PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 27 January 2015

Pindaan Akta Hasutan Tidak Jejas Hak Sarawak Dan Sabah

Hak Sarawak dan Sabah akan tetap dilindungi seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 apabila pindaan kepada Akta Hasutan 1948 berkuat kuasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Beliau berkata pihak yang mendakwa pindaan itu kelak akan melenyapkan kritikan terhadap kerajaan persekutuan, perlu membuat kajian terlebih dulu sebelum membuat dakwaan tidak berasas.

"Sekarang pun kamu (pihak media) boleh membaca dan melihat benda-benda buruk disebut kepada kerajaan seperti di laman Facebook. Ini menunjukkan masih wujud kebebasan bersuara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ulang tahun ke-50 penubuhan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak Miri/Bintulu di Miri, hari ini.

Nancy berkata terdapat media arus perdana yang sentiasa mengkritik kerajaan walaupun sesetengah kritikan itu tidak berdasarkan fakta benar, tetapi kerajaan masih mengamalkan sikap bertimbang rasa.

"Kita tidak boleh memuaskan hati setiap orang, tetapi perlu menjaga kepentingan ramai termasuk golongan minoriti," katanya dan menambah menjadi kebiasaan bagi sebarang pertubuhan atau individu yang tidak akan berpuas hati dengan kerajaan berhubung sesetengah isu.

Cadangan pindaan itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac ini, termasuk memasukkan peruntukan untuk mengenakan tindakan terhadap pihak yang menyeru pemisahan Sarawak dan Sabah dari Malaysia.

Terdapat pihak perundangan di Sarawak dan Sabah yang berpendapat cadangan pindaan itu bakal mendatangkan kesan kepada hak kedua-dua negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan ia boleh dicabar di mahkamah.

Mereka berpendapat setelah cadangan itu dikuatkuasakan, ia akan menghalang rakyat Sarawak dan Sabah daripada menyuarakan hak mereka sejajar dengan perjanjian itu atau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan persekutuan.

Nancy berkata hak Sarawak dan Sabah akan sentiasa dilindungi kerana kedua-dua negeri mempunyai jawatankuasa khas peringkat menteri di persekutuan untuk membincang dan menyelesaikan masalah masyarakat setempat.

"Sebagi contoh, kita berjaya mengeluarkan kolum 'Lain-Lain' (bangsa) dalam borang kerajaan dan digantikan dengan Bumiputera. Kita berusaha ke arah itu sejak sekian lama dan kini berjaya melakukannya.

"Banyak benda yang kita cuba selesaikan yang kadang kala kita tidak hebahkan kepada media, tetapi akhirnya hak kedua-dua negeri sentiasa dilindungi," katanya.

No comments:

Post a Comment