PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 4 February 2014

Pemuda PAS Buat Tolak Anwar Jadi MB Selangor


Pemuda PAS hari ini menegaskan mereka menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekiranya berlaku perubahan dalam pentadbiran negeri berkenaan, kata Suhaizan Kaiat.

Ketua Pemuda PAS itu berkata, Pakatan Rakyat (PR) seharusnya segera menghentikan polemik berkaitan kedudukan menteri besar baru kerana khuatir ia akan dipanjangkan sehingga melibatkan pihak Istana Selangor.

"Pemuda PAS juga ingin menegaskan bahawa menyokong Anwar sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak bermakna Pemuda PAS bersetuju beliau menjadi menteri besar Selangor.

"Polemik Kajang ini tidak perlu mengheret PR membincangkan isu menteri besar yang baru, dan kita khuatir ia akan berlarutan terlalu panjang dan diheret ke peringkat istana," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, di Kuala Lumpur.

Suhaizan bagaimanapun berkata, pihaknya kesal terhadap tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang yang dilaksanakan secara tergesa-gesa, membazir masa dan duit rakyat.

"Ia juga mendedahkan PR kepada risiko kemerosotan sokongan rakyat.

"Bagaimanapun kita menghormati muafakat PR yang memberi hak mengurus DUN kepada parti yang menang dalam pilihan raya lalu," katanya.

Beliau turut mendesak agar "kesilapan" seperti itu tidak diulangi oleh parti komponen PR yang lain pada masa depan.

Suhaizan ketika sidang media itu berkata, sayap pemuda PAS itu juga akan bersama-sama dengan kepimpinan PR untuk turun berkempen bagi Anwar.

"Kami akan bersama dalam PRK DUN Kajang bagi membantu kemenangan PR," katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS melantik Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Selangor Khairul Nizam Toha selaku penyelaras PRK DUN Kajang Pemuda PAS.

Beliau turut berkata, parti yang bertanding tidak seharusnya mengamalkan pembaziran dengan "projek-projek mee segera" kerana ia bakal memudaratkan rakyat.

"Sekiranya berlaku pertandingan, pemuda minta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) mengadakan PRK dengan adil dan bersih.

"Elakkan berlakunya pembaziran. Elakkan projek mee segera yang akan korbankan wang rakyat," katanya, dan menambah rakyat akan pastinya menghukum pihak yang membazir.

Meskipun tidak bersetuju dengan pengosongan kerusi oleh mantan Adun Kajang Lee Chin Cheh, Suhaizan berkata PR juga tidak akan sesekali memberikan kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN).

"Alasan (pengosongan) yang diberikan itu walaupun kita tidak setuju kerana ada pembaziran, tetapi kita tak setuju beri kemenangan percuma kepada BN," katanya. ~tmi

No comments:

Post a Comment