PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 11 June 2014

MH370 : Malaysia Hargai Usaha Turkmenistan




ASHGABAT - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menyampaikan penghargaan dan terima kasih Malaysia kepada Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov atas bantuan yang diberikan negara itu semasa pencarian di peringkat awal kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 di Koridor Utara.

Semasa misi pencarian MH370, Turkmenistan memberikan sokongan dan kerjasama penuh yang memudahkan usaha pencarian Malaysia di kawasan yang begitu luas di koridor itu, kata Najib dalam kenyataan bersama antara Malaysia dan Turkmenistan pada Majlis Lawatan Rasmi Perdana Menteri Malaysia.

Kedua-dua pemimpin menandatangani kenyataan bersama itu pada satu majlis selepas mereka mengadakan pertemuan empat mata di Istana Presiden di sini.

Sebelum itu, Najib diberi sambutan rasmi sempena lawatan kali kedua di negara Asia Tengah ini.

Pada 8 Mac, pesawat Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Tujuh belas hari kemudian, Penerbangan MH370 dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi.

Dalam kenyataan itu, Najib juga mengucapkan tahniah kepada Turkmenistan kerana dipilih sebagai hos Sukan Dalam Gelanggang Asia dan Sukan Seni Bela Diri pada 2017 dan melahirkan kesediaan Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan Turkmenistan.

Berdimuhamedov, pula menyambut baik giliran Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada 2015 dan berharap untuk meningkatkan hubungannya dengan Malaysia melalui platform itu.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju bahawa perkongsian di antara Malaysia dan Turkmenistan mempunyai potensi luas yang boleh dibangunkan berasaskan kepada kesaksamaan dan manfaat bersama.

Antara lain, ia termasuk aktiviti promosi perdagangan dan pelaburan bagi mewujudkan rangkaian di antara pelbagai entiti ekonomi, dewan perniagaan dan perusahaan milik negara.

Sambil menyatakan aspirasi yang dikongsi antara Malaysia dan Turkmenistan, Najib dan Berdimuhamedov juga menyatakan berhubung kepentingan mengukuhkan kerjasama di antara kedua buah negara dalam bidang pembangunan tenaga dan sumber galian.

Kedua-dua pemimpin juga menyaksikan majlis menandatangani empat dokumen di antara Malaysia dan Turkmenistan.

Perjanjian Kerjasama Kebudayaan di antara Malaysia dan Turkmenistan ditandatangani Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Pemangku Menteri Kebudayaan Turkmenistan Annageldi Garajayev manakala satu Minit Yang Dipersetujui berhubung Terma Rujukan bagi Jawatankuasa Bersama Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan ditandatangani Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohd Ridzal Sharif dan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Ekonomi Luar Turkmenistan Bayer Abayen.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pelajaran Turkmenistan Gulshat Mammedova menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung Kerjasama Pendidikan manakala MoU tentang Kerjasama Jangka Panjang antara Petronas dan Agensi Negara yang bertanggungjawab bagi Hidrokarbon ditandatangani

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dan Pengarah Agensi Negara Bagi Pengurusan Penggunaan Sumber Hidrokarbon di Pejabat Presiden Turmenistan Yagshygeldi Kakayev.

No comments:

Post a Comment