PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

PEMUDA YANG BERJIWA RAKYAT

Monday 24 August 2015

Cubaan Demonstrasi Jalanan Tidak Jejas Sambutan Kemerdekaan


Jabatan Penerangan yakin sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tidak akan terjejas biarpun ada cubaan untuk mengadakan perhimpunan jalanan di lokasi yang sama.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman, berkata ini kerana penganjur perhimpunan Bersih 4.0 itu sudah diminta memilih lokasi selain Dataran Merdeka.

"Kalaulah mereka cuba menangguk di air keruh dalam acara seperti itu, (ia) menunjukkan sesuatu yang bertentangan dan ingin menimbulkan huru-hara," katanya kepada pemberita selepas menutup Konvoi Kembara Jalur Gemilang sempena Kempen Jalur Gemilang Bulan Kebangsaan Negara 2015 peringkat negeri Kelantan di Perkarangan Wisma Persekutuan Gua Musang di sini, hari ini.

Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab Aziz Yusof dan ADUN Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abd Ghani.

Dalam pada itu, Ibrahim menjangkakan kehadiran lebih 500,000 masyarakat berbilang bangsa serta pelancong antarabangsa pada sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

"Sambutan ini amat penting kerana ia akan menyemai semangat patriotik dalam kalangan anggota masyarakat di negara ini," katanya.

Beliau berkata agensi penguat kuasa akan turut melaksanakan kawalan keselamatan yang tinggi pada majlis sambutan berkenaan.

No comments:

Post a Comment