PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday 18 December 2014

DAP Persenda Dasar PAS, Kata PERKASA



Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri menyifatkan DAP sebagai tidak menghormati Pas apabila secara terbuka mempertikai dasar parti itu dalam isu pelaksanaan hukum hudud.

Yang Dipertua Perkasa negeri, Asri Ali berkata, dalam hal ini, DAP sepatutnya perlu profesional dan lebih berhemah ketika mempersoalkan setiap perkara terutama melibatkan dasar dan perjuangan parti sekutunya itu.

Malah, katanya, tindakan DAP itu juga sekali gus membuktikan tahaluf siyasi antara kedua-dua parti itu sebelum ini sebenarnya gagal memberi impak positif kepada perjuangan politik pembangkang dalam menjaga hak kepentingan rakyat termasuk agama.

“Melihat kepada situasi ini, Pas perlu mengambil tindakan drastik dengan meninggalkan pakatan pembangkang agar parti itu dilihat lebih bermaruah selain perjuangannya untuk melaksanakan hukum Islam lebih mudah.

“Sebagai sebuah parti yang mendukung perjuangan Islam, Pas tidak sepatutnya membiarkan perjuangan atau dasarnya dipersendakan oleh sekutunya terutama dalam isu membabitkan hukum agama,” katanya.

Beliau mengulas mengenai masa depan Pas dalam pakatan pembangkang berikutan beberapa siri serangan terbuka oleh pemimpin DAP khususnya berhubung isu hukum hudud dalam Persidangan Kebangsaan DAP baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan mendesak pakatan agar memuktamadkan pendirian untuk tidak melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pas sebelum ini pernah dicabar Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook agar parti itu keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya bertegas mahu laksanakan hukum hudud.

Mengulas lanjut, Asri berkata, masyarakat Melayu dan umat Islam harus bersatu dalam usaha mengangkat atau mempertahankan kesucian agama daripada dirobek oleh musuh politik.

Tambahnya, perjuangan Pas akan dilihat lebih relevan sekiranya bersatu dengan UMNO dalam memperkasakan misi perjuangannya untuk memartabatkan syiar Islam di negara ini.

“Kerana UMNO merupakan sebuah parti orang Melayu, beragama Islam dan dasar penubuhan UMNO juga adalah untuk membela dan mempertahankan Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment