PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 25 December 2013

Tiga Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bantah Himpunan Haram



Tiga Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian iaitu Pasir Salak, Teluk Intan dan Bahagian Bagan Datoh membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Teluk Intan hari ini kerana membantah  penganjuran perhimpunan haram untuk mengulingkan kerajaan yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur 31 Disember ini.

Lebih 200 ahli pergerakan Pemuda ketiga-tiga bahagian itu  yang diketuai Ketua Pemuda UMNO Pasir Salak, Dr. Faizal Datuk Tajudin telah membuat laporan  polis pada jam 4 petang sebelum mengadakan perhimpunan secara aman dipekarangan ibu pejabat polis berkenan sebagai membantah penganjuran perhimpunan  haram itu.

Turut sama membuat laporan polis itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Teluk Intan, Zamanhuri Ya’akob dan Naib Ketua Pemuda Bahagian Bagan Datoh, Aziz Mokhtar.

Perhimpunan secara aman itu turut disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam daerah Hilir Perak termasuk PAKIDA, MAPIN, MAYC, Persatuan Seni Silat Teluk Intan dan Majlis Belia Kampung Gajah.

Ketua Pemuda UMNO Pasir Salak, Dr. Faizal Tajudin semasa bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa berkenaan mengambil langkah pencegahan bagi menghalang perhimpunan haram itu demi keamanan negara.

"Kami dengan rasa penuh tanggungjawab mendesak pihak berwajib mengambil langkah pencegahan segera bagi menghalang perhimpunan  haram itu demi keamanan negara.

"Kerajaan yang sah telah dipilih pada 5 Mei lalu, kita tidak mahu apa yang terjadi di negara-negara Teluk, apa yang terjadi di negara jiran kita iaitu Thailand berlaku di negara kita.’’ Katanya.

Ketua Pemuda UMN O Bahagian  Teluk Intan, Zamanhuri pula meminta pihak penganjur perhimpunan haram itu termasuk pihak pembangkang supaya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat pada pilihan raya umum ke 13 lalu.

"Tolong hormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat pada pilihan raya  lalu, mandat telah diberi dan beri peluang kepada kerajaan untuk mentadbir negara ini, sudah tentu kerajaan mempunyai rancangan tersendiri bagi membantu rakyat,’’ katanya.

Beliau membidas golongan yang masih tidak berpuashati apabila mereka tewas dalam pilihan raya lalu tetapi masih mahu menunjukkan bahawa mereka kononnya lebih layak untuk memimpin negara.

"Sudah tentu ini akan memberi impak buruk kepada negara-negara luar bila mana melihat keputusan pilihan raya  sudah jelas namun ibarat kata pepatah, rumah sudah siap pahat masih berbunyi ,’’ katanya.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datoh, Aziz Mokhtar pula menganggap tindakan pihak penganjur perhimpunan haram itu sebagai satu tindakan yang sia-sia dan boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau turut mendesak pihak berkuasa berkenaan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah tegas terhadap penganjur dan mereka yang menyertai perhimpunan haram ini yang dianggap sebagai petualang negara.

"Sepatutnya golongan ini  harus bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan  kerana selama ini mereka menikmati segala kemewahan dan keselesaan hidup berbanding rakyat di negara-negara lain seperti Mesir dan Syria  yang terpaksa hidup dalam suasana tidak aman,’’ katanya.


No comments:

Post a Comment