PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 23 July 2014

Hikmah Perpaduan Disebalik Nahas MH17 - TPM



MUARi - Usaha bagi merungkai tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 Khamis lepas telah dapat menyatupadukan rakyat di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 
 
Peristiwa itu, kata beliau, harus dijadikan iktibar oleh rakyat mengenai betapa pentingnya meningkatkan semangat kerjasama dan bersatu padu terutama dalam menghadapi insiden seperti itu. 
 
"Alhamdulillah, semangat kesatuan dan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia dalam peristiwa ini amat jelas," kata beliau ketika berucap di majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Surau As-Saadiah di sini malam ini. 
 
Beliau berkata, ini dapat dibuktikan menerusi sidang Parlimen Khas hari ini di mana semua Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang sebulat suara mengutuk sekeras-kerasnya kejadian yang menyebabkan pesawat malang itu terhempas menyebabkan 298 penumpangnya termasuk anak kapal terkorban. 
 
Muhyiddin berkata, pada sesi khas itu, kerajaan dan pembangkang bersatu hati dan turut sama-sama menyuarakan rasa hiba mengenai tragedi itu. 
 
Muhyiddin turut mengulangi pendirian kerajaan untuk terus menuntut keadilan bagi mencari punca nahas pesawat MH17. 
 
"Kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab akan terus mengambil langkah-langkah untuk menuntut keadilan bagi semua yang terkorban. 
"Kita nak cari siapalah punca yang telah membawa kepada tragedi ini," katanya. 
 
Beliau turut mengakui tragedi MH17 juga menyebabkan ketibaan Syawal kali ini disambut dalam suasana hiba oleh masyarakat Malaysia. 
 
Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan sumbangan UDA Holdings kepada 30 penerima golongan asnaf. 
 
Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Dr Syahruddin Md Salleh dan Pengarah Urusan UDA Holdings Ahmad Abu Bakar. 

No comments:

Post a Comment