PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Saturday 18 October 2014

Zahid Dedah Mengapa PPS Haram



Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mendedahkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) diisytiharkan haram oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) disebabkan ia tidak dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya diluluskan dalam mesyuarat Exco.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan ia melibatkan soal perundangan kerana kuasa kerajaan Pusat adalah dalam soal keselamatan, pertahanan dan ia bukan di bawah kuasa kerajaan negeri.
“PPS mahu bertindak sebagai sebuah badan atau pasukan keselamatan, Saya ada bukti, Kita lihat bahawa mesyuarat Kerajaan Negeri pada  8 April 2009 telah meluluskan PPS tetapi tidak dibawa ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah undang-undang atau enakmen,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen DAP Tanjong , Ng Wei Aik di Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ng dalam soalannya ingin mengetahui adakah Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Rukun Tetangga (RT) dan Community Policing (CP) yang telah ditubuhkan di negeri Pulau Pinang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Polis baru-baru ini bertindak terhadap 158 anggota PPS selepas menyertai perbarisan Hari Kebangsaan di Pulau Pinang kerana pertubuhan itu diharamkan ROS.
Zahid menjelaskan, PPS yang telah dilancarkan pada 17 September 2011 juga salah dari segi undang-undang apabila mempunyai pangkat tertentu iaitu untuk Adun satu crown, ketua pasukan 3 bunga, timbalan ketua pasukan 2 bunga, naib ketua pasukan 1 bunga dan ahli parlimen tidak layak.
Malah sehingga kini terdapat 296 organisasi seluruh Pulau Pinang yang beroperasi di bawah 40 kawasan ADUN.
Selepas 5 tahun pertubuhan PPS kini mempunyai 9,002 yang terdiri daripada 2,970 orang melayu iaitu 33%, 5,123 orang cina iaitu 57% dan 873 india atau 10%.
Lebih memburukkan keadaan menurut Ahmad Zahid, kerajaan negeri memperuntukkan RM20,000 hingga RM30,000 setiap DUN untuk menjayakan PPS yang mana ia sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat dan membangunkan negeri itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyindir Ahli Parlimen Lumut yang juga bekas Pegawai Tinggi TLDM, Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid kerana walaupun bekas anggota pertahanan negara namun beliau seolah tidak memahami susur galur pentadbiran dan perundangan negara dalam mengawal keselamatan dan mempertahankan negara.
Jelasnya PPS yang cuba berlagak macam anggota penguatkuasa telah bertindak di luar batasan kerana mengambil pendekatan memukul, menendang, menampar dan menyembur dengan gas pemedih mata di mana ia adalah salah dari segi undang-undang.
Sehingga kini terdapat 2.943 juta anggota RELA seluruh negara dan di Pulau Pinang sahaja sehingga 30 September lalu, seramai 229, 766 anggota RELA telah didaftarkan.
RELA adalah sebuah Jabatan Persekutuan dibawah KDN dan mempunyai akta sendiri iaitu Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 sebagai sebuah jabatan kerajaan dan bukannya pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), oleh itu Jabatan RELA tidak perlu berdaftar dengan ROS.

No comments:

Post a Comment