PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Monday 3 November 2014

UMNO Perlu Terus Perjuang Hak Melayu, Raja


UMNO tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan pihak lain lebih terkehadapan dalam mempertahankan asakan yang semakin kuat mencabar kedudukan agama, raja-raja, hak-hak istimewa orang Melayu dan bahasa.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gejala yang meresahkan orang-orang Melayu dalan senario politik yang kini dianggap luar biasa keadaannya, perlu ditangani dengan lebih pantas dan berani.

Muhyiddin membayangkan UMNO kini bersalut dengan imejnya yang dikatakan tidak seperti dahulu apabila ramai yang beranggapan ia sudah mulai longlai, tidak lagi tegas dalam memperjuang dan mempertahankan hak-hak Melayu yang semakin disanggah.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, semua ini berkait dengan isu perkara pokok yang menjadi asas pegangan UMNO sekian lama.

“Orang makin lantang mengkritik dasar-dasar yang dipelopori oleh UMNO dalam kerajaan. Ini dilakukan secara terbuka. Dengan media sosial baharu, keadaan tidak lagi sama apabila asakan (yang dilakukan) tidak dapat disekat dan dihalang.

“Orang Melayu telah rasa resah dan tertanya-tanya kenapa UMNO tidak lantang, tidak mengambil tindakan kerana sememangnya ada undang-undang dan kenapa UMNO mengharapkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan kalangan Melayu yang dikatakan lebih terkehadapan berbanding UMNO,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup Konvensyen UMNO Terenganu 2014 di Hotel Primula di sini hari ini.

Konvensyen sehari bertemakan ‘Transformasi Terengganu Baharu’ itu turut diisi dengan pembentangan kertas kerja Transformasi Politik Terengganu Menjelang PRU-14 oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, UMNO dan Barisan Nasional Terengganu perlu menyasarkan peningkatan kerusi daripada 17 kepada sekurang-kurangnya 22 kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi mengukuhkan kedudukan parti dan kerajaan.

Menurut beliau, dalam usaha mencapainya, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diberikan kepada setiap bahagian sepanjang gerak kerja lebih tiga tahun.

“Saya harap dalam tempoh tiga tahun sebelum PRU nanti, kita dapat mengatur draf kerja yang lebih tersusun," katanya.

No comments:

Post a Comment