PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday 26 March 2015

Kementerian Siasat Kes Guru Islamkan Pelajar Sekolah di Miri



 Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, Kementerian Pendidikan akan melakukan siasatan menyeluruh dan rapi mengikut prosedur standard operasi (SOP) berhubung kes dua orang guru di di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, Miri yang didakwa cuba mengislamkan seorang pelajar Iban berusia 13 tahun, Sabrina Anak Ngumbang.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, pihaknya memberi jaminan siasatan akan dilakukan secara telus.

Ia bagi memastikan nasib kedua-dua pihak yang terlibat terbela sepenuhnya dan segala bukti akan dikumpul dan siasatan akan dilakukan dalam masa tujuh hari dari tarikh kejadian.

“Laporan perlu disiapkan dalam masa tiga hari selepas insiden berkenaan. Sejurus laporan disiapkan, ada tujuh hari untuk ambil tindakan. Kalau lebih awal lebih bagus,” ujarnya pada sidang media di sini semalam.

Kontroversi ini timbul apabila gambar sepucuk surat aduan yang dihantar kepada pengetua sekolah itu mengenai guru terbabit dan satu salinan laporan polis mengenainya dimuatkan dalam laman Miri Community, laman facebook berasaskan komuniti untuk berkongsi maklumat tentang Bandar Raya Miri, yang mendakwa guru berkenaan memaksa murid itu memeluk Islam.

Gambar itu segera tersebar dengan meluas dan banyak pengguna internet berkongsinya serta telah mengundang pelbagai kritikan tidak berasas, tuduhan melulu dan komen yang tidak sewajarnya sama sekali.

Sebuah portal berita Sarawak pula melaporkan, dua guru wanita sekolah berkenaan yang bimbang dengan keselamatan diri mereka dikatakan membuat laporan polis bagi menafikan laporan awal yang mengandungi unsur fitnah yang telah dibuat oleh Sabrina.

Fatimah yang juga menteri yang bertanggungjawab terhadap hal pendidikan Sarawak turut menyatakan usaha dua guru berkenaan yang cuba menukar agama pelajar itu tanpa kebenaran ibu bapanya adalah satu kesalahan.

“Daripada siasatan yang dijalankan, tindakan lanjut akan diambil terhadap guru terlibat mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan 2002). Pihak kementerian sendiri yang akan ambil tindakan selepas meneliti laporan yang diterima,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, setakat ini, kedua-dua guru terlibat telah dibawa keluar dari lokasi oleh pihak kementerian dan ditempatkan sementara di Pejabat Pelajaran Daerah Miri sepanjang proses siasatan.

Katanya, tindakan tersebut bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah dan situasi tegang antara pihak berkaitan termasuk pihak sekolah, keluarga mangsa dan masyarakat setempat.

Fatimah turut mendapat maklumat menerusi pengakuan pelajar terlibat dalam satu pertemuan Jumaat lepas yang mengakui berminat untuk memeluk agama Islam.

"Namun dari segi undang undang, pelajar berkenaan perlu mendapatkan kebenaran dari kedua-dua ibu bapanya untuk menukar agama meskipun beliau dijaga oleh datuk dan neneknya sejak dilahirkan.

"Kedua, guru berkenaan juga harus mengetahui bahawa soal penukaran agama bagi mereka yang masih di bawah umur, adalah perlu untuk mendapat persetujuan ibu bapa mereka," ujarnya.

Fatimah turut menyeru kepada semua guru agar sentiasa peka dan bijak dalam menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama di negeri berkenaan.

No comments:

Post a Comment