PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 4 November 2014

Warga Malaysia Sertai IS Demi Dapatkan Syahid


 Ramai rakyat Malaysia menyertai Kumpulan Militan Negara Islam (Isis) kerana rasa diri terbeban dengan dosa besar dan ingin menebus dosa lampau dengan “mati syahid,” lapor Mingguan Malaysia hari ini.

Memetik Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, akhbar itu berkata mereka juga terdiri daripada penagih dadah dan golongan yang mempunyai masalah keluarga.

Menurut pegawai kanan dari Cawangan Khas Bukit Aman itu, hasil soal siasat mendapati mereka yang terlibat dengan kegiatan itu mengambil jalan singkat menebus kesalahan lalu dengan “mati syahid” sekaligus berharap dapat memasuki syurga.

“Ancaman daripada gerakan Salafi Jihadi ini tidak akan habis. Ia akan terus berlaku dengan strategi dan taktik baru.
“Sebelum ini kita ada Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM). Kini ada pula Isis. Jadi, perkembangan ini akan berterusan,” katanya dalam satu seminar di Kuala Lumpur seperti dilaporkan akhbar itu.

Ayob berkata rakyat Malaysia yang menyertai Isis terlalu taksub untuk "mati syahid" sehingga sanggup meluru ke arah bom yang dijatuhkan pihak lawan.   

“Dua orang anggota Isis yang disoal siasat pihak polis mendedahkan, sekiranya ada pesawat lawan menggugurkan bom ke kawasan mereka, anggota kumpulan berkenaan meluru ke arahnya dengan harapan untuk mati syahid.

“Kita juga dimaklumkan dalam kalangan anggota Isis, mereka saling berbunuhan berikutan perbezaan pendapat antara satu sama lain,” katanya seperti dilaporkan.

Hujung bulan lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan menyenaraihitam Isis yang bertopengkan jihad dalam usaha membendung penyertaan rakyat Malaysia menyertai perang di Syria dan Iraq.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Abd Shukor Hussin berkata langkah itu bertujuan menghindarkan orang Islam di Malaysia daripada terpengaruh dengan gerakan yang melaungkan jihad.

"Kita akan bincang lebih lanjut (langkah menyenaraikan gerakan militan). Fokus kita sekarang ialah menahan, tidak menggalak dan mengeluarkan fatwa haram menyertai perjuangan militan Negara Islam," katanya yang dipetik akhbar Berita Harian.

Shukor berkata, Isis memporak-peranda negara dan umat Islam dinasihatkan tidak terpengaruh dengan kumpulan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga berpandangan jihad di Syria dan Iraq bukan mati syahid.

"Selepas bermuzakarah dan mengemukakan hasil kajian serta hujah yang bersandarkan nas, ulama sepakat merumuskan perjuangan Isis atas nama jihad adalah sia-sia dan bukan tergolong sebagai mati syahid," katanya.

Jamil berkata, tanggapan mengatakan mereka berjuang atas nama jihad tidak tepat, sebaliknya ia kematian yang sia-sia.

No comments:

Post a Comment