PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Tuesday 10 March 2015

PAS Calonkan Bekas Pensyarah Di DUN Chempaka



 Pas memilih bekas pensyarah sebuah kolej swasta, Ahmad Fathan Mahmud sebagai calon untuk mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu majlis di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini malam ini.

Ahmad Fathan, 43, yang berkelulusan sarjana muda dari Universiti Al-Azhar dan Sarjana Syariah, Universiti Malaya (UM) adalah Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Pengkalan Chepa. DUN Chempaka berada dalam kawasan tersebut.

Difahamkan beliau juga seorang imam di sebuah masjid di sini.

Sementara itu, Ahmad Fathan mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan tertinggi Pas terutama Majlis Syura Ulama kerana memilihnya.

“Pada saya, pemilihan ini adalah satu amanah yang cukup besar, mungkin lebih ramai lagi yang layak.

“Saya mengharapkan amanah ini dapat saya pikul sebaik mungkin dan berharap pemimpin dapat memperbetulkan saya, mudah-mudahan menjadi legasi kepada Nik Abdul Aziz,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan pe­mimpin-pemimpin Pas negeri.

Ahmad Fathan dikatakan bakal berhadapan dengan saingan tiga calon Bebas iaitu aktivis Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Sharif Mahmood; Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin dan ahli perniagaan dari Pasir Puteh, Aslah Mamat.

Ketiga-tiga calon Bebas itu membuat pengumuman untuk bertan­ding pada PRK tersebut baru-baru ini.

Barisan Nasional (BN) yang menjadi pesaing utama Pas dalam setiap pilihan raya bagaimanapun tidak meletakkan calon kerana mahu mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat disebabkan tugas utama sekarang adalah untuk membantu rakyat negeri ini yang menderita akibat malapetaka bah kuning baru-baru ini.

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar, ­Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK DUN Chem­paka 22 Mac ini manakala penamaan calon 10 Mac.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Nik Abdul Aziz menang di kerusi DUN Chempaka dengan majoriti 6,500 undi.

Beliau mendapat 12,310 undi manakala calon BN, Wan Razman Wan Abd. Razak memperoleh 5,810 undi.

No comments:

Post a Comment