera sebelum rumah mereka dinaiki air.

"Penduduk di negeri ini terutama di kawasan Pekan diminta berjaga-jaga kerana air dijangka terus meningkat di kawasan berkenaan.

"Jika pihak berkuasa datang ke rumah minta pindah, pindahlah sebab kita takut nanti kalau lambat pindah, mereka akan terperangkap akibat jalan terputus, semua pengangkutan tidak boleh masuk untuk operasi menyelamat," katanya.

Beliau berkata jiran juga mempunyai peranan untuk memujuk kawan supaya pindah ke pusat pemindahan bagi memastikan keselamatan mereka.

Khalid pada lawatan turut menyampaikan jaket keselamatan kepada pasukan polis bagi operasi menyelamatkan mangsa banjir di pusat pemindahan Institut Kemahiran Mara, Pekan yang disumbangkan sebuah syarikat swasta.

No comments:

Post a Comment