PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Monday 8 December 2014

Jenazah Fuad Hassan Selamat Dikebumi



Jenazah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Tan Sri Hassan selamat dikebumikan kira-kira jam 12.15 tengahari tadi di Tanah Perkuburan Bukit Permai 2.
 
Allahyarham meninggalkan dua balu dan 10 anak, masing-masing berusia antara 4 hingga 35 tahun.
 
Turut hadir pada majlis pengkebumian tersebut adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan  Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek.
 
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir menziarahi jenazah Fuad yang meninggal dunia, tengah malam tadi.
    
Najib dan Muhyiddin tiba di rumah Allahyarham di Taman Ampang Jaya, Ampang di sini pada 9.15 pagi dan meluangkan masa kira-kira 20 minit mengucapkan takziah kepada anggota keluarga Allahyarham. 
 
Suasana hiba menyelubungi kediaman Allahyarham dengan kehadiran kenalan, sahabat dan anggota keluarga terdekat yang memenuhi rumah dan perkarangan kediaman Allahyarham.
  
Beberapa menteri kabinet turut menziarahi jenazah Allahyarham termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
    
Jenazah Allayarham disembahyangkan di rumahnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Teratai, Ampang sebelum Zohor. 
 
Fuad, 62, menghembus nafas terakhir 12.20 tengah malam tadi di sisi anggota keluarganya, setelah tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke HTAA, awal pagi semalam.
 
Allahyarham sebelum itu mengalami serangan jantung semasa menghadiri majlis penutup Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman pada 11.15 malam semalam.
    
Allahyarham, pernah memegang pelbagai jawatan dalam Pemuda Umno Selangor dan Pemuda Umno Malaysia serta merupakan bekas Adun Hulu Klang (BN) selama dua penggal dari 1990-1999.
    
Allahyarham merupakan abang kepada pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan dan adik kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

No comments:

Post a Comment