PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 24 June 2014

Hukuman Berat Boleh Dikenakan Jika Abai Anak




KUALA LUMPUR - Perbuatan mengabaikan anak sehingga boleh membawa kematian adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman berat.
    
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual/Keganasan Rumahtangga/Penderaan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Hamidah Yunus berkata ibu bapa yang mengabaikan anak mereka boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
    
"Mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, terkandung kesalahan iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau penderaan kanak-kanak.
    
"Jika telah cukup bukti hasil keterangan semua pihak bahawa wujudnya salah satu elemen itu di mahkamah, tindakan akan diambil terhadap ibu bapa terbabit," katanya kepada Bernama.
    
Beliau berkata banyak ibu bapa menganggap perbuatan mengabaikan anak-anak mereka bukan urusan orang lain sehingga boleh diperlakukan sesuka hati.
    
"Tanggapan itu ternyata meleset sama sekali...kita ada undang-undang bagi melindungi kanak-kanak, ibu bapa jangan ingat mereka terlepas," katanya.
    
Mengulas kes remaja Orang Kurang Upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai, Sabtu lepas, Hamidah berkata perbuatan ibunya telah menyebabkan penderitaan, masalah kesihatan sehingga boleh membawa kematian kepada remaja itu.
    
"Walaupun disahkan bahawa ibunya tidak mendera secara fizikal ke atas anaknya seperti memukul dan sebagainya, namun penderaan dari segi emosi telah berlaku.
    
"Ini kerana ibunya tidak menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang sempurna kepadanya sehingga membawa kepada pengabaian,"katanya.
    
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih menahan reman ibu remaja terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan siasatan menjurus kepada punca sebenar mengapa kanak-kanak itu diabaikan dan ditinggalkan seorang diri di flat berkenaan.
    
Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling Fakulti Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan lebih tegas agar kes melibatkan pengabaian, penganiayaan, penderaan atau penyeksaan terhadap kanak-kanak dapat ditangani dengan lebih berkesan.
    
Katanya terdapat ibu bapa ketika ini seolah-olah tidak peka akan empat perkara asas yang seharusnya diberikan kepada anak-anak iaitu menjaga,
memelihara, melindungi dan memberi sokongan dalam proses perkembangan anak-anak mereka.
    
Beliau berkata nilai kemanusiaan semakin terhakis sehingga ada kalanya ibu bapa sanggup mengabaikan dan menyeksa anak-anak daripada memberi suasana perkembangan hidup yang positif.
    
Mengulas tentang ibu bapa yang mempunyai anak OKU, beliau berkata ibu bapa berkenaan seharusnya tidak perlu merasa takut atau bimbang kerana terdapat banyak saluran yang boleh memberikan bantuan sama ada melalui agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO).
    
"Ibu bapa harus sedar bahawa anak adalah amanah dan anugerah Tuhan. Suka atau tidak anak-anak perlu dijaga dengan baik apatah lagi jika mereka OKU...Jangan menganggap anak itu menyusahkan, sebaliknya ibu bapa mesti sanggup menjaga mereka dengan penuh kasih sayang," katanya.
    
Keluarga terdekat, jiran dan komuniti juga seharusnya bertanggungjawab dan peka dalam memastikan perkembangan kehidupan seharian kanak-kanak terjamin, kata Mohamed Fadzil.

No comments:

Post a Comment