PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 18 June 2014

Kampus UiTM: Rafizi Serang Adik Shahrizat



KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli terus menerus menyerang Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil apabila mengaitkan adik pemimpin itu, Datuk Shahrir Abdul Jalil menerima konsesi pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) kononnya menerusi amalan kronisme.
 
Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, Shahrir memperoleh perjanjian konsesi membina UiTM cawangan Seremban melalui syarikat Tentu Selesa Sdn. Bhd. di mana rakan kongsinya juga berkait rapat dengan Umno.
 
"Semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan ia dikuasai dua tokoh rapat dengan Umno selain adik Sharizat, Datuk Aidit Ghazali merupakan timbalan presiden Jalur Tiga (Jati)," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
 
Pada akhir 2011, Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjadi sasaran Rafizi yang mendedahkan suami pemimpin itu, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail yang merupakan Pengerusi Eksekutif NFC menerima projek ternakan lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC) dengan pinjaman mudah berjumlah 250 juta.
 
Pendedahan Rafizi adalah ekoran Laporan Ketua Audit Negara 2010 berhubung ternakan lembu di ladang seluas 2,023 hektar di Gemas, Negeri Sembilan.
 
Dalam pendedahan pembinaan kampus UiTM itu, Rafizi turut mendedahkan penyerahan konsesi pembinaan cawangan UiTM Pasir Gudang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Bertam, Shariful Azhar Othman.
 
Rafizi berkata, Tentu Selesa yang memiliki pegangan 29% saham bersama syarikat Menang Development M Sdn Bhd dan Menang Industries M Sdn Bhd yang bernaung di sebuah syarikat Inovatif Mewah Sdn Bhd.
 
Katanya, tambah mengejutkan apabila Tentu Selesa yang dimiliki oleh adik bekas menteri itu merupakan sebuah syarikat dengan terbitan saham sebanyak RM2 sahaja.
 
"Dua pemegang saham RM2 ini merupakan Saharudin Abdullah dan Sumami Kiman di mana ia turut digunakan dalam pelbagai urusniaga kontroversi termasuk cadangan pengambil alihan KFC dan Plus,” katanya.
 
Rafizi berkata, Shahrir pernah digantung selama 3 tahun oleh Lembaga Displin Umno kerana kesalahan mengamalkan politik wang pada 2005 turut dinamakan sebagai pengarah kepada pemegang konsesi Inovatif Mewah.
 
Beliau berkata, projek konsesi yang diberikan kepada kroni Umno tersebut adalah daripada agensi kerajaan yang tidak melibatkan tender terbuka.
 
"Masalah dengan konsesi ini ialah ia dilantik oleh agensi kerajaan secara terus tanpa memerlukan tender terbuka dan apabila ia berlaku maka pemaju itu tertakluk di bawah. akta kerahsiaan yang tidak boleh didedahkan.
 
"Ini yang berlaku kepada kebanyakan projek seperti Plus dan pembinaan lebuh raya lain di bawah akta kerahsiaan, kita memang tidak boleh buat apa-apa," katanya.
 
Sehubungan itu, katanya, PKR memandang berat sistem pelaksanaan yang digunakan kerajaan.
 
"Sebuah syarikat bermodal RM2 diberi pegangan sehingga 29% dalam satu konsesi bernilai RM1.5 bilion hanya kerana ia dikuasai oleh tokoh Umno.
 
"Sistem itu sendiri perlu diubah, kita tidak boleh selamanya begini kerana akhirnya menjadi beban rakyat," katanya.
 
Selain itu, Rafizi berkata akan merujuk perkara tersebut kepada Ketua Audit Negara bagi saranan tindakan.
 
"Saya lebih percaya kepada Ketua Audit Negara daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kalau kita bawa kepada agensi itu mereka akan menyatakan tidak ada kes kerana tidak ada transaksi," katanya.

No comments:

Post a Comment