PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 3 February 2015

Puteri UMNO Desak Peniaga Turunkan Harga Barang Segera



Pergerakan Puteri UMNO menyifatkan sikap peniaga yang enggan menurunkan harga barangan selaras dengan penurunan harga petrol sebagai melampau.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyarankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk memastikan pengguna mendapat manfaat harga barang yang lebih rendah.

"Peniaga Bumiputera seharusnya menghargai apa yang dilakukan oleh kerajaan dan untuk itu mereka sepatutnya turut melakukan perkara yang sama terhadap pengguna, bukannya terus mengaut keuntungan yang berlebihan.

"Oleh kerana itu pengguna perlu bijak membuat pilihan. Sokongan anda untuk meletakkan kuasa pengguna paling tinggi amat diperlukan," katanya.

Beliau mengulas pengumuman harga baharu bagi petrol iaitu RON95 kini RM1.70 seliter penurunan sebanyak 21 sen manakala RON97 berharga RM2 seliter dengan penurunan sebanyak 11 sen.

Mas Ermieyati berkata, penurunan harga petrol telah memberi impak positif kepada ekonomi golongan muda terutama mereka yang baharu mempunyai keluarga dan wanita muda yang berpendapatan sederhana dan rendah, sepatutnya waktu ini adalah paling sesuai untuk membuat tabungan masa depan.

Beliau menggesa kerajaan mengadakan perbincangan dengan peniaga yang sengaja tidak mahu menurunkan harga barang.

"Mereka tidak sepatutnya menjual pada harga lama yang lebih mahal kerana kos pengangkutan telah turun," katanya.

Katanya, KPDNKK harus ada mekanisme mereka sendiri untuk memastikan peniaga menurunkan harga barang, selain mengambil tindakan terhadap perniaga terbabit, kementerian boleh mengadakan kempen turunkan harga barang.

No comments:

Post a Comment