PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Saturday 8 November 2014

Kenyataan Anwar Berdasarkan Pengalaman Lampau - Sri Ram


Peguam utama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Gopal Sri Ram, dalam hujah penutupnya bagi rayuan terakhir pemimpin pembangkang terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun, memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa penasihat PKR itu tidak patut dipersalahkan kerana memilih memberikan kenyataan dari kandang tertuduh berhubung konspirasi untuk menamatkan karier politiknya.

Sri Ram, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan, berkata Anwar memilih untuk melakukan ini kerana pengalaman masa lalu di mana mahkamah rendah mensabitkan beliau atas tuduhan yang sama (kerana meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar) tetapi kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1.

Beliau juga memberitahu panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bahawa dalam kes semasa yang melibatkan Mohd Saiful Bukhari, pengadu adalah seorang lelaki yang mempunyai motif dan saksi yang tiada nilai.

"Hakim perbicaraan (Mahkamah Tinggi) itu terkhilaf apabila memberikan banyak tumpuan kepada pembuktian apabila kredibiliti Mohd Saiful Bukhari diragui," beliau memberitahu panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria pada hari kelapan prosiding rayuan.

Sri Ram juga menyebut beberapa kes undang-undang yang menyatakan apabila kredibiliti itu kurang, maka pembuktian tidak lagi relevan.

Beliau berkata pada peringkat pembelaan, hakim perbicaraan telah memutuskan bahawa ia bukan 100 peratus selamat untuk mensabitkan Anwar memandangkan keterangan saksi utama (Mohd Saiful Bukhari) tidak menyokong bukti DNA yang merupakan titik penting kes pendakwaan.

Sebelum itu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa gambar Mohd Saiful Bukhari menghidangkan teh di rumah Anwar sehari selepas kejadian yang didakwa itu perlu diterima sebagai eksibit memandangkan orang yang di dalam gambar itu mengakui bahawa dia ada di sana, tanpa memanggil siapa yang membancuhnya.

Beliau berkata foto itu adalah relevan untuk menunjukkan perilaku Mohd Saiful Bukhari, yang mana pihak pembelaan berhujah kelihatan normal dan gembira, tetapi ia tidak ditandakan sebagai eksibit semasa perbicaraan.

Setelah Sri Ram membuat kesimpulan penghujahannya, ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bangun dan meminta izin mahkamah untuk menjawab hujah pembelaan mengenai isu persetujuan berkaitan pertuduhan liwat.

Bagaimanapun, Arifin berkata kepada Muhammad Shafee untuk berbuat demikian secara bertulis.

"Ia (rayuan) telah tamat, kecuali jika ada isu-isu baharu," katanya.

Empat hakim yang lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Dalam rayuan itu, Anwar, 67, memohon kepada Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun ini setelah mengubah keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 27, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful dengan alasan mahkamah itu tidak pasti 100 peratus tentang integriti sampel yang diambil bagi ujian DNA daripada individu yang didakwa menjadi mangsa.

Mahkamah itu memutuskan bahawa sampel berkenaan mungkin telah diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisis.

Bagaimanapun, ketika mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat itu, Mahkamah Rayuan berpendapat hakim perbicaraan terkhilaf dalam dapatannya tentang sampel berkenaan, yang didasarkan kepada keterangan dua saksi pakar yang dipanggil pihak pembelaan.

No comments:

Post a Comment