PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday 18 December 2014

PAS Ibarat 'Cendawan Kememeh'?



TERSENYUM sinis beberapa pelanggan sebuah restoran Melayu di Seksyen 13, Shah Alam beberapa hari lalu memerhatikan Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar bercakap di kaca televisyen soal demokrasi dalam isu pertikaian terbaharu partinya dengan DAP.

Terdengar luahan kurang enak mereka menyaksikan siaran Buletin Utama TV3 itu yang antaranya mengatakan `Mahfuz gebang sahaja dan retorik’ sama seperti tindak-tanduk mencelahnya dalam sidang Dewan Rakyat `yang biasa-biasa’ sahaja tanpa hujah bernas.

Sekadar menampilkan diri memberi komen untuk `menampakkan diri sekurang-kurangnya ada pemimpin kanan Pas bersuara’ tidak memberi makna apa-apa, demikian kata mereka dalam restoran itu yang sempat dicoretkan penulis.

Ternyata nada keras DAP terhadap ideologi perjuangan Pas hanya menimbulkan rasa meluat atau mungkin juga rasa geli hati melihat perkelahian dua parti sekutu pakatan pembangkang itu.

Pengikut Pas dan DAP cukup maklum akan ideologi dan retorik politik masing-masing ini dan mereka masih terhibur membaca kenyataan demi kenyataan para pemimpin kedua-dua pihak: engkau kata aku, aku kata engkau. Engkau tibai aku, aku hentam engkau.

Rakyat masih ingat peristiwa sama yang berlaku 13 tahun lalu. Perbalahan Pas dan DAP mengenai negara Islam dan hudud menyebabkan DAP keluar daripada Barisan Alternatif, satu eksperimen yang bertahan hanya dua tahun.

DAP menentang hasrat Pas kerana bagi mereka, matlamat Pas bercanggah dengan semangat dan persefahaman dalam manifesto bersama BA 1999. Menurut DAP, penubuhan negara Islam melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 serta bercanggah dengan prinsip demokrasi dan hak asasi.

Malahan, DAP mengingatkan Pas bahawa Menteri Besar Kelantan (ketika itu), Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah memberi jaminan tidak meneruskan hasrat penubuhan negara Islam semasa berdialog di Persidangan Gereja-Gereja di Malaysia di Petaling Jaya, pada Mei 2000.

Dalam satu wawancara Hardtalk dengan BBC pada September 2003, Datuk Mustaffa Ali memberitahu dunia bahawa tidak ada ‘Negara Islam’ dalam perlembagaan Pas. Yang ada, katanya, hanya ‘masyarakat Islam’.

Dan waktu itu juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, punca sebenar perbalahan Pas dengan DAP, yakni apabila Pas berjaya membentuk sebuah negara Islam, pemimpin DAP tidak berpeluang menjadi Perdana Menteri.

“Ini realitinya,” kata beliau (2 Disember 2003). Lim Kit Siang membidas ulasan Hadi. Katanya DAP menentang Pas atas dasar prinsip, bukan jawatan.

Kit Siang juga tidak yakin dengan jaminan Pas bahawa hudud hanya kepada orang Islam di Kelantan dan Terengganu sahaja, manakala orang bukan Islam boleh memilih untuk diadili di bawah undang-undang sivil atau hudud.

Sering Pas meluahkan bahawa sebab utama mereka bersekongkol dengan DAP ialah untuk berdakwah supaya DAP lebih memahami Islam. Namun sehingga saat ini, kenyataan itu hanya retorik. Sekadar mahu memujuk hati ahli dan pengikut Pas.

Gelagat Mahfuz yang `terkumat-kamit’ bercakap soal demokrasi apabila berdepan dengan DAP hanya menampakkan kelemahan Pas sendiri. Lagi elok Mahfuz tidak bercakap.

Dan selepas mengalah dengan DAP, ramai yakin Pas akan menuding jari dan meletakkan kesalahan ke atas UMNO pula. Gaya Pas bagaikan desperado dengan mengalih tajuk daripada masalah sebenar.
DAP nampaknya lebih berjaya mentarbiah Pas, yang sanggup menukar slogan ‘Negara Islam’ kepada ‘Negara Berkebajikan’ dan ‘Pas For All’. Bahkan, dalam Buku Jingga atau manifesto pakatan pembangkang tidak secalit pun dibubuh perkataan penubuhan negara Islam.

Adakah Pas rela untuk terus dibuli DAP dan PKR?

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tempoh hari, Pas tidak sepatutnya ‘kememeh’ walaupun sering dibuli oleh DAP dan PKR. Menggunakan analogi perlawanan bola sepak, kata beliau, kekasaran pasti berlaku dalam kalangan pemain tetapi permainan tetap diteruskan.

“Kita kena faham, dulu seorang, sekarang sudah ada kawan. Tak bolehlah ‘kememeh’ (manja). Macam main bola, dengan kawan pun kena siku. Relax. Kena siku, balik rumah beritahu ayah emak kena buli, takut-takut tiada orang nak kawan,” katanya.

Ungkapan Khalid itu sebagai tindak balasnya terhadap kenyataan anak Mursyidul Am parti itu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebelum itu bahawa Pas kini menjadi mangsa buli DAP dan PKR. Malah anak Nik Aziz itu yang mengambil iktibar krisis politik pakatan di Selangor dan Pulau Pinang memberitahu, walaupun Pas dibuli, mereka masih lagi mengambil sikap pandang sebelah mata meskipun ada pihak dalam pakatan yang membakar agar membenci parti Islam tersebut.

“Masih dalam pakatan pun, mereka membakar masyarakat dan penyokong agar membenci Pas. Pas ini tidak berapa ‘ganas’ mana agaknya. Dibuli pun buat muka selamba je. Melawan pun macam tidak melawan mana.

“Itulah Pas, seperti orang miskin hidupnya, sentiasa menjadi mangsa buli,” kata ahli Parlimen Pasir Mas itu.

‘Kememeh’ dalam pengertian Khalid berlawanan dengan maksud Nik Mohamad Abduh.

Kalau disebut cendawan kememeh, makanan itu adalah kulat jeli yang boleh dimakan. Warnanya kelabu perang dan sering digunakan dalam masakan Asia. Sungguhpun rasanya hambar, teksturnya yang rangup dan kandungan khasiat perubatan menjadikannya berharga.

Kelmarin, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad menegaskan, Pas tidak akan bersama-sama ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendirian DAP dan PKR yang membenarkan kalimah Allah digunakan orang bukan Islam di Pulau Pinang. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasruddin Hassan pula menyatakan, penolakan hukum hudud oleh DAP menyebabkan tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang terbatal.

Adakah ‘cendawan kememeh’ berupaya menegakkan maruah atau harga diri Pas dalam pakatan pembangkang?

Dipetik Dari Rencana 'Bisik-Bisik' Utusan Malaysia
Pengarang: Zulkifli Jalil

No comments:

Post a Comment