Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, ketetapan itu boleh dibuat dalam Konvensyen UMNO yang akan bermula pada minggu depan yang diharap akan turut membangkitkan agar MCA dan Gerakan ditandingi hanya di kawasan majoriti kaum Cina.

Kata beliau, perkara tersebut perlu dibincangkan secara serius sebagai mengambil kira sokongan Cina yang semakin luntur dan tidak lagi hormat kepada kedua-dua parti itu kerana mereka hanya mengharapkan kawasan majoriti dan sokongan Melayu untuk menang.
Walau bagaimanapun, kata beliau, ketetapan itu tidak terpakai kepada MIC memandangkan parti itu tidak mempunyai kawasan majoriti India.

“Sebagai contoh di Johor, kawasan Ayer Hitam ditandingi MCA manakala Simpang Renggam ditandingi Gerakan sedangkan kedua-dua kawasan tersebut adalah majoriti Melayu.
“Kedua-dua parti ini akan dilihat tiada keyakinan diri jika mereka hanya bertanding di kawasan majoriti Melayu, maka kali ini kita mahu konvensyen negeri akan membuat ketetapan dan seterusnya dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini bahawa kali ini kita mahu kawasan majoriti Melayu diserah kepada UMNO bertanding,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Puad berkata, jika keadaan tradisi seumpama itu dibiarkan terus berlaku, MCA dan Gerakan dikhuatiri akan pupus di negara ini.

Maka, kata beliau, kedua-dua parti itu wajar membuktikan bahwa mereka masih relevan dan mempunyai peranan dalam Barisan Nasional (BN).
“Jika gagal, maka tidak ada makna mereka menerima balik jawatan dalam Kabinet. Apa guna terima jawatan sekiranya masih tidak mendapat sokongan Cina dan hanya akan ditertawakan DAP,’’ katanya.