PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Wednesday 26 August 2015

Jangan Politikkan Hari Kebangsaan



 Semua pihak diminta supaya tidak mempolitikkan sambutan Hari Kebangsaan 2015, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia tidak kira apa jua fahaman politik, sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang bertemakan 'Sehati Sejiwa' perlu diraikan bersama.

"Bagi saya tidak timbul bahawa Pulau Pinang perlu keluarkan tema mereka sendiri kerana kita sudah ada tema Sehati Sejiwa yang harus kita serapkan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Larian Sehati Sejiwa, di Padang Merbok, di sini hari ini.

Jailani berkata demikian ketika diminta mengulas isu tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP yang dilapor akan menggunakan tema 'Bersih' bagi sambutan Hari Kebangsaan 2015 berbanding tema sambutan yang ditetapkan kerajaan persekutuan.

Susulan perkara itu Jabatan Pendidikan Pulau Pinang telah mengeluarkan Surat Pekeliling yang mengarahkan semua sekolah di negeri itu supaya tidak menyertai sebarang sambutan dan perarakan Hari Kebangsaan anjuran kerajaan negeri sehingga mendapat arahan lanjut daripada Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, mengulas laporan blog tertentu yang menyenaraikan nama 20 anggota Parlimen Barisan Nasional sebagai antara individu yang bekerjasama dengan pembangkang untuk membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui persidangan Dewan Rakyat pada Oktober depan.

Jailani berkata, mereka boleh mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya perlu.

Namun katanya, anggota Parlimen berkenaan perlu membuat laporan polis terlebih dahulu supaya siasatan dapat dijalankan.

"Kita boleh bantu menerusi SKMM...kalau mereka tidak terlibat, mereka tidak perlu khuatir," katanya.

Dalam perkembangan lain, Jailani menasihati semua individu terutama wanita supaya berhati-hati menggunakan laman sosial dan tidak sesekali terjebak dalam sindiket 'Love Scam' yang didalangi warga Afrika.

Katanya, kementerian melalui SKMM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan internet termasuk kawalan kendiri dalam menghindari sindiket 'Love Scam'.

"Ini bukan satu perkara yang baharu...seharusnya semua pihak perlu sedar dan tidak sesekali melayari laman sesawang atau melayan mana-mana individu yang tidak dikenali di laman sosial," katanya merujuk laporan khas akhbar tempatan hari ini yang melaporkan sebanyak enam hingga tujuh wanita Melayu dikesan diperdaya sindiket 'Love Scam' yang didalangi warga Afrika setiap hari.

Program Larian Sehati Sejiwa yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan MYNIC Berhad sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2015 itu disertai lebih 5,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Terbahagi kepada kategori iaitu 10 kilometer (km), 5 km dan 3 km, objektif utama program larian itu adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Hasnul Fadhly Hasan dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abdul Wahab.

No comments:

Post a Comment