PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 25 December 2013

BN kekal parti paling popular atasi pembangkang




KUALA LUMPUR 24 Dis. - Barisan Nasional (BN) kekal sebagai parti paling popular di negara ini dan dijangka menang jika pilihan raya umum diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.
Tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (Umcedel) pada 6 hingga 8 Disember lalu terhadap 1,676 responden seluruh Semenanjung menyaksikan BN mendapat sokongan sebanyak 32 peratus berbanding pakatan pembangkang, 29 peratus.

Sebanyak 35 peratus kaum Melayu dan 21 peratus kaum Cina didapati menyokong BN manakala 28 peratus kaum Melayu dan 33 peratus kaum Cina menyokong pakatan pembangkang.
Dalam pada itu, sebanyak enam peratus kaum Melayu dan 10 peratus kaum Cina menyatakan mereka tidak pasti sementara 31 peratus kaum Melayu dan 36 peratus kaum Cina tidak mahu menjawab apabila diajukan perkara tersebut.

Pecahan status mengundi pula menyaksikan 42 peratus daripada pengundi yang telah mengundi lebih dari empat kali pada pilihan raya umum paling ramai menyokong BN dan hanya 26 peratus daripada kumpulan itu mengundi pembangkang.
Kalangan pengundi luar bandar turut menyumbang 37 peratus daripada penyokong BN berbanding pembangkang hanya 29 peratus.

Berhubung kecenderungan responden terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tinjauan menunjukkan Najib jauh lebih popular.

Najib yang juga Pengerusi BN mendapat sokongan 46 peratus berbanding Anwar hanya 32 peratus dengan responden Melayu sebanyak 48 peratus dan Cina 43 peratus.
Pengarah Umcedel, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, perkara tersebut menunjukkan imej Najib dan BN tidak terjejas malah lebih baik berbanding Anwar dan pembangkang pada enam bulan selepas pilihan raya umum lepas.

"Boleh dilihat di sini bahawa orang Melayu masih memegang teguh kepemimpinan BN di negara ini. Mereka terus yakin BN dapat mempertahankan kebajikan kaum dan kesucian agama Islam daripada diganggu-gugat sebarang ancaman.

"Walau bagaimanapun, BN perlu peka mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang dan peningkatan tarif elektrik kerana ketiga-tiga perkara ini dapat memberi kesan kepada sokongan tersebut," katanya semasa membentangkan tinjauan itu di Universiti Malaya hari ini.

No comments:

Post a Comment