PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday 16 October 2014

Oktoberfest: Kerajaan PKR Selangor Ada Kuasa Halang



 Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diminta tidak mengetepikan peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 bagi menangani isu-isu membabitkan kelulusan iklan atau penganjuran aktiviti yang menyentuh sensitiviti umat Islam termasuk pesta minuman keras, Oktoberfest.

Penolong Setiausaha I, Dewan Ulama Pas Selangor, Ibrahim Baharuddin berkata, enakmen itu dilihat penting dan perlu dijadikan asas utama bersama-sama undang-undang lain sedia ada di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melindungi serta memastikan umat Islam tidak terpengaruh atau terlibat dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah dengan syariat agama.

Bagaimanapun, usaha tersebut katanya, hanya boleh dijayakan sekiranya kerajaan negeri bersetuju mengadakan perbincangan sama ada di peringkat PBT atau Exco.

"Dewan Ulama Pas Selangor mengemukakan cadangan awal menerusi satu kenyataan rasmi sebelum ini (jadikan Enakmen Jenayah Syariah 1995 sebagai asas utama kelulusan dan kebenaran dalam undang-undang PBT).

"Oleh itu, cadangan ini perlu diambil tindakan oleh semua pihak sama ada di peringkat Pas sendiri, parti lain dalam pakatan pembangkang dan seterusnya kerajaan negeri melibatkan perbincangan, penerangan dan sebagainya," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pada 8 Oktober lalu, Dewan Ulama Pas Selangor menerusi satu kenyataan rasmi membantah iklan serta penganjuran Oktoberfest di negeri ini yang disifatkan tidak menghormati sensitiviti masyarakat majmuk.

Selain Dewan Ulama Pas Selangor, penganjuran pesta itu turut dibantah oleh Dewan Ulama Pas Pusat yang menyatakan pendirian sama dengan menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Alinah Ahmad pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, kemuncak pesta tersebut diteruskan dari 10 hingga 12 Oktober lalu di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya yang turut dihadiri beberapa pemimpin kanan DAP dan PKR.

Kehadiran pemimpin DAP dan PKR itu telah mencetuskan rasa kesal oleh Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz yang menyatakan seolah-olah sekutunya menunjuk-nunjuk 'kemenangan mereka' apabila berjaya menganjurkan pesta minum arak berkenaan.

Malah Mahfodz turut kesal dengan pendirian Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang tidak mengendahkan bantahan oleh Pas sebelum ini.

Dalam pada itu, Ibrahim ketika ditanya mengenai kenyataan Dr. Mahfodz itu memberitahu, pihaknya akan membawa perkara tersebut dalam perbincangan Dewan Ulama Pas Selangor.

No comments:

Post a Comment