PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Monday 2 February 2015

Keluarga Hargai Kesudian Najib Ziarah Nik Aziz



Kesudian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menziarahi Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Khamis lepas, memberi makna yang cukup besar buat keluarganya.

Anak bekas Menteri Besar Kelantan itu, Nik Mohamad Abduh berkata walaupun lawatan pemimpin tertinggi negara itu hanya sekejap namun ia amat berharga buat mereka sekeluarga.

"Terima kasih Perdana Menteri kerana menziarah ayah (Nik Abdul Aziz, 84,). Walaupun sekejap dan ayahanda keletihan, ia bermakna buat kami sekeluarga. Terima kasih rakyat Malaysia," katanya dalam entri terbaharu laman sosial Facebooknya, Sabtu.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri dalam lawatan sehari ke Kelantan , meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat sendiri perkembangan kesihatan Nik Abdul Aziz dengan diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Nik Mohamad Abduh berkata tahap kesihatan ayahnya itu kini semakin bertambah baik dan menunjukkan perkembangan positif.

"Alhamdulillah, walaupun masih keletihan ayahanda telah mampu menjalani proses rehabilitasi dengan baik, meningkat dari hari ke hari.

"Semalam ketika menjalani rawatan fisioterapi, ayahanda sudah mampu berdiri sendiri sekitar 30 minit," katanya.

Nik Abdul Aziz, dimasukkan ke HUSM pada 19 Jan lepas setelah tahap kesihatannya merosot ketika banjir baru-baru ini, selain menghidap kanser prostat.

Nik Abdul Aziz, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, merupakan menteri besar Kelantan kelima yang memegang jawatan itu dari 1990 hingga 2013.

No comments:

Post a Comment