PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Monday 30 June 2014

Najib lawat Hadi Awang di IJN



KUALA LUMPUR  - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluangkan masa menziarahi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN).
Perdana Menteri yang datang dalam keadaan santai dengan hanya mengenakan baju kemeja lengan pendek berwarna kelabu dan berseluar hitam turut mendoakan Abdul Hadi semoga cepat sembuh.
“Menziarahi Tuan Hj. Hadi (Abdul Hadi) di hospital baru tadi. Moga cepat pulih, Insya-Allah," katanya menerusi Twitter sambil memuat naik gambar beliau bersama Presiden Pas itu.

Gambar mesra yang menyaksikan Perdana Menteri dalam keadaan berdiri sedang mengusap belakang Abdul Hadi yang duduk bersila di atas katil disambut positif oleh rakyat.
Salah seorang ialah Amalaziz, yang segera memuji ikatan persaudaraan yang terjalin antara kedua-dua pemimpin utama orang Melayu itu walaupun berbeza kepentingan politik.
“Alhamdulillah. Muafakat ini yang kita semua perlukan. Ketepikan kepentingan politik dan utamakan perpaduan agama dan bangsa," komen Amalaziz menerusi twitter kepada Najib.
Pada 30 Mei lalu, Abdul Hadi yang dalam lawatan ke Turki terpaksa dikejarkan ke Hospital Universiti Medipol Hastansi di Istanbul, selepas beliau mengadu sesak nafas.

Sebaik sahaja mengetahui berita tersebut, Perdana Menteri telah meminta Pejabat Kedutaan Malaysia di Turki supaya memberikan bantuan sewajarnya kepada Presiden Pas tersebut.
Abdul Hadi hanya pulang semula ke tanah air 18 Jun lalu dan mendapat rawatan susulan di IJN sehingga kesihatannya membenarkan untuk kembali meneruskan aktiviti politik.

No comments:

Post a Comment