PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Monday 9 February 2015

Saya Bukan Budak Sekolah Nak Paksa-Paksa, Kata Hadi



 Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak Lim Guan Eng yang mempertikaikan kehadirannya dalam mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang dengan menegaskan beliau bukan budak sekolah untuk menurut arahan pemimpin DAP itu.

Tegas Ahli Parlimen Marang itu, Guan Eng tidak berhak untuk menentukan sama ada beliau perlu menghadiri mesyuarat berkenaan atau tidak.

Katanya, terpulang kepada beliau sendiri untuk hadir atau tidak ke mesyuarat yang dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat Pas di ibu negara pada Ahad ini.

“Dia (Guan Eng) tak berhak tentukan saya hadir atau tidak dalam mesyuarat pakatan rakyat (pembangkang) nanti. Terpulang pada sayalah nak hadir atau tidak. Saya bukan murid sekolah. Itu hak saya.

“Kita tengok dulu, kita tengok pada hari mesyuarat sama ada saya hadir atau tidak dan saya tidak bergantung kepada sesiapa,“ katanya kepada pemberita di kediamannya.

Beliau diminta mengulas peringatan Guan Eng semalam bahawa mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang yang dijadualkan berlangsung Ahad ini tidak akan diteruskan jika Abdul Hadi tidak hadir.

Pemimpin DAP itu berkata, tarikh mesyuarat tersebut telah ditetapkan dan semua parti dalam pakatan pembangkang perlu memberi komitmen bagi menghadiri mesyuarat itu yang akan bermula pukul 2.30 petang.

Kata Abdul Hadi, jika dibandingkan dengan Setiausaha Agung DAP yang jawatannya itu masih belum disahkan, beliau sendiri lebih kerap menghadiri mesyuarat kepemimpinan pakatan pembangkang sejak dahulu lagi.

Walau bagaimanapun katanya, pada masa-masa tertentu beliau terpaksa membatalkan kehadiran atas faktor kesihatan dan uzur.

Malah menurutnya, sewaktu menjadi Menteri Besar dahulu be­liau masih sempat menghadiri setiap mesyuarat dan tidak sesibuk Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Saya lebih banyak hadir mesyuarat (pakatan pembangkang) daripada Guan Eng. Dia paling banyak tidak hadir mesyuarat. Saya yang paling banyak hadir kecuali saya sakit atau uzur. Masa saya jadi MB (Menteri Besar Terengganu) dulu pun, saya hadir tiap-tiap mesyuarat (parti pembangkang).

“Saya tak sibuk macam Ketua Menteri (Guan Eng). Kalau sibuk pun saya mesti hadir mesyuarat. (Jadi), kena check (periksa) betul-betul dari segi kehadiran, siapa paling banyak tak hadir mesyuarat,“ tegasnya.

Ditanya mengenai harapan beliau terhadap isu-isu berbangkit termasuk pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diperjuangkan DAP akan diselesaikan dalam mesyuarat Ahad ini, Abdul Hadi menjelaskan, semua yang hadir akan membincangkan perkara itu.

Namun katanya, Pas sememangnya sejak 1970-an lagi telah mengambil pendirian tidak menyokong pilihan raya PBT diadakan.

“Masalah yang ditimbulkan itu (isu pilihan raya PBT) masalah lama. Ini sikap Pas sejak tahun 1970-an lagi dan sikap kita tak setuju. Sampailah kita masuk angkatan perpaduan ummah dan sehingga kita masuk kerajaan alternatif dan juga masuk pakatan rakyat (pembangkang), ini bukan benda baharu,“ jelasnya.

Tambah Abdul Hadi, dalam perjuangan Pas soal kebajikan dan kepentingan seluruh rakyat perlu dijaga dan bukannya hanya terbatas kepada penduduk sekitar bandar.

No comments:

Post a Comment