PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 22 April 2014

Lawatan Obama : Tiada Sebarang Tekanan Isu TPPA



KUALA LUMPUR 22 April - Tiada sebarang tekanan kepada Malaysia berkaitan isu Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik (TPPA) semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada hujung minggu ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walau bagaimanapun, perbincangan mengenai perjanjian tersebut bakal menjadi keutamaan pada pertemuan di antara Obama dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Lawatan ini bukan semata-mata untuk TPPA, tetapi kedua-dua negara juga akan membincangkan isu dalam konteks yang lebih luas seperti pendidikan, sains dan inovasi, pelaburan swasta serta isu keselamatan dan juga kerjasama pertahanan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan majlis Taklimat Bersama Media berkenaan TPPA di pejabatnya, petang tadi.

Tambahnya lagi, hasil daripada perbincangan tersebut, ia akan meningkatkan peluang khususnya untuk menyatakan pendirian khususnya Malaysia terhadap beberapa isu dan cabaran yang sedang dihadapi.

"Saya pasti bahawa isu perjanjian ini bakal menjadi perkara pokok dalam pertemuan tersebut dan sukar untuk kita meramalkan hasil daripada pertemuan tersebut".  

"Namun apa yang boleh saya katakan, ia akan memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk berkongsi beberapa isu dan cabaran yang kita hadapi dalam perbincangan tersebut", ujarnya.

Terdapat beberapa kebimbangan yang mengatakan bahawa lawatan Presiden Obama ke Malaysia adalah bagi mendesak kerajaan untuk menandatangani perjanjian tersebut.

Obama dalam siri rangka lawatan kerja ke negara-negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Filipina dan bakal singgah di Malaysia yang mana merupakan pertama kali semenjak tahun 1966 ketika era Presiden Lyndon B. Johnson.

No comments:

Post a Comment