PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 9 July 2014

PBT negeri wajar dikenakan KPI



ALOR SETAR- Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memerangi mesin judi haram tidak hanya dikenakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebaliknya perlu ditetapkan untuk semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat negeri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan daripada pihak tertentu agar KPI diperkenalkan menunjukkan mereka mahu komitmen yang jelas bagi membendung masalah sindiket perjudian haram.

"KDN juga mungkin akan menyediakan kertas mesyuarat untuk semua pemimpin negeri bagi memastikan PBT komited dan tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga yang selama ini dikeluarkan oleh mereka,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa KDN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim.
Ruangan Bisik-bisik Awang Selamat semalam turut menyatakan KPI perlu ditetapkan kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan Ketua Polis Daerah bagi memerangi mesin judi haram.
Menurut Ahmad Zahid, KDN juga mengalu-alukan usaha Jabatan Peguam Negara untuk membantu menyegerakan proses pindaan undang-undang berkaitan pencegahan dan pembanterasan sindiket perjudian haram.

Katanya, KDN akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar serta Ketua Menteri dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah sindiket perjudian haram di negara ini.
Beliau yakin usaha KDN yang serius untuk membanteras sindiket perjudian haram akan mendapat sokongan daripada pemimpin peringkat negeri termasuk pembangkang.
"Masalah perjudian haram ini turut berlaku di negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang dan di Selangor, saya rasa masalah ini paling hebat.
"Saya yakin negeri-negeri di bawah pembangkang juga akan menyokong usaha KDN untuk membanteras judi haram,'' katanya.

No comments:

Post a Comment