PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Friday 27 February 2015

Najib : Bangsa Melayu Bakal Disegani di Mata Dunia



 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkeyakinan bahawa bangsa Melayu akan terus melangkah menjadi bangsa yang disegani di mata dunia.

Beliau menzahirkan keyakinan itu berdasarkan semangat yang ditunjukkan hadirin terutamanya golongan belia yang bersama-sama dengannya pada Perhimpunan Perpaduan Melayu di Bukit Jalil, malam tadi.

"Namun, Melayu tidak harus leka, Melayu perlu terus melangkah maju dan berdikari. Kita perlu tingkatkan usaha kita melatih orang Melayu menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka.

"Kita perlu memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya; mempertahan institusi Raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni; dan menjaga institusi keluarga," katanya menerusi catatan terbaru di dalam laman Twitternya hari ini.

Najib berkata, panduan ini wajar menjadi wadah dan maslahah yang akan terus diperjuangkan dan digunakan untuk memajukan bangsa Melayu.

Perdana Menteri turut yakin bahawa seandainya bangsa Melayu mengekalkan keutuhan perpaduan dalam kalangan mereka dan berusaha ke arah memajukan bangsa, tiada apa yang tidak mampu dikecapi bersama.

Malam tadi, Najib menghadiri dan menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan itu di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini yang dihadiri ribuan peserta.

Sementara itu, dalam satu lagi catatannya, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meneruskan usaha menambah baik pertahanan negara agar keselamatan dan ketenteraman serta kedaulatan sempadan negara terus terjamin.

"Hari ini adalah ulang tahun ke-82 Angkatan Tentera Darat Malaysia. Saya mengajak rakyat Malaysia bersama-sama saya mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka dan keluarga serta mendoakan agar para perajurit angkatan darat terus cekal, tabah dan gagah," katanya

No comments:

Post a Comment