PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Thursday 20 March 2014

Isu Dadah : Khairy Bawa ke Jemaah Menteri Esok



KUALA LUMPUR, 20 Mac - Menteri Belia dan Sukan (KBS) Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan membawa isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia kepada Jemaah Menteri esok, susulan kematian enam orang akibat mengambil dadah berlebihan pada satu konsert di sini minggu lepas.

Khairy berkata perkara itu perlu diketengahkan kepada kabinet bagi mempergiat usaha memberi kesedaran dan pendidikan kepada golongan belia mengenai penyalahgunaan dadah.

"Kita bukan sahaja mahu melihat dari segi penganjuran konsert tetapi juga perkara pokok iaitu kesedaran dan pendidikan yang perlu diberikan kepada generasi muda berkaitan dengan penyalahgunaan dadah terutamanya apabila dicantumkan dengan acara-acara hiburan.

"Bukan kita ingin menghalang penganjuran mana-mana konsert tetapi saya harap perkara ini(penyalahgunaan dadah) dapat dikawal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Majlis Perundangan Belia Negara Ketiga 2013-2014 di Pusat Belia Antarabangsa di sini, hari ini.

Beliau berkata KBS amat berharap insiden itu, yang turut menyebabkan beberapa lagi belia kritikal kerana pengambilan dadah berlebihan ketika menonton konsert Festival Future Music Asia (FMFA) 2014 di Stadium Bukit Jalil, tidak berulang.

Dalam kejadian awal Sabtu lepas, tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 dan 28 tahun meninggal dunia manakala 14 lagi dirawat di hospital akibat pengambilan dadah berlebihan.

Konsert tiga hari itu, yang bermula Khamis lepas, dibatalkan pada Sabtu berikutan kejadian itu.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata kementerian akan memberikan insentif berjumlah RM2,000 kepada mana-mana pertubuhan belia yang berjaya mencapai penarafan lima bintang berdasarkan penilaian oleh Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia.

Sistem penarafan bintang pertubuhan belia yang diperkenalkan tahun lepas merupakan kaedah penilaian terhadap semua pertubuhan belia berdaftar mengikut Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007.

"Kita akan mempraktikkan sistem sama pada masa akan datang bagi mana-mana persatuan belia yang menunjukkan prestasi yang baik. Kita akan memberi insentif berbentuk peruntukan tambahan supaya persatuan dapat menjalankan program dirangka," katanya.

Persidangan sehari itu yang dihadiri perwakilan KBS, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia itu antara lain membincangkan kajian hasil makmal kos sara hidup oleh MBM serta penyertaan belia dalam pertubuhan koperasi di negara ini.

No comments:

Post a Comment