PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 23 December 2014

Penyatuan UMNO, PAS Mustahil, Kata Setiausaha MPN



Orang Melayu khususnya pemimpin politik perlu menghentikan retorik mengenai penyatuan UMNO dan PAS dalam usaha menangani kemerosotan kuasa politik Melayu.

Sebaliknya, mereka perlu berpandangan jauh dan realistik dengan mengetepikan perbezaan ideologi yang menyukarkan dua parti itu untuk duduk semeja membincangkan agenda memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad, berkata idea penyatuan UMNO dan PAS mustahil untuk dilaksanakan dalam keadaan politik sekarang.

Bagaimanapun, katanya, dua parti Melayu Islam itu perlu digalakkan untuk membentuk pakatan strategik bagi mengelak perpecahan masyarakat Melayu semakin serius, sekali gus menjamin kelangsungan politik Melayu di negara ini.

"Pucuk kepemimpinan UMNO dan PAS seharusnya mengetepikan pertelagahan yang dimulakan pemimpin terdahulu, sebaliknya perlu senada dalam agenda memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.

"Oleh itu, kita tidak perlu retorik untuk melihat penyatuan UMNO dan PAS kerana usaha berkenaan tidak mungkin berjaya," katanya semalam.

Kelmarin, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak menyarankan penyatuan UMNO dan PAS untuk mengelak kuasa politik Melayu terus merosot.

Saranan itu susulan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kecewa apabila orang Melayu yang berpecah melalui UMNO, PAS dan PKR terpaksa mengemis dengan bangsa lain, terutama Cina bagi mendapatkan sokongan untuk memperoleh kuasa memerintah.

Hasan berkata, pakatan strategik UMNO dan PAS juga berupaya menjinakkan DAP yang semakin berani dan lantang menyuarakan isu sensitif, termasuk Islam, hak keistimewaan orang Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, Presiden Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata UMNO dan PAS perlu ikhlas terhadap idea penyatuan dua parti itu kerana jika dibuat semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik Melayu, ia ia tidak kekal lama.

"Pemimpin Melayu perlu mengurangkan politik permusuhan, sebaliknya duduk bersama secara serius membincangkan usaha penyatuan dengan mengetepikan kepentingan peribadi demi agenda lebih besar iaitu perpaduan dan kuasa politik Melayu," katanya.

No comments:

Post a Comment