PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 16 December 2014

Jangan Bermusuhan, Serang Sesama Sendiri



Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua parti politik yang bernaung di bawah Barisan Nasional (BN) agar tidak saling bermusuhan dan menyerang sesama sendiri.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, musuh sebenar yang perlu ditentang parti komponen dan gabungan BN adalah pakatan pembangkang yang menimbulkan pelbagai angkara bagi mempengaruhi rakyat membenci kerajaan.

Beliau yang juga Pengerusi BN memberitahu, pakatan pembangkang hanya tahu menuding jari dan perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kerajaan terpalit dengan pelbagai tohmahan, tuduhan serta fitnah.

“Yang mesti kita nilai adalah rekod prestasi kita sendiri dan bukannya tuduhan-tuduhan serta semua putar-belit yang mereka buat melalui media sosial.

“Pencapaian sebenar menunjukkan bahawa lebih banyak yang kita lakukan untuk rakyat berbanding pakatan pembangkang,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India se-Malaysia (IPF) Ke-22 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan; Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin Dennis D’Cruz.

Sementara itu, Najib percaya usaha BN untuk memperkasakan kaum India akan menjadi lebih berkesan sekiranya parti-parti politik yang mewakili masyarakat tersebut bersatu.

Beliau berkata, walaupun kaum India membentuk 7.5 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini, mereka mempunyai lebih banyak parti politik berbanding kaum lain.

“Saya amat menyokong usaha penyatuan pelbagai parti politik mewakili kaum India tetapi ia lebih senang disebut namun sukar untuk dilaksanakan,” ujarnya.

Berhubung permohonan IPF untuk menyertai BN, Najib menjelaskan, perkara itu mengambil masa kerana memerlukan sokongan semua parti komponen terlebih dahulu.

Namun, beliau berharap IPF tidak berputus asa, malah meneruskan usaha menarik sokongan lebih ramai kaum India terhadap BN dalam setiap pilihan raya umum akan datang.

“Walaupun IPF tidak menjadi ahli BN berstatus penuh, parti itu mempunyai semangat, sama seperti parti komponen BN.

“Cuma, ia akan mengambil masa untuk meyakinkan semua pihak bahawa apa yang penting dalam dunia politik ialah kekuatan,” katanya.

Perdana Menteri menambah, BN juga bersedia mempertimbangkan permintaan-permintaan lain yang dikemukakan IPF termasuk pelantikan pemimpin parti itu sebagai Ahli Dewan Negara, pengarah syarikat milik kerajaan (GLC) dan Ahli Majlis Daerah.

No comments:

Post a Comment