PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Sunday 28 December 2014

Banjir : Tindakan Tegas Penyebar Berita Palsu - PM



 Datuk Seri Najib Razak menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap penyebar berita palsu mengenai keadaan banjir di negara ini.

Perdana Menteri berkata, golongan penyebar berita palsu terbabit boleh mencetuskan panik dan mendatangkan kerisauan di kalangan mangsa banjir.

"Harap SKMM dapat kesan mereka yang terbabit dan diambil tindakan terhadap mereka. Harap rakyat tidak terima bulat-bulat berita dalam media sosial sebab ia hanya media perantaraan saja dan tidak dapat menentukan kesahihan maklumat," katanya.

 Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke atas mangsa banjir di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga anggota Parlimen Pasir Salak.

Terdahulu, Najib yang mengadakan tinjauan bencana banjir di Perak hari ini memulakan lawatan ke pusat pemindahan banjir di Pusat Latihan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Galah di sini yang menempatkan 654 mangsa daripada 168 keluarga.

Perdana Menteri kemudian melawat pusat pemindahan banjir di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak di sini yang menempatkan 1,023 mangsa daripada 267 keluarga

Di kedua-dua pusat pemindahan itu, Perdana Menteri meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar mangsa dan juga sukarelawan serta kakitangan pelbagai agensi yang bertugas di situ selain meninjau kemudahan yang disediakan di pusat pemindahan berkenaan

Beliau yang mengenakan pakaian kasual dan bertopi berwarna kuning cair kemudian menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk melawat kawasan terjejas banjir di beberapa kawasan di Perak Tengah terutama di Kampung Gajah.

Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 7,813 mangsa hari ini berbanding 7,539 mangsa malam tadi. Perak Tengah mempunyai 4,220 mangsa banjir yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan.

No comments:

Post a Comment